Saranan tangani kos sara hidup - Utusan Malaysia

Saranan tangani kos sara hidup

Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini. – MINGGUAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tekanan kenaikan kos sara hidup bukan baharu. Seawal 2014, Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan kos sara hidup ditubuhkan. Pada 2018, berubah nama menjadi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL). Sebelum PRU15, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan berikutan kenaikan harga barang keperluan.
Menangani kenaikan kos sara hidup menjadi antara fokus utama Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam Mesyuarat bersama pegawai tinggi kerajaan pada Ahad lalu dan tempoh dua minggu diberikan untuk tindakan khusus dicadangkan.
Kekeliruan di peringkat asas mengenai punca kenaikan kos sara hidup sering membawa kepada polisi salah, terburu-buru dan tindakan yang bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah membebankan kewangan awam dan mewujudkan tingkah laku tidak bertanggungjawab dalam pengguna dan pengeluar. Banyak tindakan tertumpu kepada simptom bukan pada punca kenaikan kos sara hidup.
Kenaikan kos sara hidup adalah permasalahan ekonomi. Penyelesaiannya mesti dilandaskan kepada perekonomian yang betul. Kos sara hidup secara tepatnya adalah kuasa beli pendapatan yang kita peroleh. Dua faktor utama yang menentukannya iaitu pendapatan dan harga bagi memenuhi keperluan hidup selesa, bukan gaya hidup mewah. Apa yang boleh dibeli dengan pendapatan kita, itu kuasa beli. Seringkali tindakan menangani kos sara hidup tertumpu kepada isu harga. Matlamat harga murah kerap menjadi sasaran. Pemberian subsidi, jualan murah, kawalan dan pemantauan harga, dan bantuan tunai serta barangan secara terus oleh kerajaan sudah berulang kali dibuat. Tindakan ‘harga murah’ ini hanya boleh memberi keredaan sementara tetapi tidak menyelesaikan punca kepada masalah kenaikan harga.
Kerajaan mesti mempunyai kerangka jelas dalam tindakan yang cuba mempengaruhi harga. Asas terbaik adalah harga ditentukan oleh kuasa pasaran yang sihat, didorong faktor penawaran dan permintaan asli, tiada manipulasi. Polisi ‘harga murah’ mesti ditukar kepada ‘harga adil’ untuk kedua-dua pihak, pengguna dan penjual.
Gesaan menurunkan harga menjadi lebih murah melalui kawalan harga melibatkan kos terselindung yang tinggi. Kerajaan yang menawarkan ‘harga murah’ dari harga pasaran yang adil untuk seluruh rakyat tanpa berasaskan keperluan akan berhadapan beban subsidi yang merencat pembangunan negara. Tidak boleh bertahan lama. Pada hemat saya, ini yang berlaku sekarang. Subsidi hampir mencecah RM80 bilion.
Rakyat harus dididik untuk menerima harga ditentukan oleh kuasa pasaran yang asli (tiada manipulasi), iaitu harga adil. Sekiranya penawaran ber­kurangan akibat faktor yang asli, dan harga adil bagi ke­perluan asas meningkat tinggi dan membebankan kumpulan ma­syarakat tertentu, maka kerajaan perlu membantu dengan pel­bagai mekanisme seperti ba­yaran tunai, subsidi, bantuan ba­rangan, dan lain-lain khusus ke­pada rakyat yang terkesan sa­haja.
Harga adil jangan dihalang. Membantu secara tidak bersasar dan menghalang penentuan harga pasaran yang adil, bukan sahaja membebankan kewangan kerajaan malah menghalang perubahan tingkahlaku yang wajar oleh pengguna dan pengeluar.
Bantuan secara bersasar amat bergantung kepada data isi rumah yang terperinci. Kriterianya mesti jelas. Satu sistem bantuan sosial berpusat dengan maklumat mikro isi rumah perlu dibangunkan segera. Pemetaan program bantuan sosial Kerajaan Pusat mendapati hampir 20 kementerian dan agensi terlibat. Masing-masing dengan senarai dan syarat tersendiri, proses yang remeh dan banyak pertindihan merugikan.
