Majikan ‘buli’ pekerja dengan gaji rendah? - Utusan Malaysia

Majikan ‘buli’ pekerja dengan gaji rendah?

Anak muda meluangkan masa hujung minggu menyertai temuduga terbuka peluang pekerjaan di Karnival MYFuture Jobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada bulan lalu. – mingguan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ORANG politik mana ada yang miskin. Kalau mereka tak pegang jawatan dalam parti atau Kabinet, mereka tak akan jatuh miskin. Yang miskin pengundi sajalah.”
Saya masih ingat lagi kata-kata itu. Keluarnya daripada mulut seorang kawan lama. Rakyat marhaen macam saya juga. Iyalah, apabila masing-masing berjumpa, keluh kesah tentang kos sara hidup dan tanggungan keluarga, memang tak dapat lari dalam topik perbincangan.
“Nak cerita pasal duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sedikit. Tidak mencukupi untuk menampung hari tua? Nak kata apa, kalau gaji rendah, sedikitlah caruman. Tak akanlah itu pun buat-buat terkejut.
“Kalau gaji permulaan graduan pun 20 tahun dulu dengan sekarang lebih kurang saja, tak banyak beza, mana nak dapat caruman yang banyak?” kata kawan saya itu.
Agak berapi juga nada suara. Tetapi itulah, macam mana kita mahukan satu kehidupan yang ‘tenang-tenang’ saja, sedangkan mahu atau tidak, kebanyakan kita terpaksa juga memikirkan dan meredah kos sara hidup yang meningkat.
Harga rumah melambung tinggi, sewa rumah, bilik naik, harga makanan naik walaupun solusinya Menu Rahmah setakat ini? Insurans perubatan pun sudah mahal sekarang, kos rawatan di hospital swasta sekarang ini melambung – kerajaan tolonglah lihat perkara ini dan macam-macam lagi naik. Tiada penurunan untuk kos sara hidup termasuk perkhidmatan. Itu hakikat yang tak boleh dinafikan.
Baru-baru ini akhbar Utusan Malaysia mendedahkan majoriti siswazah lulusan sarjana muda yang bekerja dibayar gaji bulanan bawah RM2,000 iaitu di bawah garis kemiskinan (PGK) ditetapkan kerajaan iaitu RM2,208 sebulan.
Pada tahun 2020, Malaysia menyemak semula PGK kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 yang diguna pakai sejak tahun 2005.
Trend membayar gaji di bawah RM2,000 itu dikesan dalam tempoh 2018 hingga 2021 dan keadaan itu sama sehingga sekarang malah lebih menyedihkan apabila ramai yang terpaksa menganggur kerana permohonan kerja berpuluh kali ditolak.
Kedudukan gaji pemegang ijazah sarjana muda yang masih sama seperti 10 tahun lalu sekaligus menjadikan kadar upah di Malaysia ketinggalan 20 peratus berbanding negara lain seperti di Singapura dan Jepun.
Teringat pula saya pada Belanjawan 2023 yang diben­tangkan baru-baru ini yang ma­na Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ngumumkan bahawa kerajaan akan menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini. Tentunya ini satu hasrat yang sangat baik. Jihad memerangi kemiskinan. Apa kata, kerajaan tengok sekali golongan kategori miskin dan miskin bandar. Bila mahu dinoktahkan?
Jika permulaan gaji pun di bawah RM2,000 dan kos sara hidup meningkat yang miskin pun boleh jatuh kategori miskin tegar. Tanyalah baki gaji selepas sehari atau dua hari dimasukkan dalam bank? Selepas bayar segala macam bil dan pinjaman bank, ada yang tinggal RM100.
Kalau dikirakan Ini sudah jatuh dalam kategori miskin tegar juga. Menu Rahmah pun tidak dapat membantu apabila baki yang tinggal RM100. Ini adalah keperitan hidup yang dilalui oleh kebanyakan rakyat di negara ini. Bukan di negara luar.
Maka inilah yang perlu diperangi kerajaan. Jika mahu menoktahkan apa jua kategori kemiskinan, penyelesaiannya bukanlah memberi bantuan wang tunai one off saja. Bila duit itu habis, tak selesaikan masalah juga.
Tentulah antara penyelesaiannya majikan perlu memberi kadar upah yang sepatutnya kepada pekerja. Ini melibatkan pertimbangan peri kemanusiaan pemain industri.
Tolak tepilah kata-kata, kita dulu gaji RM1,200 lepas habis belajar universiti pun okay saja. Kerjalah dulu, lama-lama gaji naik. Dulu ramai juga yang struggle. Sewa rumah kecil, duduk ramai-ramai.
Dengan mentaliti sebeginilah, gaji permulaan RM1,200 untuk siswazah dari 10 tahun dulu sampai sekarang tidak berubah kerana ada yang menyokong sistem gaji rimba ini sampai sekarang. Tidak perlu berubah. Kekallah sebegitu. Anak muda sekarang perlu melalui keperitan macam kita dulu, begitulah pemikiran yang tak mahu akan perubahan.
Jika gaji permulaan kecil ini tidak diperjuangkan untuk naik, sampai bila-bila pun isu siswazah gaji di bawah paras kemiskinan ini tidak selesai. Perlu diingat zaman dulu dan sekarang banyak bezanya, kos sara hidup tidak setinggi sekarang dan begitu juga dari segi persaingan.
Sistem gaji rimba iaitu ikut suka majikan menetapkan kadar upah tanpa mengambil kira kelulusan dan bidang profesional, ia lebih menguntungkan majikan. Dan ada pula, gaji bawah RM2,000 tetapi diminta buat kerja macam-macam.
Syukurlah ada kerja, setiap hujung bulan masih ada duit dalam bank – Kalau kita masih menyokong kadar upah tidak mengikut kelayakan, kemahiran dan pengalaman, semuanya pukul rata sama saja, tindakan seperti ‘membuli’ pekerja dengan gaji rendah ini tentunya akan berterusan 20 tahun lagi. Sehingga ke anak cucu dan cicit. Tak akanlah, permulaan gaji siswazah dulu dengan sekarang sama saja tanpa kemajuan, sedangkan negara ini sentiasa mahu ke hadapan, mahu menyaingi negara jiran tetangga tetapi bab gaji penduduk, berkira pula.
Itu juga belum masuk lagi, pekerja yang berpengalaman lebih 10 tahun dan profesional dibayar gaji bawah RM3,000.
Pakar ekonomi, Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, antara prasyarat utama merealisasikan Malaysia Madani yang ‘bermakna’ untuk semua adalah mewujudkan peluang pekerjaan yang menghasilkan pendapatan berkualiti, setimpal dengan masa, tenaga, keupayaan dan pengalaman, untuk semua lapisan masyarakat. Ini sangat penting.
Katanya, isu peluang pekerjaan dan penggajian mesti ditangani sebaiknya. Disertakan dengan program latihan meningkatkan keupayaan, kapasiti dan kemahiran. Jika tidak, kita terus berada di takuk lama dari segi kualiti hidup dan menangani kos sara hidup.
Pada masa sama, kestabilan politik juga penting dalam menarik pelabur luar melabur di negara ini dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
Iyalah, kalau ahli-ahli politik asyik berbalah, mencari kesalahan pihak lawan itu dan ini, rasuah berleluasa dan terlalu banyak kerenah birokrasi dalam proses mahu membuka perniagaan di negara ini, mereka pun takut untuk melabur di sini.
Rakyat sedang menunggu apa formula kerajaan dalam meningkatkan kadar upah bukan setakat penjawat awam tetapi juga swasta. Ia adalah antara isu yang disebut-sebut akan diselesaikan semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu dan sementara kita sabar menunggu, harapnya tiadalah harga barangan keperluan dan perkhidmatan yang naik lagi.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya