Hari ini, murid-murid di negeri kumpulan A mula bersekolah bagi sesi persekolahan 2023/2024. Tentunya ini pengalaman pertama persekolahan untuk anak-anak di tahun satu sekolah rendah dan yang melangkah ke tingkatan satu sekolah menengah. Kebetulan, ini juga pengalaman pertama untuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang baru sahaja melepasi 100 hari sebagai pemimpin nombor satu sektor pendidikan negara.
Tentunya 100 hari pertama adalah ujian getir untuk mana-mana ahli politik yang menjawat jawatan Menteri, apatah lagi kementerian besar seperti KPM. Di bawah KPM, terdapat lebih 433,000 guru dan hampir 5 juta murid di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara sekaligus bertanggungjawab memastikan jutaan ibu bapa berpuas hati dengan perkhidmatan pendidikan. Tentunya ini bukan tanggungjawab mudah.
Walaupun baru masuk tempoh 100 hari, tidak dinafikan kepimpinan sektor pendidikan negara melalui pelbagai ujian, isu dan pengalaman. Rakyat tentu masih ingat, sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Pendidikan, YB Fadhlina tidak menunggu lama mengumumkan aspirasinya dengan membentangkan tujuh teras utama KPM.
Tujuh teras ini berhasrat memberikan fokus kepada meningkatkan kualiti komunikasi antara KPM dan sekolah, membina karamah insaniah berkaitan adab dan akhlak murid, menjaga kebajikan guru, menyelesaikan isu sekolah daif, menangani keciciran murid dan kemiskinan multi dimensi serta meningkatkan agenda pendidikan digital.
Ia disambut baik kerana itulah antara perkara yang sering menjadi isu di dalam sistem pendidikan negara. Bagaimanapun, selepas 100 hari mengisi kerusi pejabat Menteri Pendidikan, sehingga kini masih belum ada dokumen pelan strategi atau perancangan induk holistik dibentangkanYB Menteri iaitu bagaimana beliau akan merealisasikan tujuh teras ini serta jangka masa disasarkan untuk mengukur sejauh mana tujuh teras ini dicapai.
Sewajarnya bagi menunjukkan iltizam beliau dalam melakukan perubahan, KPM perlu segera membangunkan pelan tindakan komprehensif untuk melaksanakan setiap teras ini dari segi agenda, tindakan serta sasaran pencapaiannya.
Begitu juga apabila dalam tempoh 100 hari ini, rakyat khususnya guru mula acapkali mendengar istilah besar seperti ‘karamah insaniah’, ‘anak baik dan cerdik’, dan slogan ‘murid ceria, guru bahagia sekolah bitara dan negara sejahtera’. Tetapi sehingga hari ini, guru tertanya-tanya bagaimana untuk mencapai semua slogan itu? Apa pelan tindakannya?
Selain tujuh teras utama KPM, sepanjang 100 hari lalu, bila diteliti terdapat empat keputusan besar yang dilakukan YB Menteri untuk kebaikan sistem pendidikan negara. Pertama, pada 27 Januari lalu, beliau mengeluarkan arahan melalui media sosial miliknya kepada semua pegawai supaya tidak lagi melarang guru yang mahu bersuara secara terbuka untuk memberikan pandangan konstruktif atau mengkritik sistem pendidikan negara.
Sikap terbuka ini disambut baik oleh guru. Ini merupakan sejarah kerana buat kali pertama seorang Menteri Pendidikan secara terbuka meraikan pandangan, teguran dan kritikan guru terhadap kelemahan atau kekurangan sistem pendidikan negara. Perkara kedua, yang berjaya dicapai dalam tempoh 100 adalah segera mewujudkan kembali Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang berfungsi mencadangkan langkah penyelesaian kepada isu beban tugas guru.
Hasilnya, pada 17 Februari lalu, YB Menteri mengumumkan pemansuhan segera tujuh perkara yang meringankan beban tugas guru iaitu memansuhkan semua bentuk sambutan atau yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid, mengurangkan amalan semakan SKPM kepada sekali setahun, memanjangkan tempoh masa pengisian data kehadiran murid melalui sistem APDM, membuka pelantikan pengawas peperiksaan kepada bukan guru, mengehadkan sambutan hari guru hanya di peringkat kebangsaan dan sekolah, meringkaskan amalan penyediaan RPH dan memberikan autonomi kepada guru dalam merancang PdPc dan PBD.
Pencapaian KPM ketiga dalam tempoh 100 hari adalah kesediaan kerajaan memberikan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negara 2023 dengan penekanan bersifat serampang dua mata iaitu memulihkan defisit pendidikan dan memampankan pendidikan masa depan.
Berpegang kepada prinsip Malaysia Madani, manfaat terbesar daripada belanjawan kali ini yang berjumlah RM55.2 bilion untuk sektor pendidikan tertumpu kepada meningkatkan kemudahan pembelajaran murid-murid. Sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di semua sekolah.
Pencapaian yang keempat apabila KPM memutuskan membatalkan Surat Pekeliling Iktisas Bilangan 13/1989 bertarikh 13 Disember 1989 dan mengeluarkan arahan supaya pada minggu pertama sesi persekolahan dijadikan minggu untuk membina ‘keakraban pendidikan’ dan tidak terus kepada sesi pengajaran. Oleh itu, KPM meminta pihak sekolah melakukan aktiviti lebih santai, ceria dan menggembirakan sebelum sesi pengajaran bermula pada minggu yang kedua.
Nampaknya bagi 100 hari pertama Kerajaan Perpaduan, kepimpinan KPM memulakan beberapa inisiatif baik. Dua pencapaian besar tentunya keputusan KPM mengurangkan beban tugas guru serta peruntukan besar untuk membaik pulih sekolah daif.
Dua keputusan besar ini berjaya menambat hati ramai pihak khususnya ibu bapa dan guru. Tentu ada hal-hal yang masih perlu ditambah baik dan diselesaikan segera. Misalnya, beberapa isu pengurusan yang mengganggu kelancaran sistem pendidikan seperti isu kekurangan guru, isu pengiktirafan UEC, keberkesanan pelaksanaan Pentaksiran Bilik darjah (PBD), isu sekolah sesak murid dan isu silibus sekolah rendah.
Malah lebih penting, KPM perlu segera memulakan langkah membangunkan pelan pembangunan pendidikan yang baru selepas PPPM 2013-2025 tamat pada akhir 2025.
Dr . Anuar Ahmad ialah Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara dan Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM.