Siapa gerangan di tingkat bawah? - Utusan Malaysia

Siapa gerangan di tingkat bawah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kita kena cari rumah baru juga beb. Semalam tuan rumah dah datang tanya aku bila kita boleh keluar,” kata Zarif kepadaku.
Aku tersenyum kelat. Dari riak wajah Zarif aku tahu dia risau, maklumlah sudah beberapa kali tuan rumah datang berjumpa dengannya dan bertanya bila kami akan mengosongkan rumah kerana rumah yang kami duduki sekarang ini akan dijualnya kepada seorang kenalannya.
“Sudah! Kau tak payah fikir apa-apa lagi pasal rumah lepas ni. Aku dah dapat rumah sewa baru tak jauh dari tempat kerja kita. Malam nanti kita bincang dengan Rustam kalau dia bersetuju,” kataku sambil tersenyum ke arahnya.
Aku lihat Zarif hela nafas lega. Dengan siulan riang dia lantas mengucapkan selamat tinggal kepadaku sebelum menghidupkan enjin motosikalnya. Nampaknya, hujung minggu ini kami akan sibuk mengemas barang-barang untuk berpindah ke rumah sewa baru.
“Besar juga rumah ini, sewa pun taklah mahal mana. Memang berbaloi kita pindah ke sini,” kata Rustam salah seorang rakan serumahku.
Masing-masing bersetuju, malah membandingkan rumah sewa baru ini dengan rumah sewa lama. Memang banyak perbezaannya. Maklumlah, dua tingkat dan mempunyai empat bilik berbanding rumah teres setingkat sebelum ini yang hanya ada tiga bilik.
“Nampaknya lepas ini kita kena cari seorang lagi rakan serumah. Barulah cukup seorang sebilik,” kata Zarif sambil sibuk menyusun barang-barangnya.
“Eh, tak payah. Ramai-ramai nanti serabut pula. Kita bertiga dah cukup. Lagipun tuan rumah dah beritahu yang bilik di bawah ini dia guna untuk letak barang peribadi dia,” jawabku pantas. Kedua rakanku mengangguk.
Pada malam pertama kami di situ segalanya nampak baik. Masing-masing tidur nyenyak sehingga ke pagi mungkin agaknya terlalu letih kerana seharian mengemas rumah, namun pada malam kedua berlaku sebaliknya…
Ketika aku ingin ke tandas yang terletak di tingkat bawah, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi bising di kaca TV. Aku lihat kipas siling juga berputar laju, sangkaanku mungkin ada di antara rakan-rakanku terlupa mematikan suis. Namun keesokannya bila aku bertanya, masing-masing tidak mengaku, malah bersungguh mereka beritahu sudah menutup semua suis sebelum masuk tidur.
Malam ketiga pula berlaku kejadian berbeza. Kali ini Zarif yang ingin ke tandas pada tengah malam terlihat pancuran air di bilik mandi dan paip air di sinki dapur terbuka. Seperti biasa dia menyalahkan aku dan Rustam, dan kali ini aku dan Rustam pula menafikannya.
Malam keempat ketika aku baru ingin melelapkan mata tiba-tiba terdengar bunyi bising di tingkat bawah. Bergegas aku bangun dan turun memeriksa. Apabila sampai di dapur aku tergamam. Aku lihat beberapa pinggan pecah dan bersepai di lantai. Aku tinjau sekeliling kalau ada tikus atau haiwan lain di situ, namun tiada.
Keesokannya ketika sedang bersarapan di tempat kerja aku menceritakan apa yang berlaku. Zarif dan Rustam terkejut dan saling berpandangan. Masing-masing mula meneka yang bukan-bukan dan cuba mengaitkan tentang kejadian aneh yang berlaku sebelum ini.
“Entah-entah di rumah itu ada sesuatu tak? Aku macam tak sedap hatilah,” kata Rustam sambil memandang ke arahku dan Zarif. Kami membisu. Namun aku cuba menenangkan mereka. Aku beritahu jangan cepat fikir bukan-bukan. Aku beri jaminan jika perkara sama berulang lagi aku tidak teragak-agak untuk menceritakan kepada pemilik rumah tersebut.
Malam itu, kami tidur di bilik Rustam memandangkan biliknya cukup besar untuk memuatkan kami bertiga. Kami sudah sepakat jika terdengar bunyi pelik, kami akan turun dan periksa bersama-sama. Biar masing-masing menjadi saksi dengan apa yang berlaku.
Jangkaan kami tepat. Lebih kurang pukul 12.30 malam tiba-tiba telinga kami terdengar bunyi cukup aneh di tingkat bawah. Bunyi seperti orang berjalan memakai sepatu. Hentakan kakinya kedengaran cukup jelas sehingga membuatkan bulu roma kami tegak berdiri. Pada mulanya kami sepakat untuk turun memeriksa, namun ditegah Rustam. Katanya, dia takut sesuatu yang buruk terjadi. Manalah tahu kalau itu adalah perompak, silap haribulan boleh membahayakan nyawa. Hampir 10 minit kemudian barulah bunyi itu hilang. Kami lantas turun ke bawah memeriksa.
“Jom kita turun, kita tengok apa dah jadi,” kata Zarif. Dengan penuh berhati-hati kami keluar dari bilik dan menuju ke tangga. Namun sebaik sahaja berada di pertengahan anak tangga tiba-tiba Rustam memberi isyarat menyuruh kami berhenti. Dengan wajah pucat dan menggigil Rustam lantas meluruskan jari telunjuknya ke arah kerusi rotan yang terletak di ruang tamu. Ketika itulah jantung kami bagai disentap keluar dari tubuh. Dari cahaya suram lampu jelas kelihatan satu sosok berambut panjang sedang duduk bersandar sambil menghayunkan tubuhnya di kerusi rotan tersebut.
‘KRIUTTT… KRIUTTTT…
Walaupun sosok itu membelakangi kami, namun kami bertiga masih mampu melihatnya dengan jelas. Rambutnya panjang menghurai sehingga menutupi sebahagian tubuhnya yang berpakaian serba putih ketika itu.
Tanpa membuang masa kami bergegas masuk ke bilik dan mengunci pintu. Nampaknya kami sudah mendapat jawapan kepada segala apa yang berlaku.
Malam itu kami tidak mampu melelapkan mata sehingga ke pagi. Kami sepakat tidak mahu lagi tinggal di situ. Aku ditugaskan untuk memberitahu tuan rumah tentang apa yang berlaku. Keesokannya aku menghubungi tuan rumah. Namun yang peliknya tuan rumah langsung tidak terkejut mendengar cerita aku malah dengan spontan dia bersetuju memulangkan semula deposit dan sewa rumah yang baru kami diami selama lima hari itu.
“Tak apalah, nanti kunci rumah letak saja dalam peti surat. Nanti saya datang ambil,” katanya sebelum menutup perbualan. Aku berasa cukup pelik. Aku dapat rasakan yang dia tahu tentang apa yang berlaku di rumah itu. Ingin aku bertanya lanjut, tetapi risau pula jika dia memarahiku. Serta merta aku terfikir adakah kejadian itu ada kaitan dengan bilik di bawah yang dikuncinya? Atau ada cerita lain di sebaliknya. Aku tiada jawapan… – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya