KPM perlu lebih dinamik - Utusan Malaysia

KPM perlu lebih dinamik

Guru harus memahami kepelbagaian kemampuan dan potensi murid sebagai satu cabaran yang mesti diuruskan dengan berkesan dan tidak boleh dipinggirkan. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila pandemik Covid-19 melanda negara kita, tiga sektor utama yang terkesan teruk adalah sektor kesihatan, sektor ekonomi khususnya kos sara hidup rakyat dan juga sektor pendidikan anak-anak.
Di peringkat dunia, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan UNESC0 melaporkan hampir 750 juta kanak-kanak terjejas pendidikan mereka akibat pandemik Covid-19. Sebahagian besar kanak-kanak yang berhadapan dengan keciciran pendidikan berada di negara membangun dan negara mundur. Malah didapati bahawa ramai dalam kalangan kanak-kanak ini akhirnya telah meninggalkan bangku sekolah lebih awal.
Sistem pendidikan di Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan buruk akibat pandemik ini. Satu tinjauan massa pada September 2022 yang bertajuk Apa Rakyat Mahu?: Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 oleh firma penyelidikan O2 mengesahkan rakyat mahu pemulihan pendidikan dilakukan oleh parti yang menang dalam PRU15.
Terkini satu kajian yang lebih komprehensif dilakukan oleh sebuah badan NGO pendidikan dikenali sebagai ‘Untuk Malaysia’ telah mengesahkan berlaku keciciran yang kritikal dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Mereka menerbitkan sebuah laporan kajian bertajuk Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia 2023. Agensi NGO ‘Untuk Malaysia’ juga mencadangkan supaya program pemulihan keciciran pendidikan wajib dilakukan segera.
Malah laporan Untuk Malaysia juga bukan sekadar memberikan perhatian kepada isu keciciran persekolahan formal tetapi turut memperincikan kumpulan murid berisiko cicir, murid cicir literasi, murid yang rentan pendidikan akibat kemiskinan, murid cicir Orang Asli, murid cicir Pra Sekolah, murid cicir gizi, murid cicir OKU serta murid cicir SPM. Setiap kumpulan ini memerlukan pemulihan serta intervensi yang berbeza.
Apabila Menteri Pendidikan, Puan Fadzlina Sidek dilantik dan mula menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Pendidikan, pada minggu-minggu awal, beliau bertindak pantas membentangkan tujuh teras yang menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Idea beliau mendapat sambutan baik daripada masyarakat khususnya warga pendidik dan ibu bapa.
Beliau berjaya menggagaskan tujuh teras utama yang menjadi agenda besar KPM dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Tujuh agenda ini benar-benar memperlihatkan kesediaan beliau mengenal pasti perkara asas yang menjadi masalah kepada sistem pendidikan negara. Malah menariknya bila salah satu teras utama KPM adalah menyelesaikan isu keciciran murid.
Bagaimanapun, setelah hampir 70 hari beliau dilantik sebagai menteri pendidikan sehingga kini tujuh teras utama pendidikan itu masih belum mempunyai apa-apa pelan serta perancangan yang strategik untuk dilaksanakan. Rakyat masih tertunggu-tunggu apakah tindakan-tindakan susulan kepada sistem pendidikan negara seperti yang dihasratkan melalui tujuh teras agenda pendidikan KPM.
Sistem pendidikan negara pasca pandemik Covid-19 tentunya memerlukan perhatian yang khusus kepada usaha-usaha pemulihan pendidikan anak-anak itu. Ini seharusnya menjadi tindakan pertama Menteri Pendidikan untuk dilaksanakan seberapa segera. Malangnya, sehingga kini masih belum ada usaha bagi menyelesaikan isu keciciran pendidikan ini.
Malangnya, disebabkan tiada tindakan pemulihan dilakukan secara berkesan untuk memastikan penguasaan kemahiran 3M meningkat, ramai murid khususnya di sekolah rendah terpaksa berhadapan dengan tekanan pembelajaran yang berpanjangan.
Sudah sampai masanya KPM memulakan tindakan untuk mereformasikan sistem pendidikan negara. Pertama, segera mengenal pasti rantaian isu berkaitan silibus sekolah rendah yang dikatakan berat dan sukar. Kedua, menyelesaikan isu bebanan tugas guru yang melampau. Ketiga, menyelesaikan isu kekurangan guru yang semakin kritikal dan keempat menyelesaikan isu sekolah daif dan sekolah sesak murid.
Seperkara lagi yang sepatutnya menjadi perhatian kepada kepimpinan KPM adalah meningkatkan keterlibatan rakyat dengan info-info terkini berkaitan pendidikan. KPM tidak lagi boleh bekerja secara ‘silo’ tanpa mengambil kira keinginan rakyat untuk mengetahui apakah perancangan dan usaha yang dilakukan untuk pendidikan anak-anak mereka.
KPM sepatutnya memulakan reformasi untuk menambah baik sistem penyampaian, perkongsian maklumat dengan ahli masyarakat serta bersedia mendengar dan memaklumkan apakah tindakan yang akan diambil kepada masyarakat secara terbuka.
Budaya kerja ‘hanya aku sahaja yang tahu’ sepatutnya tiada lagi di minda pengurusan KPM. Rakyat berhak tahu dan mengambil bahagian di dalam membuat keputusan penting pendidikan demi kebaikan anak-anak mereka.
Negara kita mempunyai sistem pendidikan yang diteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sewajarnya FPK ini dihayati oleh seluruh warga pendidik dan ibu bapa. FPK mesti dikembalikan aspirasinya sebagai kerangka utama pemikiran pendidikan serta pelan Pendidikan negara pada masa depan.
Sebagai contoh, FPK menekankan soal potensi individu yang harus diterapkan di dalam amalan pengajaran dan pembelajaran. Individu di dalam FPK bermaksud setiap murid mempunyai kemampuan dan potensi berbeza-beza. Guru harus memahami kepelbagaian kemampuan dan potensi murid sebagai satu cabaran yang mesti diuruskan dengan berkesan dan tidak boleh dipinggirkan.
Meraikan kepelbagaian potensi murid memerlukan guru mempunyai kecekapan pedagogi serta nilai kemanusiaan yang tinggi. Begitu juga dengan pentadbir sekolah serta pentadbiran peringkat JPN dan PPD juga perlu bukan sekadar menghafal FPK secara harfiah tetapi mesti menguasainya.
Minda warga kerja KPM perlu berubah. Hubungan KPM dengan masyarakat khususnya ibu bapa juga mesti juga berubah. Amalan perkongsian maklumat serta keterlibatan semua pihak di dalam organisasi KPM di dalam membuat keputusan penting pendidikan negara juga harus berubah.
Perubahan minda dan budaya kerja KPM sangat diperlukan kerana selain KPM perlu menyelesaikan isu keciciran murid yang serius pada hari ini, KPM juga perlu meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan dan operasi pendidikan negara serta mula giat untuk memulakan gerak kerja menyediakan pelan pendidikan baru selepas tamatnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada akhir tahun 2025 nanti.

Dr Anuar Ahmad ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM dan Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya