AGAKNYA berapa lama lagikah politikus dan orang ramai masih mahu bercakap
dan berdebat pasal keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 dan menteri Kabinet? Setahun lagi, dua tahun atau lima tahun lagi?
Dua hari lalu, saya membaca status seorang kawan dalam Facebook yang saya kira seorang cyber trooper untuk parti politik. Dia menulis, ini adalah post terakhirnya pasal PRU15. Lepas ini mahu sembang pasal Piala Dunia Qatar 2022 pula.
Dia yang sebelum ini asyik menghentam pemimpin dan parti politik musuhnya, menerima banyak komen yang baik tentang status itu. Ramai yang kata move on, biarlah kepemimpinan sekarang buat kerja. Beri mereka masa.
Saya pun sebenarnya sudah naik rimas tengok statusnya lalu lalang dalam FB, asyik-asyik memaki dan menghina. Semuanya tidak betul! Tak padan pula dengan imej kopiah yang dipakainya, kata saya dalam hati,
Tetapi itulah belum sampai dua jam post itu dibuat, dia sudah menaikkan status mengutuk lagi ahli politik dan parti. Agaknya, inilah yang dinamakan ketagihan! Ada saja mahu dikomen.
Betullah, kalau rakyat biasa yang tak bertanding pun susah hendak move on, apa lagi yang bertanding. Yang menang nampak macam kalah. Yang kalah, bercakap macam dia menang. Kadang-kadang ia amat mengelirukan.
Apa pun kita sudah hampir sebulan meninggalkan PRU15. Kita sudah tahu parti mana memerintah. Siapa menteri dan timbalannya. Maka sekarang ini adalah lebih baik membiarkan pihak yang telah menerima jawatan ini menjalankan tanggungjawab mereka.
Kalau asyik hendak berpolitik dan kata mengata, mencari salah dan menabur fitnah, sampai bila pun tak habis. Yang untungnya, pemimpin parti politik, mereka tetap hidup senang-lenang. Yang penyokongnya rakyat marhaen, masih mencari-cari telur ayam di pasar!
Yang patut dilakukan sekarang ini adalah memulihkan ekonomi negara. Menunaikan janji-janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Isu telur ayam pun dari zaman pemerintahan sebelum ini sehingga masuk Kabinet baru, belum nampak jalan selesainya. Adakah dengan cara mengimport dari negara luar? Agak menjengkelkan hal telur ayam pun susah hendak selesai, inikan pula hal yang lebih besar daripada sebutir telur ayam!
Kita juga mahukan penyelesaian dalam hal gaji pekerja yang dibayar ikut suka majikan tanpa mengira pencapaian akademik atau kepakaran. Tak akan bila gaji tidak cukup kita minta mereka buat kerja e-hailing atau p-hailing. Itu saja jalan selesainya? Rakyat pasti tertunggu-tunggu formula-formula kenaikan gaji untuk siswazah dan pekerja-pekerja swasta yang diuar-uarkan dalam kempen pilihan raya sekiranya menang dalam PRU15. Logikkah gaji minimum RM1,500 dalam persekitaran yang serba mahal ini? Dan masihkah gaji 20 tahun dulu seorang siswazah lebih kurang sama dengan gaji siswazah sekarang? Sistem gaji purba kala kah?
Adakah negara akan terus membiarkan Kadar Dasar Semalam (OPR) naik lagi? Kalau begitu, gaji naik pun tidak memberi apa makna kepada orang ramai yang mempunyai pinjaman bank.
Buatlah kerja wahai politikus. Ada rakyat negara ini yang masih tidur di kaki lima. Bukan warga asing. Tak cukup makan dan hidup melarat. Tetapi politikus masih bercakap hal-hal kuasa dan ‘menelanjangkan’ kesalahan sesama sendiri.
Memanglah kita tidak boleh mengharapkan semua isu berbangkit dalam hal kos sara hidup rakyat boleh diselesaikan segera, bak kata orang politik, hari ini kahwin esok mana boleh terus beranak. Maka inilah masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat untuk mendapat kuasa itu adalah untuk membela nasib rakyat keseluruhannya.
Hentikanlah kata mengata. Ini masa untuk bekerja. Tunaikanlah segala janji yang ada dalam manifesto parti dalam PRU15 itu. Lenyapkanlah segala persepsi rakyat bahawa pemimpin parti politik hanya pandai berjanji dan bercakap.
Selalu saja kita dengar orang berkata, ahli politik ini cakapnya kita dengar boleh, percaya jangan.
Sedangkan menjadi seorang pemimpin negara atau masyarakat, perlu mendapat hormat daripada rakyatnya. Bukan kecaman dan dijadikan bahan lawak.
Contohilah, Anthony Loke, pada hari pertamanya bergelar Menteri Pengangkutan, terus turun padang mencari apa masalah dalam sistem pengangkutan awam.
Beliau segera mahu mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam.
Sama seperti portfolio lain, kita mengharapkan banyak penambahbaikan dilakukan. Dalam pengangkutan awam contohnya, bukan setakat mengurangi kerosakan tren, tetapi capaian sistem pengangkutan awam itu perlu diperluas, memperbaiki kemudahan yang rosak dan mengurangi kesesakan jalan raya.
Dalam pada itu, rakyat juga mengharapkan Kabinet baru ini mengurangkan birokrasi di jabatan-jabatan kerajaan. Terutamanya membabitkan urusan orang ramai. Mendapat kelulusan yang lama. Perkhidmatan kaunter juga begitu. Jika ada 10 kaunter, jangan dua saja buka.
Pada pihak pembangkang juga, inilah masanya untuk menjalankan kerja-kerja semak dan imbang supaya apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan ini memberi faedah kepada rakyat keseluruhannya. Bukan tak habis-habis menyerang peribadi lawan kerana ia tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa pun.
Rakyat mahukan politik yang matang. Bukan buruk-memburukkan pihak lawan dan mengaut laba untuk diri sendiri. Betul persepsi buruk rakyat terhadap politikus perlu diperbetulkan. Untuk mendapat kepercayaan dan hormat rakyat, pemimpin perlu bekerja. Bukan hanya pandai bercakap. Jangan biarkan rakyat terus mencanang – dengar boleh, percaya jangan…
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.