Bukan sekadar keabsahan, buktikan kepemimpinan - Utusan Malaysia

Bukan sekadar keabsahan, buktikan kepemimpinan

Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Isnin lalu.– IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sidang pertama Parli­men menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepasi ujian usul undi percaya terha­dap kepimpinan beliau membuktikan keabsahannya sebagai ketua eksekutif negara. Hari yang bersejarah dan mendebarkan genap sebulan selepas keputusan pilihan raya umum apabila tiada parti memiliki majoriti membentuk kerajaan.
Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan melakar kejayaan dan meleraikan kemelut politik berpanjangan yang menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi. Mandat yang diberi ini juga bermakna Malaysia tidak perlu lagi melihat kuasa Perdana Menteri bertukar tangan dalam tempoh Pilihan Raya ke-15. Strategi Anwar memeterai perjanjian persefahaman ker­jasama dengan blok politik lebih kecil yang menyokong kerajaan pimpinannya sebe­lum sidang bermula, ternyata menyelamatkan keadaan ke­tidak­tentuan dalam parlimen.
Lima gabungan politik utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.
Antara kandungan perjanjian itu adalah kegagalan Ahli Parlimen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul berkait dengan usul percaya, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira meletak jawatan.
Kejayaan Anwar membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri pada hari pertama sidang Parlimen selepas melalui satu Usul Percaya mendapat keabsahan dukungan majoriti di Dewan Rakyat. Usul berkenaan dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof bagi menyokong kepimpinan Anwar serta dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat blok kerajaan dan pembangkang. Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kemudian mengumumkan bahawa usul undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri yang berjalan lebih tiga jam diluluskan melalui suara majoriti.
Undi percaya itu dilihat sebagai ujian pertama Anwar untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan kukuh dan stabil selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri dengan sokongan PH pimpinannya serta beberapa blok politik lain termasuk BN dan GPS.
Jumlah sokongan diperoleh Anwar bagaimanapun tidak melibatkan pembangkang di bawah blok Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam proses pengundian, yang menyaksikan sokongan terhadap usul itu hanya ditentukan melalui undian suara.
Untuk rekod proses memanggil undi percaya di Parlimen bukanlah kali pertama dalam sejarah politik Malaysia. Pada 1976 ketika negara ditadbir Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein manakala pada 2003 semasa peralihan kuasa daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Namun proses undi percaya kali ini kelihatan lebih teratur dan sesuai berbanding kaedah mengumpulkan akuan berkanun yang sering dilakukan sebelumnya. Malahan kejayaan itu sebagai bukti kukuh sokongan Ahli Parlimen terhadap kepimpinan Anwar dan menafikan pihak yang masih mempertikaikan pelantikannya sebagai Perdana Menteri kerana parti politiknya tidak mendapat majoriti mudah dalam PRU-15.
Bagaimanapun, ini tidak bermaksud akan menghentikan usaha PN untuk cuba mengambil alih kuasa pada masa hadapan kerana ia adalah sebahagian daripada percaturan politik dan tidak salah selagi dilakukan mengikut lunas undang-undang. Malahan Ketua Pembangkang , Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ketika membahaskan usul itu, mendakwa perjanjian tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia menghalang kebebasan Ahli Parlimen dalam proses pengundian.
Dalam negara demokrasi kewujudan blok pembangkang dalam parlimen adalah baik kerana akan wujud check and balance dalam kerajaan. Di sudut lain, blok pembangkang melihat usul ini dianggap ‘gimik’ kerana ia dilakukan selepas satu perjanjian persefahaman ditandatangani semua pemimpin gabungan parti yang menyokong PH.
Kedengarannya juga persoalan, adakah usul ini mempersoal kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong? Sejauh mana dakwaan setengah pihak mengatakan perjanjian itu melanggar prinsip asas demokrasi berparlimen yang terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan?
Apa pun dengan wujudnya undi percaya di parlimen ini telah dapat meredakan suhu politik selama ini dan memuktamad dan mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke 10. Anwar turut memberi jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan akan sentiasa menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan hak semua rakyat Malaysia.
Rasa syukur dan terima kasih serta penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang jelas dan tegas terhadap Perdana Menteri secara jelas mengharap agar semua pihak buat masa kini memfokuskan kepada bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat.
Inilah masanya untuk beliau membuktikan segala misi dan visi perjuangan serta manifesto yang dijanjikan semasa berkempen dapat dilaksanakan. Keutamaan masa kini adalah bekerja untuk rakyat dan bukan berpolitik berpanjangan.
Kerajaan Perpaduan diharap terus komited untuk menggalas amanah mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan perlu melipatgandakan usaha melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.
Apatah lagi menyedari bahawa prospek ekonomi global 2023 dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Dalam keadaan berhadapan risiko banjir yang melanda beberapa buah negeri menjadi fokus dan keutamaan. Ini bukan lagi masa untuk berpolitik dan menabur fitnah sehingga merencat banyak projek pembangunan yang tergendala selama ini. Malaysia juga masih lagi berhadapan risiko pandemik Covid-19 yang mungkin akan berulang menanti tindakan berstrategik pimpinan Anwar.
Justeru, rakyat menanti keterampilan dan ketokohan Anwar dalam menangani pelbagai isu rakyat terutamanya persoalan kos sara hidup. Maka, sokongan undi percaya terhadap Perdana Menteri menjadi katalis dan manifestasi kepada kesejahteraan rakyat, membawa kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

Prof. Datuk Dr Ismail Sualman, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya