Sekuriti makanan agenda utama jaga kebajikan rakyat

Sekuriti makanan agenda utama jaga kebajikan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Januari lalu, peningkatan harga yang diukur berdasarkan kepada pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi makanan dan minuman mengatasi harga keseluruhan barangan dalam ekonomi. Data menunjukkan peningkatan harga makanan dan minuman pada Jun 2022 adalah yang tertinggi sejak 2015. Peningkatan harga makanan dan minuman ini memberi kesan besar kepada isi rumah kerana mereka memperuntukkan sekitar 29.5 peratus daripada perbelanjaan mereka ke atas makanan dan minuman.

Isu peningkatan harga makanan yang melanda negara pada ketika ini adalah isu global. Sebagai sebuah negara kecil yang terbuka dan berdagang, Malaysia tidak boleh mengelak daripada menerima kesan daripada gelagat negara-negara lain terutama negara-negara yang menjadi pembekal utama kepada bahan mentah sektor pertanian dan industri makanan.

Malaysia bergantung tinggi kepada import makanan dan juga import bahan mentah seperti makanan ayam dari negara luar. Negara-negara pengeksport ini telah mengalami gangguan pengeluaran akibat impak pandemik Covid-19, ketidaktentuan cuaca dan keadaan geopolitik. India umpamanya, mengehadkan eksport gandum kerana faktor cuaca yang mengehadkan pengeluaran.

Peperangan antara Russia dan Ukraine walaupun hanya memberi kesan langsung yang minimum kepada Malaysia, namun konflik tersebut memberi kesan langsung kepada negara-negara yang berdagang dengan Malaysia seperti Eropah. Dengan keadaan tersebut, Malaysia juga terkesan secara tidak langsung.

Apakah kesan inflasi ini kepada rakyat? Selain kuasa membeli rakyat semakin berkurangan akibat kenaikan tingkat pendapatan yang lebih rendah berbanding kenaikan harga barangan, tekanan kepada sekuriti makanan turut menjadi perkara perlu diberi perhatian.

Mengapa sekuriti makanan penting kepada rakyat? Sekuriti makanan bermaksud makanan yang dibekalkan dalam pasaran domestik mencukupi untuk keperluan rakyat, mudah diperoleh dan bekalan yang berterusan serta stabil.

Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjalankan pelbagai strategi untuk mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan sekuriti makanan menjadi agenda utama untuk menjaga kebajikan rakyat dan memastikan daya tahan negara dalam mendepani pelbagai cabaran global.

Gambar rajah di bawah dapat memberi gambaran strategi yang telah dilakukan oleh kerajaan sepanjang rantaian bekalan makanan pada ketika ini.

Secara spesifiknya, kerajaan telah merangka strategi jangka masa pendek, antaranya menyediakan pemberian subsidi langsung kepada pengeluar bagi menstabilkan harga makanan di pasaran serta mengimbangi kos pengeluaran makanan. Sebagai contoh, harga ayam runcit di pasaran adalah RM9.40 sekilogram manakala harga minyak masak (botol) runcit pula RM7.10 sekilogram.

Kerajaan juga masih memberi subsidi bahan api bagi mengawal inflasi makanan dan barangan lain dalam ekonomi. Perkara ini susulan timbulnya trend peningkatan harga minyak mentah yang meningkat daripada AS$84.10 setong pada Januari 2022 hingga mencecah AS$114.70 setong pada Jun 2022. Perkara ini turut menyumbang kepada perbelanjaan subsidi yang terbesar dalam sejarah iaitu jangkaan subsidi hampir RM80 bilion bagi tahun ini. Jika subsidi bahan api dikurangkan, ia akan meningkatkan harga bahan api dan peningkatan ini bakal memberi impak berganda kepada inflasi makanan dan keseluruhan barangan.

Malaysia juga dilihat bakal bekerjasama dengan kerajaan Turkiye dalam memperkasakan sekuriti makanan. Perjumpaan Perdana Menteri bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil. Ini membuktikan komitmen dan usaha proaktif kerajaan dalam menstabilkan bekalan makanan dengan adanya Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA).

Selain itu, Malaysia juga akan bekerjasama dengan Turkiye bagi memperkukuh beberapa aspek sokongan dalam sektor makanan seperti pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkongsian maklumat dan pengalaman. – UTUSAN

PENULIS ialah ahli ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya