Betulkah pekerja senior sekat peluang orang muda bekerja? - Utusan Malaysia

Betulkah pekerja senior sekat peluang orang muda bekerja?

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA akhbar Utusan Malaysia melaporkan di muka depannya pada Isnin lalu, berita bertajuk Apa nasib 100,000 graduan? ramai pembaca yang meninggalkan komen, antaranya – inilah akibat dan kesannya apabila had persaraan dilanjutkan kepada usia 60 tahun. Lanjutan itu telah mengecilkan peluang untuk anak-anak muda bekerja terutamanya dalam sektor awam.
Ada yang menyuarakan, selagi golongan berusia ini mendominasi sektor awam mahupun swasta atau terus memegang jawatan yang tinggi, selagi itulah tiada kekosongan jawatan dan peluang orang lain untuk naik pangkat tersekat di situ.
Itupun sebelum ini masih ada pihak menuntut diberikan lagi ‘masa tambahan’ dua atau lima tahun lagi, iaitu 62 atau 65 tahun. Macam main bola sepak pula, ada masa tambahan dan masa kecederaan. Kenapa tidak dilanjutkan sehingga 100 tahun? Kata seorang pembaca.
Had persaraan ini digesa dikaji dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya, dalam usia 55 tahun, pekerja mempunyai baki pinjaman perumahan yang masih banyak, komitmen anak-anak yang masih belajar di institut pengajian tinggi (IPT) selain simpanan dalam KWSP sedikit.
Jadi macam mana golongan muda ini dapat mengisi pekerjaan atau pekerja kontrak muda dapat diserapkan sebagai pekerja tetap, apabila pekerja-pekerja senior ini menguasai 70 hingga 80 peratus dalam sesebuah organisasi itu?
Ada yang berpendapat, sepatutnya tempoh persaraan kekal 55 tahun. Ia lebih sesuai kerana dalam usia itu kebanyakan pekerja masih tidak begitu dibelenggu oleh masalah kesihatan berbanding 60 tahun.
Golongan dalam usia sebegini juga dikatakan sukar untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi yang canggih dalam pekerjaan. Susah untuk belajar. Mereka ini boleh menjadi liabiliti kepada sesebuah organisasi. Majikan pun tidak boleh berbuat apa-apa. Menunggu saja mereka pencen.
Di negara ini, skim persaraan penjawat awam sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun. Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 kepada 56 tahun pada 2001. Diikuti dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun pada 2008 manakala empat tahun kemudian sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 kepada 60 tahun.
Setiap kali had usia persaraan ini dinaikkan, ramai yang membantah. Menyuarakan kebimbangan kerana graduan atau golongan muda yang ingin masuk ke dalam sektor awam terpaksa menunggu lama dan pada masa sama ia menyekat kenaikan pangkat pegawai atau pekerja lain yang berkebolehan.
Utusan Malaysia pada 13 Februari lalu melaporkan kira-kira 100,000 mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di lebih 20 IPT pada minggu ini khuatir dengan peluang mereka untuk memasuki pasaran kerja yang dilihat samar-samar.
Ini mengambil kira unjuran penganalisis ekonomi menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini cuma sekitar empat hingga 4.5 peratus kerana faktor global dan kesan pasca pandemik Covid-19 yang belum pulih berbanding KDNK 8.7 peratus tahun depan.
Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kebolehpasaran graduan isu besar apabila saingan mendapat kerja sengit terutamanya bidang tertentu yang dipilih ramai pelajar.Menurutnya, sejak pasca pandemik dengan negara ini turut dipengaruhi oleh faktor global, kebolehpasaran graduan semakin mengecil dan tidak pelik jika mereka hanya bekerja sebagai jurujual.

Hakikatnya, di mana-mana sektor pun memerlukan tenaga kerja yang berpengalaman dan mahir dalam sesuatu bidang. Contohnya, doktor pakar dan kerja-kerja pengurusan serta profesional lain.
Ia bukan setakat faktor usia, ia adalah tentang kemampuan seseorang pekerja itu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik selain tahap kecergasan dan kesihatan yang sudah tentu mempengaruhi prestasi kerja.
Sesiapa yang bagus, kreatif, masih bersemangat untuk memajukan syarikat dan mempunyai kesihatan yang baik, tidak sepatutnya diketepikan kerana faktor usia.
Tidak adillah untuk kita memukul rata semua pekerja yang mencapai usia 50 tahun ke atas ini adalah liabiliti kepada syarikat. Sedangkan, kebanyakan golongan ini juga menjadi penggerak utama kepada organisasi itu. Kepakaran, idea dan kemahiran mereka masih dijadikan rujukan.
Kalau ingin mengaitkan sikap suka ‘tuang kerja’, asyik baca surat khabar atau main telefon, selalu turun ke kantin dan ‘kaki MC’, ia bukan sahaja melibatkan pekerja yang berusia, ia turut dilakukan oleh pekerja baru dan lama, tua atau muda.
Banyak juga majikan yang pening kepala apabila mengambil pekerja muda yang selalu suka bertukar-tukar kerja. Ada yang kerja tidak sampai seminggu, selepas itu kelibatnya pun tidak nampak lagi tanpa memberi notis.

Ini semua adalah lebih kepada sikap dalam pekerjaan. Tua atau muda, pasti ada yang ‘membuat perangai’ dalam mana-mana organisasi pekerjaan.
Bagaimanapun, pekerja senior mempunyai pilihan sama ada mahu bersara pada usia 60 tahun atau lebih awal dari itu jika tidak mampu untuk bekerja. Jika sekadar mahu ambil gaji tetapi tidak menyumbang apa-apa, ini yang perlu dilihat oleh majikan.
Soalnya sekarang adalah peluang pekerjaan. Saya tidak rasa kebanyakan graduan kita memilih kerja. Ini kerana kebanyakan mereka boleh kita lihat bekerja di pusat beli-belah sebagai jurujual atau kru di restoran makanan segera. Mereka bukan fokus sangat pada sektor awam kerana sedar peluang pekerjaan yang tidak banyak itu.Utusan Malaysia semalam turut melaporkan, hampir dua juta pencari kerja menggunakan platform pekerjaan negara iaitu MYfutureJobs dari 2020 hingga 10 Februari lalu namun yang berjaya mendapat kerja dalam tempoh itu cuma 776,742 orang.
Daripada 776,742 itu, 251,815 membabitkan pemohon dalam kalangan belia atau graduan universiti. Kerja-kerja yang ditawarkan dalam portal tersebut termasuk kerja-kerja di stesen minyak, jurujual pasar raya, pelayan di restoran dan tukang cuci.
Maknanya apa? Graduan tidak memilih kerja. Mereka sanggup bermula dari bawah, seperti kebanyakan kita yang terlebih dahulu melalui fasa ini. Bukan terus jadi pegawai atau bekerja dalam bidang yang mereka belajar.
Bagaimanapun, pada masa ini hanya terdapat 184,228 kekosongan jawatan aktif semasa iaitu jawatan sedia menerima pekerjaan berbanding jawatan kosong diiklankan sehingga 8.3 juta.
Itu belum masuk lagi bab-bab pekerja asing, yang mana rakyat negara ini terpaksa pula bersaing dengan mereka untuk mendapat pekerjaan. Majikan pula suka mengambil pekerja asing kerana boleh membayar gaji yang rendah selain tidak banyak kerenah.
Ada yang memberi cadangan supaya kursus-kursus yang sukar menembusi pasaran pekerjaan jangan lagi ditawarkan di universiti awam dan swasta. Ia adalah satu ‘perangkap’ kepada isu graduan menganggur.
Dalam pada itu, anak-anak muda ini mesti diberikan penerangan tentang prospek kursus-kursus yang akan mereka ambil atau minati. Ini kerana ada mengambil kursus-kursus yang kurang dalam pasaran kerja asalkan dapat memasuki universiti sama seperti kawan-kawan lain.
Sementara itu, banyak lagi boleh dilihat termasuk dari segi persaraan, dengan skim gaji yang rendah dari dulu sampai sekarang macam mana simpanan dalam KWSP akan banyak? Dalam pada itu harga rumah pula terlalu mahal mengheret tempoh pinjaman melepasi had usia persaraan.
Ini semua ‘pusing-pusing’ sedikit sebanyak memberi kesan kepada peluang pekerjaan untuk orang muda.
Dulu, tidak lama dululah, semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15, ada calon yang bertanding memberi formula bahawa gaji minimum RM1,5000 perlu dinaikkan dan begitu juga gaji permulaan para graduan dalam menangani isu utama rakyat iaitu peningkatan kos sara hidup.
Mungkin kali ini, ada menteri yang boleh memberi formula terbaik bagi mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan? Rakyat sedang menunggu formula itu.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya