Setiap kepemimpinan negara ini mempunyai konsep atau slogan yang ingin diperjuangkan oleh mereka kepada rakyat. Seperti yang diketahui, slogan “Malaysia Madani” menggantikan “Keluarga Malaysia”.
Sebelum itu slogan Bersih, Cekap, Amanah dan Kepimpinan Melalui Teladan, Islam Hadhari, 1Malaysia, Malaysia Baharu, Kerajaan Prihatin dan Keluarga Malaysia. Slogan adalah satu strategi yang sangat penting bagi mencapai misi dan visi. Slogan merupakan ekspresi berupa kalimat pendek yang menarik perhatian dan mudah diingat.
Menurut Kamus Dewan, perkataan ‘Madani’ membawa erti maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (masyarakat, generasi dan sebagainya).
Madani juga memberi makna usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni yang terarah kepada pembinaan masyarakat. Konsep membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Pada hemat saya, apabila memperkatakan mengenai slogan, apa yang paling penting adalah slogan tersebut dapat menerjemahkan dua perkara utama. Pertama, impak terhadap ekonomi dan kedua, menzahirkan nilai-nilai murni.
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya, bahasa, latar belakang pendidikan, taraf hidup, tahap pemikiran, tahap kesihatan dan banyak lagi. Kesemua perbezaan ini memerlukan satu perkara yang sama iaitu wang untuk terus hidup.
Kita memerlukan wang untuk menyelesaikan keperluan dan masalah dengan cara berbeza. Jika kita berbual di kampung-kampung, mereka tidak mempedulikan sangat slogan yang digunakan tetapi apa yang penting bagi mereka adalah untuk mengisi perut anak mereka, belanja persekolahan dan juga belanja perubatan keluarga mereka.
Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan sumber pencarian mereka adalah hanya ketika mereka sihat. Apabila mereka terlantar sakit mereka tidak lagi dapat mencari nafkah untuk keluarga dan rata-rata orang yang bekerja di kampung tidak mempunyai insurans.
Ramai rakyat Malaysia yang tidak begitu faham teori ekonomi tetapi mereka tahu sama ada ekonomi negara bagus atau tidak berdasarkan harga barang harian yang dibeli.
Saya masih ingat sekitar tahun 80-an dan 90-an banyak projek mega yang dilaksanakan oleh kerajaan dan kilang tumbuh seperti cendawan.
Sektor perkilangan adalah tonggak utama pembangunan sesebuah negara. Apabila banyak kilang beroperasi di Malaysia maka produktiviti negara dapat ditingkatkan dan harga barangan akan menjadi rendah dan kuasa beli rakyat akan menjadi tinggi. Sektor perkilangan juga dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan.
Kerajaan juga dapat mengutip cukai dari kilang-kilang. Produk buatan Malaysia dapat dieksport ke seluruh dunia yang sekaligus dapat mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Saya salah seorang pekerja yang berkhidmat di sektor perkilangan ketika itu. Saya dapat merasakan betapa meriahnya suasana masa itu. Setiap hari kami dikehendaki bekerja lebih masa kerana pengeluaran yang semakin meningkat dari dalam dan luar negara.
Pekerja sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan tambahan pendapatan. Peluang pekerjaan di kilang daripada tenaga mahir, separa mahir dan pekerja am sentiasa diperlukan. Ini dapat dilihat melalui iklan di akhbar dan juga kain rentang yang digantung di kilang-kilang.
Pusat Latihan Perindustrian banyak ditubuhkan untuk menyalurkan tenaga teknikal penuntut Malaysia ke kilang.
Kami pekerja kilang ketika itu dapat merasakan tempias rancaknya ekonomi negara. Kami dapat menabung, membeli motosikal untuk kegunaan ulang alik ke tempat kerja, makan makanan yang sedap sedikit serta dapat membawa keluarga berjalan-jalan ketika cuti sekolah. Ini semua menjadi kenangan indah tatkala Malaysia dikenal sebagai ‘Harimau Asia’. Bagi yang bekerja sebagai penjawat awam, badan berkanun, atau institusi mungkin mereka tidak dapat merasakan kesan ini.
Ketika ini juga berduyun-duyun rakyat dari negara luar datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Ada yang datang dengan cara sah dan ramai juga datang dengan cara tidak sah atau dikenali sebagai pendatang asing tanpa izin. Mereka ini bergadai nyawa semata-mata untuk mencari peluang pekerjaan di Malaysia.
Kesan daripada penghijrahan beramai-ramai pendatang asing tanpa izin dari pelbagai negara telah menimbulkan banyak masalah kepada rakyat tempatan. Mereka ini akhirnya tidak mahu pulang ke negara asal dan ingin terus menetap di negara ini. Apabila projek mega tidak lagi meriah seperti dahulu maka pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai pekerjaan akan melakukan apa sahaja untuk terus hidup.
Isu pendatang asing bukanlah isu yang baharu tetapi kini dilihat isu yang kian membarah dan tidak dapat diselesaikan. Jika kita lihat di media sosial rakyat mula bangkit dan bertindak terhadap kehadiran warga asing tanpa izin.
Di Tiktok misalnya, terdapat individu yang begitu aktif untuk merakamkan aktiviti yang dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin seperti membuka kedai tanpa lesen, membina penempatan haram, memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen, menyembelih di hadapan rumah pangsa, membela kambing di dalam rumah, meludah sirih merata-rata, meminta sedekah di lampu trafik dan banyak lagi. Begitu juga kes jenayah yang dilakukan oleh warga asing seperti culik, bunuh, rompakan bersenjata, tipu, scammer dan banyak lagi.
Banyak video yang telah ditularkan bukan hanya di dalam Malaysia tetapi ke seluruh dunia. Inilah gambaran konflik yang dihadapi oleh rakyat tempatan pada masa kini.
Mungkin kita melihat kedaulatan negara dari perspektif peningkatan teknologi pertahanan yang canggih untuk menjaga perbatasan negara tetapi sedikit demi sedikit kedaulatan negara kini sedang dirobekkan oleh pendatang asing tanpa izin ini.
Jika Malaysia Madani sebagai usaha yang bersungguh-sungguh untuk membina masyarakat maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan maka pendatang asing tanpa izin adalah halangan utama yang mesti diselesaikan. Warganegara Malaysia akan sentiasa mendukung undang-undang negara tetapi pendatang asing tanpa izin, tidak.
Dr. Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).