Gelanggang pilihan raya sudah dibuka, kini menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan. Persoalannya, adakah PRU15 sebagai dimensi politik baharu atau masih di takuk lama? Tentunya, sebagai penganalisis dan pemerhati politik nasional, saya mengharapkan PRU15 ini membuka lembaran baru bagi politik negara ini.
Kita tidak mahu lagi melihat politik bersifat perkauman, provokasi melampau, kempen keterlaluan, perkataan-perkataan menghina lawan, atau mengaibkan maruah seseorang. Seharusnya dimensi dan naratif politik sudah mencapai kematangan. Maka, proses pendemokrasian politik boleh diperkukuh melalui politik matang. Ya, semua calon dan parti politik yang bertanding hendak mencapai kemenangan. Namun, biarlah menang bermaruah melalui proses politik matang, bersih dan diterima oleh rakyat.
Dalam PRU15, ada beberapa perkara yang boleh menjadi naratif baru politik Malaysia agar tidak mundur atau kekal di takuk lama. Pertama, isu pakatan dan kerjasama politik perlu dimuktamadkan segera dan diumumkan kepada rakyat. Biarlah rakyat menentukan pilihan mereka. Siapa lawan dan siapa kawan sudah boleh diketahui umum. Tidak rasional jika hal ini masih menjadi teka-teki. Hal ini mencerminkan kredibiliti kepimpinan politik sedia ada.
Bahkan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), ada negeri berteka-teki dan masih tiada keputusan mengenainya. Jangan fikir status-quo dan kelangsungan kuasa semata-mata. Kena fikir keresahan rakyat kerana mereka yang menentukan mandat dalam PRU15.
Kedua, kini rakyat semakin resah mengenai kualiti hidup. Mereka dibebani isu kenaikan harga, hilang pekerjaan dan kos sara hidup meningkat. Jadi, adakah PRU15 sebagai penanda aras baru politik yang positif di Malaysia? Atau, PRU15 titik kemerosotan politik demokrasi di negara ini? Jadi, PRU15 sepatutnya menjadi ruang merungkai kekusutan dan kesulitan di pihak rakyat. Setiap parti politik perlu memberi keyakinan bahawa masa depan Malaysia bakal berubah lebih ke hadapan, bukannya mengundur.
Kena ingat! Jangan hanya pandai menabur janji-janji politik seperti mana dalam PRU14 lalu. Kesannya apabila PH memerintah, banyak perkara dalam manifesto tidak dilaksanakan. Akhirnya ia memakan diri dan imej negatif PH di mata rakyat sukar dibaiki.
Ketiga, naratif politik sudah banyak berubah. Pengaruh media massa dan sosial tidak boleh diketepikan. Ini sumber maklumat utama kepada setiap lapisan masyarakat, apatah lagi dalam kalangan pengundi 18 tahun yang buat pertama kali boleh mengundi dalam PRU15. Kecenderungan sokongan pengundi muda sukar diduga. Mana-mana parti politik yang mampu mempengaruhi kumpulan ini, mempunyai kelebihan memenangi kerusi ditandingi.
Keempat, usaha mendampingi kumpulan pengundi 18 tahun itu kena ada kaedahnya. Pastinya perlu mendampingi keluarga dan kawan-kawan mereka. Apakah menu yang boleh disajikan oleh parti politik kepada kumpulan ini? Parti politik perlu bijak mengambil peluang menarik undi pengundi muda ini.
Mereka perlu diberi pendedahan dan galakan menyertai politik. Parti politik boleh dianggap sebagai pejuang masa depan mereka. Andai naratif politik ini boleh dibawa, nescaya undi kumpulan ini boleh menjamin kemenangan.
Dengan kata lain, tahap partisipasi kumpulan pengundi muda perlu ditingkatkan dan sentiasa ditanam semangat akan kepentingan undi mereka untuk masa depan negara.
Kemerosotan kadar turun mengundi amat membimbangkan seperti mana dapat disaksikan dalam pilihan raya DUN Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini. Siapa rugi? Atas sebab itu, setiap pengundi perlu turun mengundi. Tindakan ini menyuburkan demokrasi. Andai kata tidak turun mengundi, ia bukan saja merugi diri sendiri, tetapi masa depan negara.
Kelima, biarlah PRU15 menjadi penanda aras kebangkitan pengundi menentukan kuasa dan memberi mandat kepada siapa untuk menerajui negara ini. Ini selaras dengan kelulusan undang-undang larang melompat parti.
Selepas ini, kerajaan tidak boleh dibentuk melalui aktiviti melompat parti. Ini secara langsung memperkukuh nilai demokrasi kerana kerajaan dibentuk melalui mandat yang diberikan pengundi.
Justeru, pertimbangan memilih calon berkualiti sangat penting bagi menjamin sokongan pengundi. Ini kerana pengundi sudah boleh membuat pertimbangan memilih calon berkualiti dan berupaya membela nasib mereka, yang mana kerajaan bukanlah dibentuk oleh wakil rakyat yang melompat parti yang mengkhianati mandat pengundi.
Keenam, kini perbandingan politik Malaysia bukan sahaja dirujuk kepada jiran Indonesia, tetapi negara seperti Kanada, Australia, New Zealand, Jepun dan lain-lain. Di negara ini, penyertaan golongan muda semakin besar dalam politik dan dipilih sebagai wakil rakyat. Calon dan wakil wanita juga bertambah. Kesediaan pemimpin senior dan veteran membuka ruang kepada pemimpin muda adalah transformasi yang mampu mengubah landskap politik.
Atas sebab itu, barisan pemimpin muda sudah mampu mengisi kedudukan penting dalam parti politik dan kerajaan apabila ada yang dilantik menjadi Perdana Menteri. Sepatutnya PRU15 ini menjadi penanda aras pembukaan ruang dan peluang besar-besaran kepada barisan pemimpin muda untuk mengambil bahagian.
Dengan itu, naratif politik nasional boleh berubah ke arah lebih energik dan dinamik. Melalui kuasa pengundi muda 18 tahun, kemunculan pemimpin pelapis dengan kadar yang tinggi dan keterbukaan terhadap pemimpin wanita bakal meletakkan neraca politik Malaysia ke dimensi yang baru dalam PRU15.
Andai semua ini tidak berlaku, bersedialah menikmati menu yang sama, disajikan oleh chef yang sama turun temurun. Mahu tidak mahu, telanlah kerana itu sahaja pilihan. Berubahlah ke naratif politik yang lebih dinamik. Jadikan PRU15 penanda aras baharu politik Malaysia.
Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan MB Global Political Analysis and Academic Consultancy.