BANYAK perkara melintas depan mata dari kerajaan terdahulu yang pentadbiran kerajaan perpaduan harus perbetulkan. Segalanya ini menuntut kreativiti, kesungguhan dan keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjayakannya.
Anwar dipercayai tidak mahu kerajaannya beroperasi mengikut rentak ‘laporan audit’ semata-mata. Laporan audit sepertimana kebiasaannya dengan ikhlas mendedahkan segala ketirisan yang menghilangkan duit negara. Padahal, sepatutnya ia dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua. Tetapi malangnya penyelewengan ini terus berulang saban tahun.
Menggerakkan kerajaan perpaduan, Anwar mengusulkan konsep Malaysia Madani yang dijadikan jalan ke depan untuk negara ini serta masyarakat pelbagai kaum dan budaya. Antara cabaran utama adalah menyusun semula ekonomi, memastikan keadilan sosial diteruskan serta menjamin prinsip tata kelola yang baik.
Daripada tindakan-tindakan diambilnya sejak mengetuai kerajaan, November lalu, Anwar jelas mahu menjayakan pembinaan sebuah masyarakat yang tidak terlalu tamak terhadap kebendaan dan gilakan kuasa sehingga melanggar undang-undang.
Anwar mahu kemasyarakatan menjadi tunjang kepada pembinaan negara bangsa dan keilmuan, prinsip demokratik, perpaduan serta kebebasan menjadi bumbung kepada gagasan masyarakat madani.
Dengan inflasi mendatang cukup merisaukan, kenaikan harga barang kian menyeluruh serta kos hidup yang ibarat satu perjudian untuk ditempuh warganya, Malaysia jelas memerlukan anjakan dan tujahan pemikiran aras tinggi untuk mengubah episod duka ini.
Meneliti ‘perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul’ diperkenalkan Anwar antaranya kerajaan pimpinan beliau mengarahkan semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diluluskan dan segera dilaksanakan mulai Jun ini.
Pada 5 Disember lalu, beberapa kelulusan RTB bernilai RM7 bilion dilaporkan tidak diteruskan kerana membabitkan kelulusan secara rundingan terus sebelum ini.
Demikian juga projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 dan 2, negeri di bawah kerajaan Pas, bukan sahaja diteruskan oleh Anwar malah dipercepatkan tanpa kos berlebihan. Kerajaan juga akan membantu kira-kira 130,000 rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum untuk keluar dari belenggu kemiskinan melalui langkah lebih menyeluruh.
Untuk tujuan itu, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dilaksanakan yang menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan. Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.
“Pada tahun ini kita mesti noktahkan kemiskinan tegar. Ada ahli Parlimen pembangkang mengatakan dalam Islam tak ada program noktahkan kemiskinan…saya suruh dia balik baca buku, buka kitab.
“Ini bagi saya dangerous knowledge, anda gunakan agama dan katakan tak ada dalam Islam program noktahkan kemiskinanan, sebab itu Islam galakkan bayarkan zakat,” kata Perdana Menteri.
KOMISEN
Mengenai usaha membanteras rasuah, Anwar berazam untuk memastikan dana negara yang ‘dipunggah’ oleh pemimpin terdahulu dipulangkan semula kepada rakyat.
Katanya, kerajaan akan bertegas untuk menamatkan amalan menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai kesempatan untuk memunggah kekayaan. Anwar membidas pihak yang menggunakan istilah ‘sedekah’ dan ‘komisen’ untuk melunakkan rasuah.
Beberapa pendekatan baharu dijayakan oleh anggota-angota Kabinet beliau antaranya menerusi Kementerian Pendidikan mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah, yang sebelum ini diwajibkan setakat sekolah rendah. Ini demi memastikan tiada anak-anak yang tercicir selepas tamat sekolah rendah.
Berkuat kuasa 15 Februari tahun ini juga, murid tahun satu hingga pelajar tingkatan enam dan orang kurang upaya (OKU) tidak perlu lagi membayar tambang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Dalam sektor industri pula, lebih 200,000 pengambilan pekerja berjaya dibawa masuk tanpa perlu membayar ejen sehingga RM25,000. Perkara itu membantu sektor minyak sawit yang mengalami kerugian hasil RM20 bilion akibat dasar pengambilan pekerja terutama pekerja asing melibatkan ejen mereka yang mengambil laba tinggi.
“Ini satu usaha yang dibanggakan terutama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri yang terpaksa bertempur dengan satu sistem yang rosak, pemimpin-pemimpin yang beri bantuan kepada ejen kaya raya dan menekan pekerja yang menganggap mereka sebagai separuh hamba,” kata Anwar.
Berkaitan pengukuhan pentadbiran awam, tindakan Anwar hampir sama dengan beberapa Perdana Menteri terdahulu. Beliau cenderung menyambung perkhidmatan pegawai kanan kerajaan yang telah pencen. Tindakan menyambung kontrak perkhidmatan pegawai kerajaan yang telah bersara mungkin memberi kesan kepada bakat dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai lain dalam organisasi.
Bagaimanapun, jika tindakan ini dilakukan dengan teliti dan berdasarkan keperluan organisasi, ia mungkin membantu untuk mempertahankan kecekapan serta memastikan pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan terus ada.
Namun, hendaklah dipastikan bahawa mereka yang disambung secara kontrak tersebut adalah benar-benar layak, berintegriti, berkebolehan dan diyakini oleh rakyat agar mereka ini tidak menjadi beban kepada kerajaan perpaduan.
Selain bakat dan kebolehan, kesetiaan penjawat awam kanan kepada kerajaan perpaduan juga amat penting. Ini bagi memastikan segala urusan kerajaan tidak dibocorkan kepada pembangkang.
Kerajaan perpaduan diketuai Anwar juga serius dalam memastikan polisi yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan negara dihentikan. Beliau tidak sibuk ‘membalas dendam’, menyalahkan kerajaan terdahulu atau menghapuskan segala legasi dan kebaikan pernah dilakukan kepada rakyat.
“Saya pegang jawatan ini bukan untuk menganiaya, menekan atau menzalimi sesiapa,” demikian tegas Anwar mengenai projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang akan diteruskan khusus untuk membantu golongan bumiputera ketika sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, 9 Mac lalu. – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.