Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
(Yang membuat liputan lawatan rasmi
Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta baru-baru ini)
LAGU berjudul Gang Kelinci dipopularkan penyanyi legenda, Lilis Suryani pada 1963, sehingga kini entah berapa ramai artis dan band Indonesia menyanyikan atau merakam semula lagu tersebut dengan sentuhan baharu.
Era modern ini, Gang Kelinci tetap menjadi pilihan artis baharu yang tidak rasa ‘geli’, malu atau muak mendendangkannya di khalayak malah pada siaran langsung program-program di televisyen.
Bonita & The Hus Band antaranya, pernah menyanyikan lagu itu ketika program Indonesia Morning Show di saluran Net Mediatama Televisi (NET.). Bersungguh-sungguh band tersebut membawakan lagu yang penuh elemen keanak-anakan itu.
Gang (lorong kecil) Kelinci di Jakarta Pusat, diceritakan Titiek Puspa selaku pencipta lagu tersebut, merupakan kawasan sempit, dipenuhi anak-anak berlarian ke sana sini, menjadi inspirasi buatnya.
Melewati masa, Jakarta kini didiami hampir 11 juta jiwa, penuh sesak dengan manusia, macet, sendat persis ‘Gang Kelinci’ yang dikisahkan Titiek Puspa. Berjalan-jalan di sekitar Jakarta Pusat, bunyi klakson (hon kenderaan) yang sentiasa ‘berkumandang’ bikin kepala diserang migrain. Kalau di Malaysia, boleh buat gaduh kalau ada yang saja-saja membunyikan hon. Jalannya macet teruk, dari Bandara Internasional (Lapangan Terbang Antarabangsa) Soekarno-Hatta di Tangerang membawa ke Jakarta Pusat, banyak masa dihabiskan di atas jalan raya.
Kata seorang penduduk kota yang hanya mahu dikenali sebagai Rizki, berusia lebih kurang 40-an, Jakarta Pusat itu makin teruk macetnya.
“Kan sudah ada MRT, LRT, BRT (Transjakarta), KRL (komuter) malah sudah ada Kereta Bandara (tren ke lapangan terbang)? Masih macet?” Soal saya.
Jawabnya: “Ya memang sudah ada (kemudahan tren), tapi tetap macet. Malah, lepas pandemi (pandemik Covid-19), lagi teruk macetnya. Mungkin selama dua tahun ini, semasa karantina (kuarantin), semasa (PPKM) Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (kalau di Malaysia PKP-Perintah Kawalan Pergerakan), ramai yang pesan (tempah) mobil (kereta) baru.”
Tambahnya: “Selepas habis karantina, PPKM, ya balas dendamlah mereka, keluar ke sana ke sini. Itu punca macet teruk. Ini (ketika ini sekitar Disember hingga awal Februari) masih ramai orang kaya, anak-anak mereka, lagi keluar kota (bercuti di luar), nanti masuk semua, masya-Allah lagi teruk.”
Rizki tidak menolak mungkin semasa pandemik, ramai orang dari luar Jakarta, yang hilang pekerjaan, masuk ke ibu kota mencari rezeki atau pekerjaan. Itu sebab jelasnya, makin ramai yang jadi penjual lato-lato di tepi-tepi jalan, makin ramai yang meminta sedekah dengan cara berpakaian badut, kostum kartun dan ‘manusia silver’.
Lato-lato menjadi permainan popular di Indonesia. Setiap sudut jika berjalan-jalan di Jakarta Pusat sehingga ke Monumen Nasional (Monas), bunyi ‘tek tek tek’ di mana-mana. Ia pernah hits sekitar 1990-an. Dalam bahasa Makassar, disebut lato-lato kerana permainan tersebut mengeluarkan bunyi ketukan.
Bertambahlah ramai yang mahu menjual dan membeli lato-lato selepas tular di media sosial, Presiden Joko Widodo juga sempat memainkannya.
Benar kata Rizki, ketika ini di Jakarta Pusat, makin ramai yang menyarung kostum badut atau watak kartun lainnya, berjalan-jalan sambil membawa botol plastik minta sedekah. Seperkara lain kata Rizki, soal sewa rumah di ibu kota. Jika semasa pandemik dan PPKM, pemilik rumah menurunkan kadar sewa yang ‘cukup menggembirakan’ penyewa.
Namun kegembiraan dan kelegaan itu tidak berpanjangan. Ini kerana kadar sewa rumah dinaikkan semula berbanding kadar sebelum ini.
“Kalau tidak boleh bayar, ya cari yang lain,” kata Rizki.
Berbanding soal macet, populasi yang makin bertambah, pencemaran bunyi, soal sewa rumah, ada ancaman besar yang membuatkan Jakarta sebagai bandar raya yang perlu ‘dibangunkan semula’, jika tiada tindakan berskala gergasi menyelamatkannya.
Media tempatan termasuk antarabangsa, untuk beberapa tempoh terdekat ini, banyak yang berbicara soal ‘ancaman’ sedang dan bakal melanda Jakarta. Isunya, pada 2050, Jakarta bakal tenggelam gara-gara perubahan iklim dan pemanasan global.
Ada yang ramal Jakarta bakal tenggelam pada 2050, ada yang kata 2030. Atas sebab itulah, ibu kota negara (IKN) dalam perancangan dipindahkan Bapak Presiden ke Kalimantan, dinamakan Nusantara.
Bebas daripada ancaman gempa bumi, pemindahan IKN sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada Jakarta untuk ‘berehat’ sedikit daripada aktiviti manusia.
Soal IKN Nusantara, semoga Bapak Presiden bisa membangunkannya dengan sistematik, mungkin dapat diberikan peluang syarikat-syarikat Malaysia menyertai pembangunan di sana seperti surat minat (LOI) diserahkan kepadanya dalam lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia baru-baru ini.
Jakarta jadi apa selepas ini? Gabenornya mungkin akan lebih mudah memperelok bandar raya ini dan menangani ancaman tenggelam seperti di Belanda. – Mingguan Malaysia