Bila dan di mana anak bulan Syawal 1444H berada? - Utusan Malaysia

Bila dan di mana anak bulan Syawal 1444H berada?

Gerhana Matahari separa yang menunjukkan bulan bergerak memintas matahari ke arah Timur menandakan proses pembentukan anak bulan (gambar kanan) .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT anak bulan bukan setakat memenuhi tuntutan agama tetapi juga kaedah dalam kajian eksperimental. Kemajuan penjejakan anak bulan juga sudah berubah daripada cerapan mata kasar berdasarkan kedudukan matahari terbenam sehinggalah kini menggunakan teleskop penjejak. Sesuatu yang tidak berubah adalah persepsi terhadap keputusan melihat anak bulan. Masya­rakat masih tertunggu-tunggu keputusan serta tarikh permu­laan puasa dan hari raya.
Oleh sebab pengetahuan melihat anak bulan dan ilmu falak dahulu amat terhad, tiada spekulasi awal sama ada anak bulan boleh kelihatan atau tidak. Berbanding era teknologi maklumat dan keberkesanan penggunaan media sosial sekarang, spekulasi tarikh hari raya begitu rancak dibincangkan.
Tahun ini terdapat sekurang-kurangnya empat momentum menghangatkan spekulasi tarikh hari raya. Pertama, mereka yang seperti serik dengan pengalaman ‘raya mengejut’ tahun lepas, lantas yakin episod sama mungkin berulang tahun ini.
Kedua, lahirnya ‘ahli falak jadian’ yang sedikit pengetahuannya menerbitkan data kedudukan anak bulan dengan perisian tertentu atau menggunakan internet, tetapi tidak menyedari kaedah rukyah dan hisab terkini yang dipraktikkan di negara ini.
Sebagaimana biasa, amalan rukyah dan hisab di negara ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengeluarkan kenyataan yang tarikh melihat anak bulan Syawal 1444H ditetapkan Khamis depan.
Apa yang menarik pada Khamis nanti? Sejauh mana fenomena gerhana matahari yang berlaku pada hari yang sama ini dapat menghakis atau menambah keyakinan golongan yang percaya tahun ini akan berlaku juga kejutan tarikh hari raya?
Melalui proses pengumpulan data kenampakan anak bulan yang berjaya dan tidak berjaya dicerap, ahli-ahli falak merumuskan syarat kenampakan anak bulan. Sudah pasti sampel ini diambil untuk satu tempoh masa panjang dalam pelbagai suasana atmosfera dan kedudukan geografi berdekatan. Proses ini bertujuan mendapatkan kriteria saintifik yang tepat, yang mana syarat kenampakan akan bersamaan dengan keputusan sebenar melihat anak bulan.
Selama hampir 40 tahun kaedah rukyah dan hisab dengan syarat kenampakan anak bulan digunakan di negara ini. Belum lagi ada desakan kuat untuk kajian semula kaedah ini. Sebaliknya, justifikasi ‘anak bulan ada dan boleh nampak’, iaitu syarat kenampakan anak bulan dinilai dari semasa ke semasa.
Potensi kegagalan teori kenampakan anak bulan boleh juga berlaku, tetapi amat tipis. Sebagaimana pengalaman di Malaysia, setelah bertahun-tahun mendapati tarikh pada takwim (terutamanya penentuan Ramadan dan Syawal) sama dengan pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, kecuali episod penentuan Syawal 1443H lalu menunjukkan sebaliknya.
Spekulasi penentuan hari raya tahun ini juga dihangatkan apabila tersebar berita yang ijtimak Syawal 1444H akan bersamaan dengan fenomena gerhana matahari pada hari yang sama.
Secara geometri ijtimak adalah keadaan yang mana matahari, bulan dan bumi berada satu garisan penjajaran. Dalam konteks takwim, ijtimak adalah proses pemisahan antara fasa bulan lama dengan bulan baharu ataupun permulaan proses pembentukan anak bulan.
Disebabkan orbit bulan mengelilingi bumi terjungkit beberapa darjah, satah bumi dengan bulan dan satah bulan dengan matahari tidak sentiasa sama. Namun, dalam satu tahun pergerakan bumi mengelilingi matahari, terdapat beberapa kali matahari, bulan dan bumi berada satu garisan penjajaran dan sesatah, atau penjajaran sempurna. Ketika inilah waktu ijtimak akan bersamaan dengan kemuncak waktu berlakunya gerhana.
Menurut hisab pergerakan bulan dan matahari, proses ijtimak Syawal 1444H berlaku di longitud 130 darjah Timur, kira-kira pukul 12.15 tengah hari waktu Malaysia pada 20 April. Waktu ini serentak dengan kemuncak fasa gerhana matahari penuh yang di sekitar Laut Banda berhampiran Papua Barat sehingga ke kepulauan Micronesia.
Justeru, adakah fenomena gerhana matahari yang berlaku pada hari sama berlaku ijtimak ini ada hubungan dengan pembentukan anak bulan? Ijtimak dan gerhana matahari menunjukkan permulaan proses pembentukan anak bulan. Sama ada anak bulan wujud atau boleh kelihatan pula bergantung kepada beberapa faktor lain.
Antaranya, halaju bulan sama ada berupaya memintas matahari ke arah timur menjelang matahari terbenam di sesuatu lokasi geografi tempatan. Begitu juga dengan penggunaan konsep takwim Hijri oleh pihak berkuasa sesebuah negara.
Ketika matahari terbenam di Asia Tenggara, kira-kira enam jam selepas kemuncak gerhana matahari penuh, bulan dan matahari mengalami proses pemisahan minimum, iaitu secara purata bulan terpisah kurang dua darjah daripada matahari, tempoh berada di atas ufuk pula kurang 10 minit dan kadar cahayanya 0.1% berbanding fasa bulan purnama.
Sementara itu, sifat fizikal anak bulan Syawal pada tahun lepas setinggi lima darjah dengan fasa cahaya hampir 0.5%. Justeru, keraguan kemungkinan berulangan episod ‘raya mengejut’ pada tahun ini kurang berasas mengikut perbandingan sifat fizikal anak bulan.
Berita mengenai kumpulan Islam terbesar di Indonesia yang menetapkan hari raya pada Jumaat ini boleh difahami kerana mereka mendefinisikan anak bulan yang wujud, bukan sebagaimana kaedah rukyah dan hisab di Malaysia.
Seterusnya, berita dari Badan Astronomi Dunia yang menyatakan negara-negara Teluk kemungkinan menyambut Aidilfitri pada Jumaat, disebabkan perbezaan waktu matahari terbenam antara Malaysia dengan ka­wa­san geografi itu hampir 5 jam.
Ketika waktu Maghrib di sana, anak bulan Syawal sudah tinggi di atas ufuk manakala anak bulan Syawal di Malaysia dijangka hanya boleh dilihat dengan mudah pada petang Jumaat setinggi 15 darjah selama hampir 1 jam. Oleh sebab saiz anak bulan petang ini cukup besar, usahlah dispekulasikan pula dengan kenyataan negatif. Anak bulan menurut takrif rukyah dan hisab di Malaysia adalah ‘bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan’.

Prof. Madya Dr. Baharrudin Zainal ialah Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya