Pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia pada tahun 2020-21 bukan sahaja menggugat aspek kesihatan dan nyawa, malah turut menyerlahkan ‘kerapuhan’ struktur ekonomi negara.
Benar kita mencatat pertumbuhan yang baik pada 2022 tetapi struktur ekonomi negara masih kekal rapuh seperti sebelumnya. Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam sidang Parlimen Selasa lalu, Malaysia mesti menyegerakan penstrukturan semula ekonomi adalah satu keutamaan yang penting.
Ekonomi negara menguncup 5.6 peratus pada 2020, kemudiannya meningkat 3.1 peratus, dan terkini dilapor tumbuh 8.7 peratus tahun 2022.Pengumuman pertumbuhan 8.7 peratus, walaupun diumum tertinggi dalam tempoh 22 tahun lepas perlu ditafsir dengan berhati-hati.
Hakikatnya, krisis ekonomi pada 2020 menyebabkan saiz ekonomi negara menguncup, dan ‘berundur’, bersamaan dengan nilai pada 2018. Secara matematik, dengan nilai asas rendah, kadar pertumbuhan akan ‘kelihatan’ tinggi tetapi tidak dirasai impaknya. Pemulihan tanpa penstrukturan adalah tidak hakiki, tidak mampan.
Kerapuhan ekonomi negara bukan berpunca dari pandemik Covid-19. Telah disuarakan berulang kali oleh pemimpin lalu. Kenyataan Rafizi bahawa cabaran utama kita adalah pelaksanaan, perlu komitmen berterusan sehingga membuahkan hasil adalah tepat.
Asas perekonomian ekonomi negara masih di takuk lama. Sekitar 97 peratus syarikat berdaftar adalah perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PMKS) dan 70 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro (bilangan pekerja 5 orang atau kurang). PMKS menggajikan 66 peratus dari 16 juta tenaga kerja negara.
Di samping itu, Malaysia juga mempunyai sektor ekonomi tidak formal (tiada pendaftaran) yang besar. Anggaran kasar, 1.26 juta orang terlibat dengan perniagaan tidak formal. Mereka bekerja tanpa perlindungan sosial khusus. Tidak mencarum dengan Perkeso. Tiada caruman masa depan dengan KWSP. Kita tidak mempunyai data yang lengkap mengenai sektor ini. Daya tahan negara rendah, mudah dirempuh dengan kejutan ekonomi.
Saiz semata-mata bukanlah faktor mutlak yang menentukan kerapuhan sebuah perusahaan, tetapi amalan perniagaan yang intensif-buruh, tidak mengaplikasikan teknologi canggih dan amalan perniagaan moden, serta terhad kepada saiz pasaran domestik atau lokal, tidak bersifat global menjadikannya rapuh. PMKS menyumbang hanya 12 peratus dari eksport negara.
Kita memerlukan komitmen membangunkan PMKS agar lebih berdaya tahan. Inisiatif Industri4WRD yang menyasarkan kesediaan perusahaan untuk mengaplikasikan teknologi revolusi industri ke 4 (4thIR) tidak lagi kedengaran. Inisiatif MyMudah yang memerlukan setiap kementerian dan agensi menangani birokrasi yang merumitkan juga pudar. Urusan kerajaan dengan rakyat dan perniagaan mesti dipermudahkan.
Pelbagai dokumen dasar halatuju, pemetaan, blueprint, yang dilancarkan sebelum ini, seperti Dasar 4IR Negara, Dasar Agromakanan Negara (DAN2.0), Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA), Pelan Halatuju Teknologi dan Produk Nano Negara, Pelan Pembangunan Pendidikan yang memperincikan halatuju sektoral yang umumnya menggerakkan penstrukturan ekonomi negara sepi, kini kurang didengar.
Penstrukturan semula ekonomi perlu diteruskan walaupun kerajaan telah berubah. Dokumen halatuju strategik boleh dikemaskini tetapi tidak perlu membazir wang, masa, dan tenaga untuk mengumumkan pelan baharu. Sebahagian besar dokumen-dokumen ini memperincikan tindakan untuk negara, bukan untuk mana-mana pihak tertentu. Laksanakan.
Pertumbuhan ekonomi negara hanya tertumpu di 4 negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ketidakseimbangan pembangunan amat jelas. Sembilan negeri adalah ‘terkebelakang’, pendapatan isi rumah penengah yang rendah dari pendapatan isi rumah penengah negara (RM5,873) merangkumi hampir 50 peratus isi rumah. Mereka tidak merasa manfaat pertumbuhan ekonomi.
Herotan ini mesti segera ditangani. Mesti ada dasar jelas, kerangka tindakan, program dan inisiatif bersasar dan sasaran pencapaian jelas. Mesti dipantau dan dilapor dengan rapi. Mengekalkan cara pembangunan seperti cara lama, tidak akan membawa perubahan.
Pelaporan ekonomi mesti diubah, tidak boleh seperti kelaziman hanya bersifat makro, kadar pertumbuhan KDNK, pertumbuhan sektor penawaran, dan sektor permintaan. Kerajaan perlu menekankan pelaporan pengagihan yang lebih bersifat mikro, di wilayah mana dan siapa yang mendapat manfaat pertumbuhan.
Tanggungjawab, gerak kerja dan inisiatif pertumbuhan mesti di perturunkan ke bawah, negeri wilayah dan daerah, tidak bersifat Putrajaya-centric. Kerajaan perlu mempergiatkan konsep whole of nation, melibatkan keseluruhan pemegang taruh melalui pembentukan jaringan awam-swasta-NGO-komuniti dalam melaksanakan inisiatif awam. Ini menuntut reformasi dalam tatacara perkhidmatan awam.
Pelaporan pelaburan, penciptaan pekerjaan, kadar pengangguran dan inflasi juga mesti bersifat mikro. Di manakah pelaburan yang telah diluluskan dan mula beroperasi? Berapa banyak pekerjaan baharu diicipta? Apakah kadar upahnya? Umumkan perincian pengangguran mengikut wilayah dan tahap kelulusan. Laporan harga mengikut negeri/wilayah mesti dipromosikan. Tingkatkan kebertanggungjawaban wilayah dan domestik. Pengurusan ekonomi negara mesti berubah dari kerangka lama.
Saranan Rafizi untuk menyegerakan penstrukturan ekonomi adalah sangat utama. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sering menyatakan keutamaan untuk memastikan rakyat merasai manfaat pembangunan negara, dimartabatkan. Kita mesti bertindak sekarang.
Kata Pemenang Nobel Albert Einstein -“Menjangkakan keputusan yang lebih baik akan terhasil tanpa melakukan perubahan, kekal dengan cara lama seperti dahulu, adalah satu kegilaan”.
Rafizi menjangkakan Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2026. Jangan nanti ada yang berkata, negara yang maju dan berpendapatan tinggi, bukan saya. Ayuh Malaysia, kita berubah.
Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inkslusif UKM (MINDA-UKM). Kini beliau ialah Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.