AKTIVITI menyelam skuba seringkali dikaitkan dengan pernafasan terutama apabila melihat peralatan yang terdiri daripada regulator, Bouyancy Compesator Device (BCD) dan tangki.
Namun tidak ramai yang tahu, sukan ini juga amat berkait rapat dengan alat pendengaran.
Dalam sukan menyelam, istilah equalize atau mengimbangi tekanan udara pada telinga digunakan untuk mengelakkan kecederaan pada rongga berkenaan.
Ini kerana semakin dalam seseorang itu menyelam, semakin kuat tekanan pada telinga.
Adakalanya, penyelam timbul semula ke permukaan atau tidak dapat meneruskan disebabkan tekanan kuat sehingga rasa tidak selesa dan sakit pada telinga.
Jadi apakah yang akan berlaku sekiranya penyelam memaksa diri turun ke dasar laut pada kedalaman tertentu?
Menurut Pakar Audiologi, Dr. Nur Shasa Ain Abdul Aziz, seseorang penyelam sememangnya terdedah kepada Barotrauma iaitu kecederaan akibat perubahan dalam telinga dan ia boleh menyebabkan gegendang telinga pecah.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keadaan dan kerosakan pada telinga sama ada boleh dirawat sendiri atau memerlukan pembedahan.
“Barotrauma boleh berlaku apabila perubahan tekanan udara memberi ruang vakum dalam telinga tengah dan menarik gegendang telinga ke dalam.
“Kalau berlaku perubahan secara mendadak ia boleh menyebabkan rasa sakit ataupun kecederaan pada telinga,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.Menurut Dr. Nur Shasa Ain, telinga manusia mempunyai tiga bahagian iaitu telinga luar, tengah dan dalam.
“Bahagian tengah terletak antara telinga luar dan dalam. Di bahagian telinga tengah terdapat ruang udara, tulang osikel dan tiub Eustachia. Tiub Eustachia menjadi penghubung antara telinga tengah dengan hidung dan tekak. Pada keadaan normal, tekanan udara pada telinga tengah (yang dipisahkan oleh gegendang telinga dengan bahagian telinga luar) adalah sama dengan tekanan udara luaran.
“Tiub Eustachia akan terbuka ketika menelan atau mengunyah untuk membenarkan udara keluar masuk dari telinga tengah. Proses ini adalah untuk memastikan tekanan udara dapat diseimbangkan antara dalam dan luar telinga,” jelasnya.
Tambahnya, masalah pecah gegendang telinga dalam kalangan penyelam biasanya boleh dirawat.
“Gegendang telinga yang pecah boleh dirawat. Namun perlu dilihat sama ada ia kecederaan kecil atau besar.
“Sekiranya melibatkan kecederaan besar ia perlu di bedah, namun jika hanya melibatkan kecederaan kecil ia boleh dirawat sendiri,” terangnya.
Untuk mereka yang baru memulakan sukan menyelam, ada beberapa tips yang boleh dikongsikan untuk mengurangkan tekanan pada rongga telinga antaranya equalize lebih awal dan kerap.
Sebaik-baiknya anda boleh mulakan ketika dalam perjalanan ke lokasi menyelam dan dilakukan secara kerap. Paling penting, sekiranya masih berasa sakit walaupun telah beberapa kali equalize, adalah lebih baik tidak meneruskan selaman.
Selain itu, paling penting jangan sesekali turun ke dasar tanpa equalize dan sentiasa jadikan setiap kali menyelam umpama kali pertama melakukan aktiviti tersebut supaya keselamatan di titik beratkan. – MINGGUAN MALAYSIA
Risiko masalah pendengaran bagi penyelam
- Oleh Muhamad Hafiz Yusoff Bakri
- 30 Oktober 2022, 4:41 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Tentang KL Sundown 2023 yang santai, jadi terapi minda
10 Disember 2023, 5:43 pm
Tarikan tersembunyi untuk ‘healing’ di Putrajaya, Selangor
26 November 2023, 5:19 pm
‘Bikers’ kongsi pengalaman di Pokhara
5 November 2023, 4:56 pm