MUKADIMAH
SAMA ada Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, NURUL HAZWANI HASLAN mahupun Exconya, FADHWA ANUAR, masing-masing sudah bersedia berdepan semua calon secara terbuka dan sihat dalam merebut jawatan Ketua Puteri dalam Pemilihan UMNO 2023 -2026 menggantikan penyandang, Datuk Zahida Zarik Khan yang tamat tempoh.
Ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID bersama jurufoto, AMIR KHALID dan FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, kedua-duanya bersikap terbuka dan menganggap kejayaan atau kekalahan sebagai adat dalam pertandingan.
Berjaya atau tidak, mereka ‘berjihad’ mahu terus menyokong dan setia kepada parti demi menggembalikan semula keyakinan golongan muda terhadap UMNO, sekali gus mahu parti itu menjadi kuasa besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
UTUSAN: Kenapa bertanding?
NURUL HAZWANI: Pertama, Zahida Zarik sudah tamat tempoh. Kedua, sebagai Setiausaha Puteri, saya melihat sistem sayap ini bergerak. Ini menjadi tanggungjawab untuk saya baiki dan tambah baik sistem supaya disegani dan digeruni. Itu bermaksud apa sahaja you cakap akan terus diambil terutama sekali apabila berkaitan dasar dan perkara-perkara melibatkan wanita muda.
Saya melihat Puteri sebagai struktur bangunan. Bila sebuah bangunan itu cantik, rekaan hiasan dalaman juga cantik, pastinya tidak perlu kita panggil (sokong Puteri), mereka sendiri akan masuk.
Kerana ini saya rasa sudah tiba masanya menawarkan diri untuk memimpin dan mengubahnya untuk menjadi satu kuasa besar yang disegani dan dihormati. Saya tidak lagi berpuas hati untuk melihat Puteri menjadi pengikut semata-mata atau hanya untuk memenuhkan majlis.
Sudah tiba masanya Puteri meneraju dan memimpin bersama-sama yang lain untuk menguatkan kembali UMNO. Mesej Puteri kepada rakyat adalah UMNO telah kembali dan kami di sini untuk kekal. Dan dalam landskap politik hari ini kita perlu berlari dua kali lebih pantas.
FADHWA: Saya sudah duduk di kerusi Exco. Dalam tempoh empat, lima tahun ini, banyak saya belajar ditambah dengan pengalaman lepas sebagai pemerhati termasuk dalam penulisan akademik yang tidak boleh berpihak kepada mana-mana parti. Ini bermakna saya boleh mendengar dari pelbagai sudut. Kerana itu saya tawarkan diri untuk bertanding sedangkan ada pilihan lain iaitu masuk Wanita.
Saya percaya banyak lagi perkara boleh diteroka dan digali terutama dalam politik moden. Puteri kena terima hakikat, politik hari ini bukan satu bentuk konservatif atau anekdot.
Anak muda mahu melihat Puteri yang fleksibel, iaitu boleh ditolak ke kiri atau kanan atau boleh duduk semeja dengan parti lain. Bukan bermakna menggadaikan ideologi tetapi boleh berdiplomasi selain mahu membudayakan ilmu kerana tunjang Puteri bukan hanya menjadi pengantara antara rakyat dan kerajaan tetapi peranan kita jauh lebih besar.
ANJAKAN PARADIGMA
Politik negara sekarang dilihat terkedepan (moden). Sudah bersedia harungi cabaran?
NURUL HAZWANI: Landskap politik hari ini sudah berubah. Dulu UMNO dan Puteri berada dalam kerajaan yang memerintah. Kita ada kuasa muktamad untuk lakukan apa sahaja.
Hari ini kita bukan lagi ada pada fasa tersebut tetapi saya mempunyai hati yang cekal dan saya masuk politik dengan mata terbuka.
Langkah pertama, saya harus jadi seorang pemimpin yang kuat, tidak lemah, yang sentiasa ada jalan, ada solusi dalam membantu ahli terutama berdepan cabaran yang sedang kita hadapi bukan sahaja parti tapi negara.
Politik hari ini seperti perang tanpa senjata. Senjata kita adalah bagaimana membawa sesuatu perkara itu sehingga menjadi perhatian seterusnya orang akan ambil tindakan terhadap apa yang kita nak bawa.
FADHWA: Saya menggunakan tagline MOVE (moden, organisasi, versatil dan etika). Saya nampak ia anjakan paradigma. Puteri perlu keluar dari kepompong kebiasaan, keluar dari zon selesa, perlu berfikir di luar kotak. Kita bukan bercakap pasal isu politik semata-mata tetapi ekonomi, sosial mahupun bencana alam. Ini semua perlu Puteri tahu supaya menjadi rujukan atau jurucakap kepada orang muda.
Imej yang dibawa perlu versatil seiring corak perubahan politik global. Kalau lihat di luar negara, orang muda sangat ke depan dalam pelbagai isu. Kita nak keadaan sama berlaku tetapi dengan tujuan kebaikan. Kita boleh jadi semak dan imbang untuk kerajaan.
Kalau Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ada youth quake. Kita juga perlu begitu. Kita perlu kawal persepsi tetapi imej Puteri perlu dipandang segar dan menjadi harapan kepada golongan wanita dan anak muda. Kalau diberi mandat, cita-cita saya untuk melihat pada PRU16 lebih ramai calon Puteri bertanding dan menang.
Anda dijangka berdepan beberapa nama besar dan mempunyai pengaruh yang kuat sama ada melalui media atau akar umbi. Apa persiapan untuk bertanding?
NURUL HAZWANI: Saya akan jelajah ke seluruh negeri untuk menyampaikan kepada ahli tentang pendirian saya, apakah visi dan misi serta apa yang saya tawarkan kepada parti dan juga negara. Kita perlu memperkasakan belia dan wanita. Dan inilah yang dilakukan sekiranya dipilih sebagai Ketua Puteri.
FADHWA: Sejujurnya saya tidak gentar sebab kita kawan-kawan, pernah duduk minum kopi sama-sama. Saya sebenarnya seronok tengok kawan-kawan bertanding jawatan ini kerana kita mempunyai matlamat sama untuk pastikan Puteri lebih baik dan ikut trend semasa, cuma bezanya pendekatan.
KAWAL PERSEPSI
Bagaimana anda melihat Puteri hari ini dan apa perubahan yang ingin dibawa bagi memastikan Puteri terus relevan?
NURUL HAZWANI: Puteri hari ini umpama ‘harimau’ yang sedang tidur. Potensinya belum keluar kesemuanya lagi. Jika harimau terjaga dari tidur maka susah untuk dia kembali tidur dan saya akan pastikan potensi sayap ini keluar 100 peratus dan bangun dari tidur.
FADHWA: Satu kelemahan kami, masih lagi terkebelakang dalam mengawal persepsi, mengawal media sosial. Bagi saya, kalau kita boleh kawal dan boleh balas balik naratif, insya-Allah kita boleh pergi jauh. Mungkin selepas ini dengan kepimpinan baharu sepertimana dikata presiden akan fokus kepada media dan media sosial seperti TikTok, maka kita mampu untuk mengawal dan mengekang persepsi yang boleh jatuhkan parti.
WAJAH BAHARU
Sudah buat bedah siasat punca golongan muda menolak lima calon Puteri pada PRU15 lalu?
NURUL HAZWANI: Pengundi muda tidak menolak calon Puteri tetapi menolak UMNO kerana tiada naratif yang jelas. Pengundi tidak pasti tentang pendirian parti. Kerana itu Puteri perlu memastikan matlamatnya jelas dan perlu sampai kepada pengundi muda terutama Undi18.
FADHWA: Tidak keterlaluan saya kata kerana persepsi. Ada kesilapan, kelemahan menyusun atur strategi. Mungkin rezeki tidak memihak kepada kami lima orang tetapi kami yakin dan percaya dengan satu gelombang dalam kepimpinan akan datang akan beri wajah baharu bukan sahaja Puteri tetapi UMNO juga. Sebenarnya banyak faktor, mungkin kerana calon, media sosial, strategi tidak mengena, pecah undi. Tidak adil untuk cakap satu faktor sahaja.
POLITIK KEBAJIKAN
UMNO terkenal dengan politik kebajikan dan adakah ia masih relevan selepas kalah PRU15?
NURUL HAZWANI: Semua pengundi di seluruh dunia hanya bimbang dengan satu perkara, iaitu periuk nasi. Kekalahan dalam PRU15 adalah kerana kita kurang jelas memberi jaminan kepada pengundi bagaimana kita boleh menjamin kesejahteraan ekonomi mereka.
Kami tidak keluar dengan naratif yang jelas. Seperti dikatakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, “It’s the economy, stupid!” (Ini adalah ekonomi, bodoh!). Dan itulah beliau memenangi pilihan raya.
FADHWA: Itu istimewanya UMNO, orang lain tidak sampai, dia sampai dahulu. Ia akan terus menjadi teras UMNO dan masih relevan tetapi saya suka melihat ia ditambah baik dan dipecahkan kepada pelbagai aspek yang lebih cantik, bukan hanya fokus kepada politik kebajikan.
RANCANGAN LIMA TAHUN
Dengan pengalaman yang ada, mampukah anda mengembalikan semula kepercayaan golongan muda terhadap UMNO pada PRU16 nanti?
NURUL HAZWANI: Kita kembali kepada perkara asas. Bentangkan pelan atau rancangan untuk lima tahun kepada pengundi. Ia mestilah meliputi ekonomi dan bagaimana kita boleh memberi jaminan survival rakyat kerana pada akhirnya rakyat mahu ada makanan di atas meja.
Kita perlu tahu apa yang kita kena buat atau selesaikan. Jadi, saya akan memperkenalkan solusi saya yang boleh membawa rakyat kembali apabila kita rasa apa yang mereka rasa.
FADHWA: Insya-Allah, saya yakin UMNO ada pemimpin yang boleh digilap bakatnya dan diketengahkan. Ini adalah kerja berpasukan. Kita lahirkan ramai pemimpin. Walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan persepsi yang kurang enak, UMNO boleh bangkit dan saya percaya pada strategi. Kalau strategi kita mengena, kita gunakan tempoh empat atau lima tahun ini dengan sasaran yang betul, kita boleh kembali terutama menarik sokongan mereka yang tidak berparti.
DARI PAHANG UNTUK MALAYSIA
Bagaimana dengan sokongan akar umbi? Anda yakin boleh memenangi hati mereka?
NURUL HAZWANI: Penerimaan mereka sangat baik. Saya menerima maklum balas yang bagus malah mereka menolak saya ke depan agar terus dalam perjuangan ini. Akhirnya, saya serahkan kepada Allah SWT dan hanya Dia yang mengetahui masa depan.
FADHWA: Alhamdulillah, dapat maklum balas yang baik. Saya memohon izin, doa restu sokongan daripada semua perwakilan di semua peringkat kerana bagi saya untuk melangkah ke satu peringkat yang tinggi, jangan lupa adat dan adab. Tradisi budaya kita perlu hormat, perlu dapat restu. Saya bukan hanya bawa nama sendiri tetapi bawa imej UMNO Kuantan dan paling penting penting, bawa imej Pahang dan wajah MB (Menteri Besar). Itu saya maksudkan dari Pahang untuk Malaysia
BEKERJA UNTUK PARTI
Janji kepada parti dan penyokong?
NURUL HAZWANI: Saya tidak akan menjanjikan benda atau perkara yang saya tidak boleh tunaikan dan akan menunaikan janji yang telah diberi melalui visi dan misi selain tidak akan meninggalkan parti.
FADHWA: Tak nak janji bulan dan bintang yang begitu gah sebab saya takut jika jatuh akan sakit. Saya nak tawarkan sesuatu yang dirasakan keperluan Puteri pada masa sekarang. Kita perlu lihat dalam konteks dalam dan luar negara.
Puteri perlu faham apa itu UMNO, apa itu politik dan perlu tahu peranan dan fungsi. Ini kerana kalau you tak ada fungsi yang baik, sebesar mana pun nama you, you tak boleh berjalan dengan baik. Kerana itu perlu ada ilmu, perlu tahu setiap sudut. Sebab itu saya perlu sokongan semua. Naik saya bukan bermakna ahli bekerja untuk saya sebaliknya untuk parti. – UTUSAN