DUNIA bakal berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi pada tahun hadapan Sebelum ini, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menjangkakan bahawa ekonomi global bakal mengalami kelembapan susulan konflik geopolitik dan tekanan inflasi global yang akhirnya mendesak banyak negara untuk mengetatkan dasar monetari mereka.
Namun, Malaysia tidak boleh menjadikan perkara itu semua sebagai penebat kepada aspirasi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Aspirasi itu dapat direalisasikan sekiranya kerajaan yang baru ini mempunyai kehendak politik yang tinggi dan mampu membawa rakyat Malaysia ke arah membangunkan ekonomi secara bersama.
Kesungguhan dan kecekalan yang ada pada rakyat Jepun perlu diteladani kerana mereka bangkit semula membangunkan negara walaupun negara mereka musnah teruk dalam Perang Dunia ke-2.
Saban tahun, kerajaan Malaysia terpaksa memperuntukkan berbilion ringgit dalam bentuk subsidi bagi memastikan kelangsungan hidup golongan-golongan yang memerlukan.
Tidak ada salahnya kerana memang itulah peranan yang sepatutnya dimainkan kerajaan. Namun, perbelanjaan kerajaan yang tertumpu kepada pemberian subsidi secara one-off banyak membebankan negara dan menjadikan rakyat terlalu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata.
Oleh itu, kerajaan disarankan untuk memberi penekanan kepada konsep kebajikan produktif bagi membantu golongan yang memerlukan dan pada masa sama dapat meningkatkan ekonomi negara secara mampan.
Amerika Syarikat (AS) dan New Zealand antara negara yang dikatakan berjaya dalam pelaksanaan kebajikan produktif sehingga dapat mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kerajaan.
Sebelum ini, Malaysia telah memulakan konsep kebajikan produktif. Namun, terlalu awal untuk kita katakannya sebagai berjaya kerana masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki terutamanya dari segi pemantauan rapi daripada pegawai kerajaan dan juga badan bukan kerajaan.
Selain itu, negara memerlukan pembangunan luar bandar yang komprehensif bagi mensejahterakan rakyat mengikut prinsip-prinsip yang dinyatakan di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kerjasama yang kukuh dan berpaksikan perpaduan tanpa mengira perbezaan ideologi politik perlu wujud dalam sanubari setiap pemain politik di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bagi memastikan isu-isu luar bandar seperti masalah air bersih, elektrik dan capaian internet dapat diselesaikan secara tuntas.
Projek-projek pembangunan infrastruktur di luar bandar perlu disegerakan agar dapat menarik minat pelabur asing untuk melabur dan akhirnya memberi peluang pekerjaan buat penduduk di sana. Infrastruktur dan kemudahan asas yang lengkap juga dapat meningkatkan pendapatan sektor ekopelancongan dengan syarat Dasar Kebersihan Negara dapat diperkasakan semula demi menjaga kebersihan di tempat-tempat tarikan pelancong.
Kerajaan juga perlu menyuntik semangat anak muda di luar bandar untuk turut serta menjadi petani moden. Sektor pertanian sentiasa dilihat penting kerana ia dapat mengurangkan masalah struktur ekonomi seperti isu pengangguran, sekuriti makanan dan juga kemiskinan. Pengadaptasian teknologi seperti penggunaan dron mampu meningkatkan produktiviti pertanian dan pada masa sama dapat mengurangkan aktiviti import negara yang kebiasaannya hadir bersama-sama inflasi (imported-inflation).
Ekonomi digital juga adalah salah satu ‘ubat ekonomi’ yang baik buat negara. Sektor ini mampu meningkatkan produktiviti dan membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Akses dan masalah kelajuan internet terutamanya di luar bandar sedikit sebanyak menyekat penggunaan digitalisasi yang meluas dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Tidak ada cara lain, kerajaan perlu segera menangani masalah ini dengan menyediakan akses jalur lebar yang lebih berdaya tinggi dan mencakupi seluruh kawasan yang ada. Selain itu, kurangnya literasi digital yang selama ini menjadi prasyarat bagi aktiviti inovasi dan keusahawanan telah memperlambatkan proses digitalisasi baik dalam kalangan usahawan mahupun penduduk.
Secara relatifnya, ekonomi digital boleh dikatakan baru di Malaysia dan satu usaha yang menyeluruh perlu digembleng agar rakyat dapat terus mendakapnya.
Everett Rogers, seorang ahli sosiologi di AS telah memperkenalkan Teori Penyebaran Inovasi yang menegaskan seseorang akan mengadaptasi sesuatu inovasi sekiranya inovasi itu mudah difahami.
Oleh itu, latihan-latihan percuma yang intensif dan pemantauan secara berkala juga perlu bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan rakyat untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi digital.
Kerajaan juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum yang sifatnya semakin lama semakin berkurangan dengan cara mempelbagaikan sumber pendapatan negara menerusi penyusunan semula insentif cukai dan meningkatkan kadar cukai pendapatan individu yang kaya.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mungkin boleh diperkenalkan semula tetapi perlulah pada masa ekonomi negara berada dalam keadaan stabil dan diuar-uarkan kepada rakyat dua atau tiga tahun lebih awal agar rakyat dapat bersedia menerimanya kembali.
GST juga perlu bermula pada kadar yang rendah. Bukan itu sahaja, kerajaan perlu berusaha memastikan sumber pendapatan GST terpelihara daripada ketirisan dan kebocoran agar duit itu sampai ke tangan rakyat.
Esok, kerajaan akan membentang rang undang-undang (RUU) belanjawan mini bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.
Penjawat awam merupakan tonggak utama kerajaan kerana merekalah yang akan melaksanakan ke semua strategi dirancang oleh kerajaan. Semoga bajet mini yang bakal diluluskan sedikit sebanyak memberi berita baik buat penjawat awam supaya mereka dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan.
Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang