Pak cik nak pergi tingkat berapa? - Utusan Malaysia

Pak cik nak pergi tingkat berapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH hampir sebulan aku bersama dua rakan sekerja menyewa sebuah rumah di pangsapuri yang terletak di pekan kecil pinggir bandar raya. Walaupun lokasinya sedikit jauh dari tempat kerja namun persekitarannya cukup tenang dan mendamaikan. Kawasan tersebut juga tidak sesak berbeza dari kediaman lama kami yang sentiasa bising dengan hiruk pikuk kenderaan dan manusia.
Jika dahulu memang kami tension. Siang malam langsung tiada beza. Dari jiran tetangga sehinggalah dengan geng-geng mat rempit yang sentiasa berlumba terutamanya pada waktu malam minggu, pendek kata memang tak aman kami dibuatnya.
Aku dan rakan serumah pula memang jenis yang selalu pulang lewat malam. Jadi bila dah sampai di rumah mestilah nak berehat dan tidur dengan lena, tapi bila disebabkan banyak sangat gangguan maka selalulah kami ini tidak cukup tidur sehinggakan bila sampai di pejabat masih mengantuk lagi.
Pangsapuri tempat aku menyewa ini ada 18 tingkat, aku dan rakan-rakan menyewa di tingkat 15, nasib baiklah lif sentiasa berfungsi dengan baik kalau tidak haru juga dibuatnya.
Salah satu faktor yang menyebabkan pangsapuri di sini ini terjaga dengan baik mungkin kerana penduduknya yang tidak ramai. Di blok aku menyewa pun banyak lagi rumah kosong mungkin lokasinya kurang menjadi pilihan kerana terletak jauh dari pusat bandar.
Malam itu aku pulang lewat kerana selesai menyiapkan tugas di pejabat aku terus menjamu selera bersama rakan-rakan di bandar. Memang aku sengaja pulang lewat kerana rakan serumahku semuanya balik kampung. Nanti tak pasal-pasal bosan pula kerana tiada rakan untuk bersembang.
Sebaik mematikan enjin kenderaan aku teus keluar dan menuju ke arah lif yang terletak di lobi. Sementara menunggu lif terbuka sempat aku jeling jam di tangan yang ketika itu sudah menunjukkan hampir pukul 12.30 malam
‘TING’… pintu lif terbuka. Aku meluru masuk dan menekan butang yang tertera nombor 15. Aku berdiri kemas sambil memerhatikan butang elektronik yang bersilih ganti menyala di dinding lif.
‘TING’… tiba-tiba lif yang aku naiki terbuka di tingkat dua. Di hadapanku berdiri seorang lelaki tua yang ku anggarkan berusia lebih separuh abad. Aku tersengih sambil melangkah beberapa tapak ke belakang untuk memberi ruang kepadanya.
“Pak cik hendak pergi tingkat berapa?” tanyaku sambil bersedia untuk menekan butang lif.
Lelaki tersebut tidak menjawab, namun dia mengangkat tangan sambil meluruskan kelima-lima jarinya. Aku faham, mungkin dia maksudkan ingin pergi ke tingkat lima.
Pantas aku menekan butang di tingkat lima. Sempat juga aku jeling ke arahnya, pakaiannya nampak lusuh tidak bergosok. Ingin juga aku bertanya lanjut tetapi bila fikirkan masa singkat ketika itu terus aku batalkan niat. Aku bersandar di dinding sementara menunggu lif sampai ke tingkat lima.
Setelah hampir beberapa minit berada di dalam lif aku mula kerutkan dahi. Pelik, kenapa lif tersebut masih belum sampai ke tingkat lima berbanding sebelum ini. Adakah lif tersangkut atau ada masalah lain, fikirku dalam hati.
“Maaf pakcik, biar saya tengok butang lif ini sekejap. Saya rasa macam ada masalah,” kataku meminta kebenaran untuk melangkah ke hadapan.
Lelaki itu hanya mendiamkan diri sambil melangkah ke belakang. Berulang kali jariku menekan butang di nombor lima namun tanpa disangka semua butang yang tertera di situ menyala bersilih ganti. Aku mula panik. Serta merta wajahku bertukar pucat. Jika lif tersebut rosak, habislah aku, pasti aku pula yang dipersalahkan. Aku cuba kawal perasaan.
“Saya rasa lif ini rosaklah pakcik. Dari tadi tak sampai-sampai lagi ke tingkat lima,” kataku sambil jari masih menekan butang di situ.
Kata-kataku tidak bersahut. Serta merta aku menoleh ke belakang. Dan tiba-tiba jantungku berdegup kencang. Aku kaget tanpa sepatah kata. Lelaki yang baru menaiki lif dan ku sapa sebentar tadi sudah tiada di belakangku. Di mana pula dia, bisikku dalam hati.
Aku mula berpeluh. Tubuhku serta merta menggigil ketakutan. Nampaknya kini aku sedang berhadapan satu situasi yang tidak pernah aku fikirkan. Berkali-kali aku tekan loceng kecemasan berharap agar ada sesiapa di luar mendengarnya.
Sambil menekan butang loceng mulutku kumat kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran. Dan tanpa disangka beberapa saat kemudian lif kembali bergerak naik dan terbuka di tingkat lima. Tanpa berfikir panjang aku terus meluru keluar dan berlari menuju ke arah tangga di pintu sebelah. Walaupun terpaksa berlari naik sebanyak lima tingkat ke atas namun aku tidak peduli. Aku rela berbuat sedemikian dari menggunakan lif tersebut.
Aku sampai di rumah dengan baju lenjun dibasahi peluh. Selepas masuk ke dalam dan mengunci pintu aku terus tenangkan diri. Tubuh masih menggigil ketakutan. Pelbagai persoalan terus bermain di benak terutamanya tentang kewujudan lelaki misteri tadi. Malam itu aku tidur sambil ditemani alunan ayat suci al-Quran sehingga ke pagi.
Keesokan paginya aku berjumpa dengan Abang Salam yang merupakan pengawal keselamatan di pangsapuri tersebut. Aku terus bertanya dan bercerita kepadanya tentang apa yang berlaku malam tadi.
“Oh, kau pun kena juga ya? tanya abang Salam sambil memandang tepat ke wajahku.
“Sebenarnya di tingkat 5 dulu ada satu kes bunuh diri. Seorang lelaki terjun bangunan. Kata mereka dia stres sebab diburu Ah Long. Selepas itu ramai juga terserempak ‘dengannya’. Jadi untuk keselamatan janganlah pulang lewat-lewat malam, atau pun kalau pulang lewat tu pastikan ada teman,” kata Abang Salam panjang lebar.
Aku tergamam mendengar ceritanya. Nampaknya aku terpaksa memberitahu rakan-rakan serumahku apabila mereka pulang nanti. Mereka juga jenis yang sama sepertiku selalu pulang lewat malam. Sekurang-kurangnya selepas ini mereka boleh berjaga-jaga.
Ketika menuju ke kereta bermacam-macam perkara bermain di fikiranku. Aku mula terfikir sama ada perlukah mencari rumah sewa lain atau terus tinggal di situ.
Aku tidak sanggup untuk menghadapi perkara sama sekali lagi. Lagipun tidak mungkin aku mampu pulang awal ke rumah pada hari-hari berikutnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya