BARU-BARU ini tular dalam media sosial beberapa gambar hidangan makan tengah hari di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Dua pinggan nasi dengan beberapa ekor sotong kecil dan sayur, hidangan itu berharga lebih RM70. Itu tidak termasuk minuman.
Sebelum itu pun, tular juga sebuah restoran mengenakan bayaran RM2 untuk segelas air suam!
Ada yang menyarankan, kalau ada hidangan sotong atau udang di restoran, ‘pakat tenung’ sajalah bagi yang ada dalam poket bawah RM20. Jangan berani ambil.
Dan ramai juga komen, sama ada menasihati, bersikap sarkastik atau sinikal dengan memetik kata-kata seorang menteri beberapa hari lalu – dengarlah cakap Pak Menteri, boikot saja kedai makan harga kayangan. Ini tidak, semakin mahal, semakin panjang pula beratur.
Bab-bab harga cekik darah ini, tak perlu tunggu saranan menteri pun. Betul, boikot saja kedai makan sebegini. Banyak lagi restoran lain dengan macam-macam pilihan dan harga.
Kalau restoran lain boleh jual dengan harga rendah, mengapa pula ada mengenakan harga yang tak masuk akal. Sekarang ini kita sudah biasa lihat nasi lemak sampai RM20 sepinggan walhal bukan di hotel. Nasi kosong pula ada sampai RM2, bukan beras Basmathi pun, lokasinya warung di tepi jalan saja.
Memang tak boleh dinafikan, pengguna kena bijak berbelanja ikut kemampuan. Pengguna berkuasa untuk memilih, sama ada untuk menikmati harga makanan mampu beli atau terus makan bermewah-mewah tetapi selepas itu merungut gaji kecil.
Pun begitu, saranan pulaukan atau boikot restoran, sudah berkali-kali dibuat oleh kerajaan sebelum ini termasuk persatuan pengguna sejak sekian lama.
Memboikot restoran dan kedai makan adalah hak dan pilihan individu. Jika mampu dia masuk. Tak mampu cari kedai lain. Ini formula sangat mudah. Tak perlu pakar ekonomi. Pengguna pun boleh fikir sendiri.
Itu sajakah nampaknya formula ampuh dari sebuah kementerian sejak dahulu hingga kini dalam menyelesaikan satu isu besar dalam negara ini iaitu kenaikan harga barang.
Rakyat sudah biasa dengan saranan – apabila restoran itu mahal boikot, harga ayam mahal jangan beli ayam, telur mahal jangan makan telur, minyak masak mahal jangan makan makanan bergoreng, jagalah kesihatan dan gaji tak cukup, buat dua atau tiga kerja.
Kalau itu saja jalan selesainya sejak bertahun-tahun, senang cakap tak payahlah kita ada kementerian yang membabitkan kepentingan pengguna. Negara sudah jimat banyak satu perkara.
Rakyat sebenarnya menjangkakan kenyataan memboikot membeli barang-barang mahal hanya keluar daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan pengguna, bukan kerajaan. Orang kata ini cakap-cakap level NGO.
Di pihak kerajaan, rakyat mahu tindakan pengawalan dan pengurangan harga dilakukan. Ia perlu diselesaikan di semua peringkat rantaian bekalan makanan iaitu pengeluar, pemborong, pihak yang mengangkut dan peruncit. Ini kerana rakyat dan NGO tidak boleh melakukan semua perkara itu.
Pada masa sama, gunakan mekanisme undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 ke atas peniaga-peniaga yang mengambil untung berlebih-lebihan daripada kenaikan kos memperoleh bahan mentah.
Kenaikan harga bahan mentah seperti ayam, daging, minyak masak, telur, bijirin dan gula membuatkan peniaga kedai makan terpaksa menaikkan harga. Apabila harga barang mentah naik, sudah tentu harga makanan turut naik. Peniaga mana yang mahu berniaga rugi. Semua mahu untung.
Kesan kenaikan bahan mentah ini dirasai oleh semua peniaga kedai makan tidak kira bertaraf restoran kayangan, restoran mamak, warung kecil atau penjaja di tepi jalan.
Tak akanlah restoran yang kos operasinya tinggi iaitu membayar sewa premis yang tinggi dan pekerja yang ramai boleh menawarkan harga makanan yang rendah apabila harga bahan mentah naik. Bagaimana mahu menyerap kenaikan harga itu?
Begitu juga penjaja di tepi jalan yang terpaksa menaikkan harga jualan turut diminta agar rakyat memboikot mereka walhal isu sebenarnya adalah kenaikan harga bahan mentah.
Dan menjadi persoalan besar di sini adakah harga barangan mentah sudah turun seperti yang dikatakan oleh seorang menteri baru-baru ini yang menggesa peniaga menurunkan harga makanan?
Sedangkan, hasil tinjauan media kebanyakan peniaga mendakwa harga barangan mentah tidak pernah turun. Pengeluar masih menjual dengan harga tinggi. Pemilik rantaian restoran besar mamak dan pasar raya turut menafikan harga bahan mentah sudah turun.
Maka kementerian terbabit perlu pergi kepada pengeluar bahan mentah ini untuk mengetahui keadaan sebenar. Benarkah harga turun? Adakan perbincangan dengan semua pihak dalam rantaian bekalan makanan ini untuk meleraikan satu persatu isu kenaikan harga. Bukan setakat berteori dan membuat kertas kerja daripada dapatan-dapatan dalam internet. Turun padanglah. Baru tahu lebih jelas hal sebenar.
Perangkaan inflasi yang diumumkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) baru-baru ini memberitahu, walaupun inflasi bagi Disember 2022 mereda kepada 3.8% berbanding 4.0% dalam bulan sebelumnya, kategori harga di restoran dan hotel adalah satu-satunya kategori harga yang masih belum mereda (iaitu kenaikan 7.4% dalam Disember 2022 berbanding 7.0% bulan sebelumnya).
Dan kalau ikut formula parti pembangkang sebelum ini, mahu turunkan harga barang kena turunkan juga harga petrol. Rakyat sedang menunggu pelaksanaan formula itu. Begitu juga semasa kempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-16, ada yang memberi formula untuk mengatasi kos sara hidup akibat kenaikan harga barang dan makanan, gaji minimum perlu dinaikkan dan begitu juga gaji graduan.
Rakyat nampaknya perlu bersabar dan rasional dalam menunggu formula-formula penurunan harga makanan dan barangan. Rakyat amat berharap agar formula-formula yang diutarakan kelak boleh memberi keadaan ‘menang-menang’ kepada semua pihak terutamanya pengguna.
Dan pastinya juga rakyat menantikan berita-berita baik dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari nanti. Berita baik yang baharu. Bukan ulang tayang daripada belanjawan terdahulu.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.