BAGI kebanyakan kita apa yang hendak dihairankan sangat apabila berlakunya lambakan rumah yang tidak terjual di negara ini. Lebih-lebih lagi kalau harga sebuah rumah itu mencecah setengah juta ringgit dan ke atas. Siapa yang mampu membelinya kecuali golongan kaya.
Golongan miskin bandar, B40 termasuk M40 hanya mampu tengok. Hakikatnya, sukar untuk memiliki rumah sendiri ketika ini. Bukan disebabkan tiada keinginan atau saja-saja mahu menyewa rumah sehingga akhir hayat, tetapi tidak mampu.
Seorang ejen hartanah juga kawan lama saya, Sam mengakui, ketika ini memang susah untuknya menjual sebuah rumah. Rumah baru atau pun subsale. Sama saja.
Katanya, harga rumah melambung tinggi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bank, membuatkan orang ramai jadi takut untuk membeli rumah.
Selain itu, tentulah faktor gaji yang terlalu rendah tidak melayakkan mereka untuk membeli rumah yang kebanyakannya berharga RM350,000 ke atas.
“Senang cerita, kalau tak kaya, susah nak beli rumah sekarang ini. Orang kaya bukan kisah OPR naik atau harga rumah RM1 juta pun. Pemaju pun mana ada membina flat atau pangsapuri lagi. Mereka bina kondo. Tentulah mahal walaupun dua bilik saja,” katanya.
Dia bersetuju peluang untuk golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri kini boleh dikatakan tertutup rapat dengan harga rumah yang tidak masuk akal dan tiada petanda akan berlakunya penurunan harga.
Katanya dengan gaji RM2,000, seseorang itu boleh membeli rumah yang berharga RM150,000 ke bawah. Tetapi adakah pemaju yang membina rumah dengan harga sebegitu ketika ini?
Pada Mac tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua melaporkan, 76 peratus isi rumah di Malaysia adalah berpendapatan atau kurang daripada RM8,333 sebulan yang mana mereka hanya mampu memiliki rumah berharga sehingga RM300,000.
Namun hanya 36 peratus daripada unit perumahan yang baru dilancarkan adalah berharga kurang daripada RM300,000. Keadaan ini memburukkan lagi kemampuan memiliki rumah secara keseluruhan dan meningkatkan jumlah rumah tidak terjual yang berharga lebih RM300,000 di Malaysia.
Baru-baru ini, tinjauan di bawah Kajian Sentimen Pengguna H1 2023 oleh PropertyGuru Malaysia pula memperincikan sekitar separuh rakyat negara ini iaitu 47 peratus tidak berupaya membeli kediaman bernilai RM350,000 ke atas. Dalam tinjauan itui 3 daripada 4 responden ingin kerajaan menggandakan usaha insentif pada pemilikan rumah.
Semalam akhbar Utusan Malaysia pula melaporkan harga rumah dijangka terus melambung ekoran kos bahan asas binaan mencatatkan kenaikan antara 15 ke 20 peratus. Sebagai contoh, jika sebelum ini sebuah rumah dijual RM150,000 akan naik kepada RM180,000 seunit termasuk membabitkan rumah mampu milik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1MA).
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, harga simen iaitu salah satu daripada Barang Kawalan Berjadual melonjak naik sehingga 20 peratus iaitu daripada RM18 setiap beg seberat 50 kilogram kepada RM22.50 bulan ini.
Katanya, apabila harga simen iaitu bahan asas pembinaan terus meningkat, harga barangan lain yang menggunakan simen seperti konkrit, bumbung dan longkang juga akan naik.
Semua ini memberi petanda jelas pada masa depan di negara ini memiliki rumah sendiri adalah satu kemewahan dan hanya untuk golongan kaya sebab ia tidak mampu dibeli oleh orang biasa-biasa apatah lagi yang berpendapatan di bawah gaji minimum RM1,500.
Apabila memiliki rumah sendiri bukan lagi satu keperluan tetapi menunjukkan status kemewahan seseorang dan kebanyakan rakyat di negara ini hanya mampu menyewa bolehkah kita mencanang negara ini sedang menuju ke arah negara maju?
Tidak bolehkah kerajaan mengawal harga rumah seperti mengawal harga barang keperluan lain? Tetapi itulah, kalau hal ayam dan telur pun sukar diselesaikan, inikan pula rumah. Dan akhirnya, pusing-pusing ikut mana pun, perlu diakui faktor utama gaji yang rendah menyebabkan ramai yang tidak boleh membeli rumah.
Dalam keadaan sekarang dengan segala barangan naik harga, mengharapkan harga rumah turun adalah sangat mustahil. Justeru jalan selesai yang kita nampak adalah menaikkan kadar upah pekerja ke tahap yang munasabah mengikut kenaikan kos sara hidup.
Agak menghairankan dalam negara mengalami kos sara hidup semakin tinggi , kadar upah pekerja statik dari dulu hingga sekarang malah ada majikan yang memberi upah terlalu rendah tidak kira yang berpendidikan tinggi atau berpengalaman.
Pada september tahun lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat memberitahu, kira-kira 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di Malaysia masih belum mampu memiliki rumah sendiri ekoran gaji minimum sektor itu tidak relevan ketika ini.
Katanya, gaji minimum sedia ada menyukarkan kerajaan untuk mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan dan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Realitinya, bukan penjawat awam saja tidak mampu memiliki rumah, sekurang-kurangnya ada yang boleh tinggal di kuarters kerajaan dan tidak perlu menyewa dengan harga tinggi. Pekerja-pekerja swasta lebih banyak terkesan dengan gaji rendah dan terpaksa menyewa rumah atau bilik. Tiada siapa yang memperjuangkan gaji mereka.
Kadar upah pekerja yang relevan dengan kehidupan masa kini sekurang-kurangnya dapat membantu golongan berpendapatan rendah untuk bernafas lega dengan segala kemelut kenaikan harga ini.
Pada masa sama, kerajaan perlu stabil untuk menarik sebanyak mungkin pelaburan langsung asing (FDI) bukan berbalah dengan parti politik lawan dan berita buruknya diketahui seluruh dunia.
Segala konsep dan jenama slogan masing-masing setiap kali bertukar pemerintah sepatutnya memenangkan rakyat bukan yang miskin terus tertekan dan kaya raya terus mengaut keuntungan dan meluaskan kekayaan.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.