ORANG perempuan ini bila anak sendiri dirogol suami bertahun-tahun lamanya, dia tak tahu langsung. Dia tak ada clue. Tapi bila suami dia kahwin lagi satu dia cepat saja boleh tahu. Hairan betul,” itu kata seorang lelaki di sebelah meja saya pada satu malam di restoran mamak minggu lalu.
Kawan di sebelahnya menyampuk -” Yang cepat tahu suami kahwin lagi satu itu simpan saka.” Ia disambut gelak ketawa oleh kawan-kawan semeja.
Mungkin dia dan beberapa kawannya di situ tengah mengulas isu haruan makan anak, fikir saya.
Saya dan anak perempuan saya pun baru saja hendak duduk. Kami berpandangan. Tak pesan makanan apa-apa lagi, sudah dengar cerita rogol dan kahwin lagi satu. Berdesing juga telinga mendengar cakap-cakap lelaki tersebut.
Tetapi itulah, kadang-kadang di sebalik kata-kata atau sindiran yang pedas, ada kebenarannya di situ. Jangan buang terus.
Saya pun percaya, sekumpulan lelaki di meja itu yang berbincang pasal isu rogol anak, adalah bapa-bapa dan suami-suami yang prihatin. Tak percaya? Kalau isteri telefon tanya ada di mana? Bersurailah sekejap lagi. Fikir saya.
Hakikatnya, dalam dunia ini kita tak boleh mengharapkan semua orang itu jadi baik. Ia tak akan jadi begitu. Contohnya, bapa yang sepatutnya menjadi pelindung keluarga pun boleh merogol atau mencabul anak kandung sendiri.
Maka, dalam hal sebegini yang tentunya tidak diduga ia berlaku, orang perempuan sendirilah atau isteri yang perlu lebih berhati-hati.
Terutamanya dalam melindungi orang yang tersayang. Bagi ibu yang bekerja, pusing-pusing penat bekerja dan menguruskan rumah tangga pun, ia adalah untuk kebahagiaan dan keselesaan anak-anak.
Maka apa saja perubahan sikap dan tingkah laku anak harus diambil tahu, walau sesibuk dan sepenat mana pun mereka lelah bekerja. Berbual dan berbincanglah. Luangkan masa mengetahui apa yang berlaku dan dilakukan oleh anak pada hari itu.
Sejak kebelakangan ini, entah kenapa banyak pula kes bapa rogol anak dilaporkan berlaku di negara ini. Tak kiralah anak kandung atau anak tiri.
Yang amat meruntun hati, kebanyakan kes rogol itu berlaku sudah bertahun-tahun. Daripada mangsa kanak-kanak lagi sehinggalah dia remaja. Ada yang dirogol setiap minggu sepanjang tempoh lima hingga tujuh tahun.
Begitu lama sekali ketakutan dan penderitaan ditanggung oleh si anak dan rahsia hitam itu begitu lambat pula disedari atau diketahui sesiapa termasuk si ibu.
Bila baca kes-kes rogol sebegini termasuk sumbang mahram, terdetik juga dalam hati saya, ketika ini berapa ramai lagi anak-anak yang sedang menjadi mangsa?
Berapa ramai yang masih hidup bergelut dalam ketakutan atau keliru dengan perbuatan si bapa, abang atau atuk dan sentiasa diugut dengan macam-macam yang menyakitkan termasuk bunuh.
Rumah yang sepatunya menjadi tempat paling selamat kepada anak-anak malang ini, sudah lama menjadi neraka dunia kepada mereka.
Baru-baru ini, seorang bapa dihukum penjara 428 tahun dan 240 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Melaka atas 28 pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandung.
Hakim menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 56 tahun itu mengaku bersalah merogol dua anak perempuannya sejak 2015.
Saya fikir, biarpun hukuman penjaranya sehingga seribu tahun sekali pun, ia tidak dapat mengembalikan maruah anak-anak itu dan membuang trauma mereka sepanjang hidupnya.
Letaklah hukuman berat mana sekali pun, kejadian rogol tetap berlaku. Sebabnya, sentiasa ada yang tidak dapat mengawal nafsu dan bahan-bahan lucah senang betul didapati daripada internet. Hanya iman yang kuat dan rasa perikemanusiaan yang tinggi, dapat mencegah daripada melakukan jenayah terkutuk ini.
Kelmarin pula, seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul anak perempuannya, dua minggu lepas.
Pemandu lori berusia 55 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu dalam sebuah lori di Jalan Sungai Besi.
Sebenarnya terlalu banyak kes haruan makan anak di negara ini sejak beberapa tahun ini jika kita membuat pencarian dalam internet.
Yang peliknya juga, ada beberapa kes si pelakunya beristeri lebih daripada satu. Memang tidak masuk akal. Ini memberi petanda bahawa lelaki seperti ini sudah lama sepatutnya diletakkan hidup dalam kandang buaya. Bukan tinggal di rumah.
Terdapat juga kes si isteri tahu tetapi membiarkan kerana takut diugut dicederakan anak dan dirinya dan ada juga tak mahu kehilangan suami. Tidak mahu suami duduk dalam penjara. Siapa mahu beri mereka makan?
Ini yang dikatakan wanita yang hanya mementingkan diri sendiri. Tidak boleh berfikir secara waras. Membiarkan saja anak jadi kerakusan nafsu suami. Sepatutnya, isteri seperti ini juga dihukum sama.
Isteri atau ibulah yang sepatutnya dapat menghalang perkara ini daripada terus berlaku. Tak kisahlah gelaran apa patut diberikan kepada suami seperti ini – lelaki durjana, haprak atau gila seks. Yang utama, anak-anak perlu diselamatkan dulu daripada terus menjadi mangsa dan hidup tidak seperti anak-anak lain. Laporkan terus kepada pihak berkuasa. Setakat mana ugutan orang sebegini boleh pergi jauh?
Ada yang berkata, mangsa rogol terutamanya kanak-kanak dan remaja akan mempunyai masa depan yang gelap pekat. Hakikatnya tidak. Mereka masih boleh bangkit daripada segala ketakutan dan berusaha mencorak masa depan yang cerah.
Mangsa punya banyak masa dan peluang untuk meraih kejayaan dalam hidup. Tiada siapa pun dapat menghalang mereka untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan baik. Dan mereka juga berhak mempunyai suami dan anak-anak yang baik pada masa depan.
Keluarga terutamanya ibu, berilah sokongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Dunia belum lagi berakhir buat mereka. Sinar kebahagiaan pasti ada.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia