“Dari aku kecil sampai anak dah kahwin, masa menunggu dekat hospital kerajaan macam itu jugalah. Tak berubah. Dari pagi membawa ke petang. Kalau kita komplen nanti kata bayar tak sampai RM5 banyak bunyi. Nak cepat pergi hospital swastalah,” kata seorang kawan yang menghidap penyakit `tiga serangkai’ – kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Katanya, kalau dia mempunyai banyak duit, tak payah cakaplah. Tentu dia sudah lama ke hospital swasta.
Segala laporan penyakit dan perubatannya ada di hospital kerajaan. Dia mendapatkan rawatan di situ kerana kosnya amat murah. Hakikatnya, mana ada orang suka pergi hospital, kalau tak sakit.
Kadang-kadang, katanya, ‘panas telinga’ juga apabila staf hospital menyindir suruh pergi ke hospital swasta bila ada pesakit yang datang merungut lama sangat menunggu.
Pernah juga dia cuba membeli ubat yang disarankan doktor di klinik swasta dan farmasi tetapi dia terkejut kerana harganya berganda-ganda mahalnya. Jadi, tiada pilihan. Berlama-lamaanlah dia menunggu di hospital atau klinik kesihatan setiap kali ada temu janji dengan doktor.
Saya katakan kepadanya, hospital swasta pun masa menunggu sekarang ini lama juga. Ramai yang sakit ketika ini. Tetapi tidaklah dari waktu pagi di bahagian kecemasan, tengah malam baru dapat masuk wad.
Isunya di sini yang ingin saya katakan, bukan kerana rakyat tidak berterima kasih, tidak bersyukur atau hendak memperlekeh hospital kerajaan. Semua orang tahu hospital kerajaan di negara ini adalah yang paling murah caj perkhidmatannya dan mempunyai barisan doktor pakar yang terbaik.
Tetapi adakah disebabkan dengan membayar caj atau kos yang murah sebegitu maka orang ramai sepatutnya redha sajalah dengan keadaan dan masa menunggu yang begitu lama? Tiada apa yang perlu berubah dari dulu hingga sekarang?
Pada masa ini, kira-kira 80 peratus daripada kira-kira 33.4 juta rakyat Malaysia terutama golongan B40 yang kini jumlahnya mencecah 8.7 juta orang memilih menggunakan perkhidmatan kesihatan awam sebagai saluran utama mendapatkan rawatan.
Ia bukan soal kalau hospital kerajaan tidak bagus dan teruk perkhidmatannya kenapa tetap berpusu-pusu ke sana? Ia adalah sebab kos murah, orang ke sana.
Dalam apa jua sektor awam pun, sudah tentu orang ramai mahukan pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatannya apatah lagi apabila ia melibatkan kesihatan. Ia adalah tentang kesakitan dan nyawa. Sampai bila masa menunggu di hospital kerajaan akan kekal lama begitu?
Ada yang sudah tunggu lama, apabila tiba giliran diminta datang pula pada hari lain yang diatur sebulan atau dua bulan lagi. Sebab doktor ada kes kecemasan. Sedangkan, sakit itu tidak tertanggung lagi.
Kelmarin akhbar Utusan Malaysia melaporkan pesakit kronik di negara ini terpaksa menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk berjumpa, dirawat dan dibedah ekoran kekurangan doktor pakar yang kini hanya berjumlah 13,000 orang.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, keadaan itu menyebabkan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kesihatan yang menetapkan tempoh menunggu rawatan pakar antara dua hingga empat minggu gagal.
Disebabkan itu, pesakit terpaksa mencari doktor di hospital swasta dan membayar kos yang mahal manakala yang tidak mampu terpaksa menunggu dan kemungkinan masa menunggu, pesakit tidak sempat dirawat atau dibedah meninggal dunia dulu, kata beliau.
Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di majlis perasmian Hospital Tanjung Karang pada Khamis lalu bertitah, KKM perlu menambah baik kemudahan kesihatan di negeri itu terutamanya memendekkan masa menunggu pesakit.
Titah baginda, ketika ini rakyat terpaksa menunggu lama di bahagian kecemasan hospital sebelum dimasukkan ke dalam wad kerana terlalu ramai pesakit. Masa menunggu untuk rawatan lanjut dan pembedahan juga mengambil masa berbulan-bulan.
Oleh itu, baginda memohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan diutamakan manakala jumlah doktor dan jururawat ditambah.
Sebelum ini juga Utusan Malaysia melaporkan sistem kesihatan awam semakin kritikal sehingga negara terpaksa menyaksikan seorang doktor perlu merawat 1,000 pesakit sedangkan nisbah doktor dan pesakit oleh KKM bagi tahun 2021 adalah 1:420 di sektor awam serta swasta.
Ketidakseimbangan itu mungkin lebih teruk susulan pendedahan oleh portal berita kesihatan, Code Blue apabila 70 peratus petugas KKM mendakwa mereka mahu berhenti kerana tidak puas hati dengan sistem penjagaan kesihatan negara.
Tentunya dengan kekurangan staff kesihatan sama ada doktor pakar, pegawai perubatan dan jururawat, kakitangan yang ada tidak menang tangan untuk menangani bilangan pesakit yang juga kian bertambah.
Ditambah pula dengan skim gaji yang tidak memberangsangkan, yang burnout dengan bebanan kerja lama-kelamaan mengambil keputusan berhenti kerja.
Apatah lagi hospital swasta menawarkan gaji dua atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding hospital kerajaan. Iyalah daripada mereka ‘diperah’ teruk keringatnya dengan beban kerja yang banyak, adalah lebih baik bekerja di hospital swasta, penat pun tak mengapa kerana gajinya cukup berbaloi.
Diharapkan belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Februari ini akan memberikan peruntukan yang besar untuk KKM termasuk menjaga kebajikan warga kerja KKM.
Sementelah pula, banyak lagi boleh ditambahbaik untuk keselesaan dan kemudahan pesakit dan keluarga pesakit.
Antaranya mengadakan tempat letak kereta yang lebih banyak. Bukannya kenderaan terpaksa bersidai di tepi-tepi jalan besar yang menambah kesesakan lalu lintas dan membahayakan nyawa.
Dalam pada itu yang boleh difikirkan juga adalah menyediakan hostel atau hotel bajet untuk keluarga pesakit di kawasan berdekatan hospital.
Saya rasa ini antara satu keperluan kerana kebanyakan keluarga pesakit ini tinggal jauh dari hospital dan terpaksa tidur di tempat menunggu yang sentiasa penuh atau dalam kenderaan.
Apa pun, kesihatan adalah sektor paling penting diberikan tumpuan oleh kerajaan dan sentiasa memerlukan pembaikan dari semasa ke semasa. Bukan statik tanpa perubahan bertahun-tahun.
Apa guna kita mempunyai mercu tanda pencakar langit yang melambangkan kemajuan negara ini secara kosmetiknya, tetapi bab-bab kesihatan kita paling ke belakang. Rakyat yang kronik sakitnya menanggung kesakitan yang lama sementara menunggu diberi rawatan dan ada yang tidak sempat, sudah meninggal dunia. Sungguh, inilah kisah benar rakyat yang amat menyedihkan.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.