Tanpa sistem sosial berpusat ini, kemungkinan besar boleh berlaku bocoran, pertindihan penerima dan yang ‘terlepas’ daripada bantuan, salah laku integriti dan sifat buruk ‘mengaut untung’ dalam penyampaian bantuan.
Keputusan harga murah lebih rendah dari harga adil adalah salah, membebankan fiskal dan tidak merangsang kepenggunaan berhemah. Pengguna mesti bijak menen­tukan raga kepenggunaan me­re­ka. Pergerakan harga adil seharusnya menjadi pan­duan untuk keputusan kepeng­gu­naan. Mensasarkan harga mu­rah tidak merangsang tindak balas betul dalam kala­ngan pengeluar. Kehadiran keraj­aan yang keterlaluan meng­­asak keluar pelabur, mengu­rangkan minat untuk meningkatkan skala dan pela­buran meningkatkan pro­duktiviti. Pergerakan harga adil ada­lah signal pent­ing untuk peng­agihan modal.
Harga adil hanya tercapai jika ada per­saingan sihat dalam kalangan pengeluar. Manipulasi harga bukan hanya terhad kepada ‘orang tengah’, malah berkemungkinan di sepanjang rantai pengeluaran. Keupayaan pengeluar memanipulasi harga adalah signal persaingan sihat tidak wujud. Jika kenaikan harga berpunca daripada tindakan manipulasi pengeluar, Suruhanjaya Persaingan (MyCC) mesti pantas bertindak.
Usaha untuk meningkatkan tahap persaingan dan menghapuskan kuasa monopoli serta pembentukan kartel mesti dibuat sepanjang masa, bukan bila ada kenaikan harga sahaja.
Produktiviti sektor pertanian mesti ditingkatkan dengan amalan terbaik pertanian dan penerapan teknologi moden. Saya boleh mengesahkan semua ini banyak kali dibincang dan diputuskan. Malangnya, masih belum nampak hasilnya. Bermusim semangatnya. Rakyat mengharapkan tinda­kan bukan sekadar pengumuman keputusan mesyuarat dalam sidang akhbar kemudiannya diabaikan pelaksanaannya.
Beralih kepada faktor kedua penentu kos sara hi­dup pendapatan. Perkara yang paling penting dalam menangani kenaikan kos sara hidup adalah pendapatan bukan harga. Ini jarang disentuh walhal pendapatan rendah menjadi penentu utama sama ada seseorang tertekan akibat kenaikan harga.
Hakikatnya di semua negara maju terutama di bandar besar, kos sara hidup tinggi. Jika diban­dingkan antara negara, kos sara hidup kita masih rendah. Itu lensa global. Namun lensa domestik berbeza, rakyat sering mengeluh terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
Kalau kenaikan harga di Malaysia terkawal, mengapa rakyat berdepan tekanan kos sara hidup? Jawapannya kerana pendapatan rakyat khususnya berpendapatan rendah tidak meningkat dengan kadar mencukupi untuk kuasa beli mereka. Hampir 50 peratus dari 7 juta isi rumah mempunyai pendapatan rentan, mudah terjejas. Ini puncanya. Rakyat terdedah kepada hakisan kuasa beli, tidak dapat menyerap kenaikan harga adil. Data pendapatan isi rumah amat jelas menunjukkan pendapatan kumpulan ini tidak meningkat seiring pembangunan negara.
Perhalusi punca pendapatan kumpulan ini. Mengapa tahap pendapatan mereka malar, tidak meningkat dengan berpatutan? Adakah mereka diasak kebanjiran pekerja asing? Adakah majikan menawarkan upah adil? Adakah ketagihan harga murah menyebabkan gaji dikekang kenaikannya?
Menangani kenaikan kos sara hidup mesti mempunyai kerangka jelas dan betul pere­konomiannya. Ia mesti dirasai rakyat. Semoga semangat Per­dana Menteri untuk menangani masalah rakyat ini dapat direalisasikan. Pastikan punca permasalahan ditangani bagi penyelesaian mampan.

PENULIS ialah Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif UKM (MINDA-UKM). Kini beliau adalah Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya