Mereka berhak dapat elaun khas - Utusan Malaysia

Mereka berhak dapat elaun khas

Anwar Ibrahim di Gaziantep melihat kawasan bencana serta berjumpa pasukan SMART yang terlibat dalam operasi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, 15 Februari lalu. – ihsan Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN kerajaan untuk memberi elaun khas kepada semua pasukan mencari dan menyelamat yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria melalui belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu dilihat begitu rasional bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyelamatkan mangsa di sana.
Belanjawan 2023 juga membuktikan kerajaan Malaysia mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan RELA yang menunjukkan prestasi yang amat cemerlang dalam membantu menyelamat dan membawa keluar mangsa-mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Turkiye baru-baru ini.
Agensi-agensi ini memerlukan dana yang mencukupi bagi memperkuatkan aset dan kapasiti mereka untuk lebih bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk bencana yang berkemungkinan akan berlaku di dalam negara sendiri.
Keputusan yang paling signifikan dibuat apabila kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tanpa ragu-ragu memberikan ‘lampu hijau’ buat NADMA untuk menghantar seramai 140 anggota SMART ke Turkiye.
Faktor-faktor seperti hubungan bilateral antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Turkiye dan juga hubungan peribadi yang akrab antara Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan memungkinkan negara kita menghantar pasukan penyelamat ke bumi Turkiye dalam tempoh kurang 12 jam dan menjadi antara kumpulan yang terawal sampai di sana.
Selain itu, pengurusan dan koordinasi yang baik antara NADMA dan Kementerian Luar Negeri turut menyumbang kepada kelancaran proses penghantaran anggota penyelamat Malaysia ke sana.
Sebenarnya, Turkiye sudahpun memiliki kekuatan yang mencukupi bagi menguruskan bencana gempa bumi sekuat 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye pada 6 Februari lalu.
Di Turkiye, dua agensi mereka iaitu Ankara AFAD 2 USAR Team dan Istanbul AFAD 1 USAR Team diiktiraf sebagai pasukan Heavy Urban Search and Rescue (USAR) oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, sebagai sebuah negara yang empati dan mempunyai hubungan yang baik, bantuan yang disalurkan oleh Malaysia sudah pasti memberi seribu makna buat Turkiye. Selain itu, penghantaran anggota SMART ke sana amat bermakna kerana anggota-anggota penyelamat dari pelbagai negara di sana dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dalam misi menyelamatkan mangsa. Pengalaman yang berharga itulah yang akan dibawa balik ke Malaysia untuk dipraktikkan sekiranya berlakunya bencana di dalam negara kelak.
Jika 30 tahun lalu, Malaysia kekurangan tenaga pakar dalam misi menyelamatkan mangsa runtuhan bangunan dan terpaksa meminta bantuan dari negara luar bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa seperti yang berlaku dalam kejadian runtuhan bangunan satu blok kondominium Highland Tower, Selangor. Kini, Malaysia berbangga kerana memiliki anggota penyelamat sendiri yang mempunyai kepakaran dalam beberapa sudut seperti Struktur Runtuh (Collapsed Structure), Sudut Tinggi dan Penyelamat Tali (High Angle and Rope Rescue), Ruang Terkurung (Confined Space), Penyelamat Air (Water Rescue) dan SAR Gunung (Mountain and Wilderness SAR).
Pasukan SMART yang berada di bawah pengurusan NADMA merupakan antara salah satu daripada 32 negara di dunia yang diiktiraf sebagai pasukan Heavy Urban Search and Rescue (USAR).
Di Peringkat Asia pula, pasukan tersebut merupakan pasukan ke-tujuh diiktiraf sebagai pasukan Heavy Urban Search and Rescue dan di rantau Asia Tenggara, hanya dua negara yang mempunyai kelayakan untuk menjalankan USAR iaitu Malaysia dan Singapura. Pasukan-pasukan penyelamat di negara seperti Argentina, Kanada, Denmark dan lain-lain masih belum diiktiraf sebagai pasukan USAR.
Sebelum ini, pasukan SMART juga dihantar bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa di luar negara seperti tanah runtuh Filipina pada 2006, gempa bumi di Indonesia (2006 dan 2009), Taufan Haiyan di Filipina (2013), gempa bumi di Nepal (2015) dan Tragedi MH17 di Ukraine (2014).
Kekuatan dan pengalaman yang ada telah terbukti berjaya membantu kerajaan Turkiye mencari dan menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi di sana.
Pasukan SMART turut menggunakan alat Iris kamera untuk mengesan bayi dan mangsa di celah-celah runtuhan bangunan. Peralatan khas seperti jengkaut, penggunaan kaedah memotong dan memecah dan juga dua anjing pengesan bernama Frankie dan Dentie banyak membantu pasukan SMART dalam misi SAR.
Secara keseluruhan, pasukan SAR Malaysia berjaya mengeluarkan 52 mangsa dari beberapa lokasi runtuhan. Bonus buat pasukan SMART Malaysia apabila mereka berjaya menemui dan mengeluarkan enam mangsa yang masih hidup selepas tujuh hari terperangkap di celah-celah runtuhan bangunan.
Selain itu, menjadi kebanggaan buat Malaysia apabila tiga orang pegawai SMART dihantar untuk bertugas di Pusat Berlepas Penerimaan (RDC). Mereka ditugaskan untuk mengendalikan koordinasi semua pasukan penyelamat dari pelbagai negara luar yang tiba menerusi terminal udara di wilayah Clicia.
Ternyata misi SAR di Turkiye baru-baru ini bukanlah satu perkara mudah kerana pasukan SMART berdepan dengan cuaca yang sangat sejuk.
Namun, semangat kental menjadikan mereka wira negara sehinggakan banyak pihak termasuklah kerajaan Turkiye memuji kecekapan pasukan SMART Malaysia dalam membantu operasi menyelamat mangsa gempa bumi.

Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya