Bebaskan GLC daripada belenggu politik - Utusan Malaysia

Bebaskan GLC daripada belenggu politik

Syarikat-syarikat GLC adalah aset milik Malaysia yang mana rakyat keseluruhannya adalah pemegang taruhnya. MINGGUAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adalah menjadi amalan di negara kita bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dipengerusikan oleh ahli-ahli politik yang dilantik dari komponen parti politik.
Ia lazimnya disifatkan sebagai ganjaran quid pro quo politik apatah lagi dengan wujudnya pelbagai entiti berkaitan kerajaan ini sama ada yang bersifat syarikat pelaburan atau entiti yang berbentuk lembaga atau pihak berkuasa, maka ahli politik yang tidak berpeluang berada di dalam jemaah menteri akan diberikan jawatan di dalam entiti berkaitan kerajaan tersebut.
Bukanlah asing untuk kita membaca berita berkaitan ketidakharmonian domestik di syarikat GLC dan berlaku pula pertelingkahan industri antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)dan Pengerusi dalam beberapa GLC yang dipengerusikan oleh ahli politik.
Punca utama hingga terbitnya rasa tidak selesa dalam kalangan warga kerja sesebuah GLC adalah kerana kecenderungan sesetengah ahli politik menggunakan kemudahan GLC itu untuk aktiviti khusus bermotifkan politik kepartian yang tiada berkaitan dengan misi dan visi GLC tersebut.
Contohnya, jika GLC itu terlibat dengan hasil jenama produk atau tanaman maka kawasan Parlimen pengerusi tadi adalah sasaran utama yang perlu dilaksanakan projek itu bagi memuaskan hati pengerusi sedangkan terdapat kawasan lain yang lebih sesuai untuk projek itu sehingga akhirnya projek itu hanya kosmetik di kulit tapi sifar isinya.
Terdapatnya juga kelaziman untuk pengerusi lantikan politik ini menjaja nama Perdana Menteri atau Menteri atau Menteri Besar untuk meluluskan sesuatu projek yang menguntungkan kabilah tertentu tetapi sebenarnya tidak memberikan keuntungan kepada GLC tersebut.
Banyak sangat projek usahasama yang diluluskan adalah terkait dengan wahyu dari pengerusi dan bukannya atas meritokrasi kebolehan syarikat usahasama tersebut. Akhirnya seperti yang lazim dilihat, projek yang diusahasamakan atas dasar wahyu itu tidak pun bermula langsung dan lebih malang lagi terdapat pula keadaan di mana GLC itu pula yang terpaksa membayar ganti rugi kepada syarikat usahasama tadi.
Oleh kerana lantikan Pengerusi itu lebih bersifat ganjaran maka ia dibuat tanpa skop tugas jelas sedangkan ia tidaklah bersifat Pengerusi yang mempunyai kuasa eksekutif.
Ini membuka ruang untuk berlakunya perbezaan arahan dan arah tuju antara Pengerusi dan CEO syarikat. Pengerusi semedang mengakaskan keputusan CEO dan begitulah sebaliknya hingga menyebabkan warga kerja syarikat menjadi keliru. Kedua-dua sosok itu pula masing-masing mengaku rapat dengan pucuk pimpinan negara dan ini akan menjadikan syarikat mempunyai dua nakhoda yang berlayar ke destinasi berbeza dan akhirnya karam di tengah perjalanan.
Terdapat Pengerusi lantikan politik yang tiada langsung pengetahuan asas dan kemahiran tentang syarikat dipengerusikannya tetapi dengan status pengerusi ia menjadikan pengurusan GLC itu seperti menguruskan sebuah sayap parti politik.
Pengerusi jenis ini melibatkan diri dengan operasi harian syarikat yang jelas ultra vires daripada kuasanya lalu membuat pelbagai polisi baharu dan berselindung di sebalik agenda kerajaan sedangkan ia tidak selari dengan misi dan visi penubuhan syarikat hingga akhirnya syarikat itu tersasar dari misi asal penubuhannya.
Sungguhpun terdapat beberapa Pengerusi GLC dalam kalangan ahli politik yang kelihatan amat berwibawa dan mempunyai ciri kepengerusian sebagaimana Tan Sri Idris Jusoh di Felda atau Datuk Norliza Abdul Rahim di UDA Holdings namun jumlahnya boleh dibilang kerana sebahagian lain yang ada hanya menambahkan kerenah birokrasi dan tidak menyumbang ke arah kemajuan syarikat-syarikat ini.
Jika alasan pelantikan yang digunakan adalah untuk memastikan GLC itu berjalan selari dengan polisi dan dasar kerajaan memerintah, maka tentunya menteri yang menjaga GLC tersebut mempunyai mekanisme untuk memastikan setiap CEO yang dilantik mematuhi indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh menteri.
Jika kementerian merasa perlu bagi pelantikan seorang pengerusi bagi mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah GLC, maka ada baiknya pegawai kanan dari kementerian atau alternatifnya individu profesional atau tokoh masyarakat yang mempunyai integriti tinggi dan pengetahuan mendalam yang relevan dengan ekosistem syarikat tersebut dilantik sebagai pengerusi.
Adalah perlu untuk dipastikan pengerusi bagi GLC khususnya yang berkait terus dengan pelaburan atau perniagaan adalah sosok yang berkarisma tinggi bagi memimpin syarikat dengan tata kelola dan tadbir urus yang syadid kerana hasil GLC adalah diperlukan bagi menaikkan kedudukan fiskal negara dan membantu kerajaan dan rakyat di masa senang dan sukar.
Logiknya, suatu GLC sepatutnya menjadi pemimpin dalam industri atau perniagaan yang diceburinya dek kerana kaitannya dengan kerajaan yang memerintah maka terdapatlah kelebihan untuk mendapatkan akses, maklumat dan keutamaan dalam segala hal berkaitan industrinya. Kecuali beberapa GLC yang menyerlah, keadaan di lapangan nampaknya tidaklah sedemikian.
Ini kerana kelemahan sistem yang diamalkan dan kekangan birokrasi yang membelenggu lantas menarik GLC daripada memacu ke hadapan.
Kita perlu keluar daripada lingkungan ini dan perlu ada GLC yang bangkit membina nama di persada dunia dan bukannya sekadar melancarkan projek di daerah dan kawasan Parlimen tertentu sahaja.
Seusai pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini maka bersedialah pula kita untuk berhadapan dengan tahun 2023 yang amat mencabar yang mana kemiskinan yang melebar dalam kalangan rakyat itu adalah realiti.
Rakyat tentunya berhak untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan GLC kerana syarikat-syarikat ini adalah aset milik negara Malaysia yang tercinta ini yang mana rakyat keseluruhannya adalah pemegang taruhnya.

Dato Ikbal Salam ialah Peguambela dan Peguamcara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya