Masa untuk ahli politik bekerja - Utusan Malaysia

Masa untuk ahli politik bekerja

Masalah bekalan air, liputan dan kelajuan internet terutamanya di luar bandar juga perlu diberikan perhatian segera. – MINGGUAN/ SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESTA mengundi yang berlangsung semalam memperlihatkan berakhirnya episod pertama pemilihan kerajaan baharu yang ditentukan sendiri oleh tangan-tangan rakyat yang menjulang aspirasi demokrasi.
Sudah pasti terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana parti politik yang disanjungi mereka kalah. Di sebalik itu, lebih ramai lagi rakyat sedang menantikan berita mengenai senarai ahli Jemaah Menteri baharu. Perdebatan pasti akan berlaku apabila rakyat mengetahui barisan Kabinet kelak.
Perlu diakui bukan mudah untuk menyusun atur komposisi menteri baharu ini memandangkan suhu politik di dalam negara masih panas. Sekiranya percaturan yang dibuat itu canggung, sudah pasti akan membawa bahana yang akhirnya akan mengganggu-gugat keabsahan sesebuah kerajaan itu.
Harus diingat, suhu politik negara belum lagi reda kerana selepas ini akan diadakan pula pilihan raya di beberapa negeri disebabkan keengganan parti-parti politik yang mentadbir negeri-negeri itu membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Sungguhpun ketidaktentuan politik terus berlangsung, parti politik yang menang dalam PRU15 perlu menjalankan amanah mentadbir negara mengikut prinsip 3T, iaitu ‘Tekad, Terima dan Tunjuk’.
Ketiga-tiga prinsip ini perlu ada bagi memastikan tempoh pemerintahan yang ada ini mampu dijadikan modal ataupun deposit untuk meyakinkan bukan sahaja pelabur malah rakyat.
Tekad
Tekad yang dimaksudkan adalah keazaman yang perlu ada pada setiap menteri bagi memastikan negara bebas daripada amalan rasuah dan seterusnya merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara. Dasar-dasar awam sedia ada perlu diperhalusi semula bagi memastikan segala objektif dan strategi pelaksanaanya kekal relevan dan mampu diusahakan. Fasa pelaksanaan dasar amat penting untuk diberi perhatian mendalam kerana penggubalan sesuatu dasar, biarpun menyeluruh, tetap akan rapuh sekiranya pelaksanaannya tidak berjalan dengan baik.
Amanah baharu yang diberikan rakyat perlu dipikul sebaiknya. Keluh-resah rakyat perlu diberikan perhatian kerana tertubuhnya sebuah kerajaan adalah untuk menyantuni rakyat. Rakyat sentiasa menilai tindak-tanduk pemimpin dan menterjemahkan sokongan mereka menerusi pilihan raya negeri pula nanti.
Walaupun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini dilaporkan berada dalam keadaan ‘sihat’, namun ia tidak membawa erti buat rakyat yang kini dibelenggu dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin hari menjadi-jadi. Perkhidmatan kesihatan juga perlu diberikan keutamaan dari segi kos perubatan, keberadaan stok ubat-ubatan dan juga kapasiti hospital sedia ada.
Masalah bekalan air, liputan dan kelajuan internet terutamanya di luar bandar, pengangguran dan pengurusan bencana alam juga perlu diberikan perhatian segera. Selain itu, pelaksanaan undang-undang perlu bersifat sama rata dan berpaksi kepada prinsip rule of law agar tiada ruang untuk rakyat menghentam kerajaan.
Terima
Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang menerima pandangan rakyat. Rakyat yang merasakan pandangan mereka diterima akan bersemangat untuk bersama-sama menjayakan aspirasi yang mereka sendiri ciptakan. Kerajaan perlu memperluaskan akses dan bagi membolehkan rakyat berkongsi pandangan mereka.
Fenomena Brain Drain perlu ditangani dengan baik tatkala negara betul-betul memerlukan pakar-pakar dan bijak pandai bagi membangunkan negara. Rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi dan tinggal di luar negara wajar dibawa pulang ke tanah air untuk menjadi think-tank kepada kerajaan. Selain itu, sikap yang disifatkan sebagai State of denial perlu dikikis dengan cara menerima teguran dan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.
Tunjuk
Kerajaan yang bagus akan kurang kelihatan bagus sekiranya penyampaian maklumat tidak berlangsung secara menyeluruh. Apa-apa kejayaan dan usaha perlu diketahui rakyat dengan saluran-saluran dan bentuk-bentuk penyampaian maklumat yang mudah difahami. Perkara buruk pasti senang dijaja dan di sebaliknya. Oleh itu, penyampaian maklumat berkenaan kejayaan dan usaha yang dilakukan kerajaan perlu diartikulasikan secara berkala kepada rakyat. Usaha merasionalisasikan rakyat perlu dilipat ganda. Segala jentera pentadbiran awam perlu digunakan sehabis baik dalam memerangi perang persepsi yang mungkin dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Melantik sesiapa sahaja menjadi ahli Kabinet kerajaan memang ada risikonya. Namun, kesepaduan yang terjalin berlandaskan falsafah collective responsibility akan mengikat kuat semua menteri untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat negara ini.
Negara-negara jiran kita semakin lama semakin melangkah ke hadapan. Kerajaan Thailand kini sibuk membangunkan bandar pintar di luar bandar Bangkok. Indonesia pula dalam proses memindahkan ibu negara dari Jakarta ke lokasi baru berkeluasan 56,180 hektar di wilayah Kalimantan Timur bagi tujuan mengurangkan kesesakan bandar dan juga mengembangkan ekonomi di luar pulau Jawa yang paling tinggi populasinya. Sebenarnya, Malaysia jauh lebih baik daripada itu. Apa yang diperlukan adalah kehendak politik (political will) yang perlu ada dalam kalangan menteri untuk membawa Malaysia ke tahap membanggakan.
Memang benar, kerajaan stabil adalah kerajaan yang betul-betul meletakkan rakyat pada keutamaan yang tertinggi. Dan kini selepas rakyat memilih, ini adalah masanya pemimpin yang diundi bekerja dan penuhi segala janji semasa mereka berkempen bukan sekadar pandai bercakap.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya