Tidak sempurna akal bebas membunuh? - Utusan Malaysia

Tidak sempurna akal bebas membunuh?

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI beranggapan apabila seseorang itu tidak siuman, dia terlepas daripada tindakan undang-undang jika terlibat dalam jenayah termasuk membunuh. Ada yang menyifatkan bahawa orang tidak siuman punya ‘tiket’ untuk melakukan jenayah, sedangkan banyak prosedur yang perlu dilalui untuk membuktikan bahawa pelaku itu benar-benar tidak siuman.
Kesalahan membunuh adalah satu kesalahan yang termaktub di dalam Kanun Keseksaan sebagaimana di bawah ini:
Seksyen 300 Kanun Keseksaan memperuntukan: Kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, mematikan orang dengan salah adalah membunuh orang-
 Jika perbuatan yang menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian;
Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang pesalah itu ketahui mungkin menyebabkan kematian orang yang dikenakan bencana itu;
 Jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh kepada seseorang dan bencana tubuh yang dimaksudkan hendak dikenakan adalah cukup pada lazimnya, bagi menyebabkan kematian; atau
 Jika orang yang melakukan perbuatan itu mengetahui perbuatan itu adalah berbahaya hingga mungkin menyebabkan kematian, atau sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian dan ia dilakukan dengan tiada apa-apa sebab bagi mendatangkan bahaya menyebabkan kematian atau bencana. Hukuman membunuh adalah digantung sampai mati.
Antara pembelaan yang ada untuk kesalahan membunuh adalah di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan seseorang yang tidak sempurna akal.
Tidaklah menjadi kesa­lahan apa-apa jua yang dilakukan oleh sese­orang yang pada masa mela­kukannya, oleh sebab akalnya tidak sempurna, tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatan itu atau bahawa apa yang dilakukannya itu sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang.
Bagaimanapun, pihak yang dituduh perlu membuktikan di mahkamah bahawa semasa dia melakukan perbuatan itu dia:
Akal tidak sempurna
Tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatannya adalah salah atau berlawanan dengan undang undang.
Dalam keadaan ini pembuktian yang perlu ditunjukkan bahawa legal insanity atau tidak sempurna akal menurut undang-undang dan tidak memadai membuktikan medical insanity atau tidak sempurna akal menurut perubatan.
Sebagaimana yang telah diputuskan di dalam kes di bawah sebagai contoh,
Pendakwa Raya lawan Jaafar Halid (2021) 1 LNS 149- Dato Abdul Wahab Mohamed memutuskan bahawa dalam menentukan perkara tersebut, mahkamah perlu melihat kepada legal insanity dan bukannya medical insanity (rujuk kes PP v. Zainal Abidin Mohd. Zaid (1993) 1 CLJ 147). Oleh itu mahkamah hendaklah menggunakan ujian undang-undang legal test dan bukannya ujian perubatan (medical test) (rujuk kes Md. Masud Rana Md. Mofizudin lwn. Pendakwa Raya (2011) 9 CLJ 16).
Terdapat perbezaan antara kedua ini iaitu tidak sempurna akal menurut perubatan dan tidak sempurna akal menurut undang-undang.Tidak semua tidak sempurna akal mengecualikan seseorang dari tanggungjawab melakukan jenayah. Di bawah Seksyen 84 perlu ditunjukkan seseorang itu mempunyai gangguan minda bahawa perbuatannya itu dilakukan tidak mengetahui ia adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang, serta tidak menyedari perbuatannnya.
Oleh itu, ini merupakan ujian yang perlu dilakukan dalam mengenal pasti pelaku ini tergolong di bawah kategori Seksyen 84.
Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa pembelaan tidak sempurna akal adalah berkenaan tanggung jawab undang- undang semasa melakukan kesalahan dan bukan sama ada dia adalah tidak sempurna akal dari segi perubatan PP v. Misbah Saat (1998) 1 CLJ 759; (1997) 3 MLJ 495.
Dan apabila pembelaan tidak sempurna akal ditimbulkan mahkamah perlu menilai dua perkara:
Sama ada pelaku pada awalnya membuktikan dia semasa melakukan perbuatan itu tidak sempurna akal
Jika dia tidak sempurna akal adakah semasa perbuatannya itu dia tidak mengetahui perbuatan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang?
Oleh itu dengan sekadar mengemukakan laporan perubatan yang menunjukkan bahawa dia tidak sempurna akal adalah tidak memadai.
Maka perlu ada keterangan seperti kelakuan pelaku sebelum kejadian, perlakuan pelaku selepas kejadian yang menyokong tindakannya semasa berlakunya jenayah, dia tidak mengetahui perbuatannya salah atau melanggar undang-undang.
Prinsip yang sama terpakai bagi pembelaan di bawah Seksyen 85(2)(b) Kanun Keseksaan iaitu melakukan jenayah ketika seseorang itu mabuk. Seseorang itu mabuk menjadi tidak sempurna akal sementara atau sebaliknya ketika perbuatannya itu.
Hukuman bagi mereka yang melakukan kesalahan membunuh tetapi didapati melakukan perbuatan itu kerana tidak sempurna akal adalah seperti peruntukan di nyatakan di bawah ini.
Di bawah 347, Kanun Acara Jenayah seseorang itu boleh dibebaskan kerana melakukan jenayah kerana tidak sempurna akal dan mahkamah haruslah menyatakan sama ada pelaku melakukan perbuatan membunuh itu atau tidak.
Di bawah Seksyen 348 Kanun yang sama mahkamah setelah mendapati pelaku melakukan perbuatan membunuh memerintahkannya ditahan di tempat selamat dan melaporkan kepada Sultan di mana perbicaraan itu di adakan bagi mendapatkan perintah penahan.
Sultan bagi negeri yang mana perbicaraan itu di adakan akan memerintah agar dia ditahan di hospital psikiatri bagi tempoh yang ditentukan Baginda.
Maka kesimpulannya tidak semua pesakit mental yang disahkan oleh Pegawai Perubatan mempunyai pengecualian secara otomatis dalam melakukan jenayah sama ada jenayah berat seperti membunuh atau jenayah ringan.

Dato Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya