Peluang seimbang menang PRU15 - Utusan Malaysia

Peluang seimbang menang PRU15

Sebahagian daripada orang ramai yang hadir ke Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU15 Pas Kedah di Naka, bulan lepas. – Mingguan/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bersediakah kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)? Mungkin ada yang berkata, hanya menunggu saat beduk dipalu. Kini tiada lagi yang tercicir sebagai pemilih susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Penguatkuasaan ini menyebabkan semua mereka yang berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara langsung sebagai pemilih.
Ekoran itu, pemilihan berdaftar yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini adalah seramai 21,113,234 orang berdasarkan rekod Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022.
Daripada jumlah itu, 1,141,749 orang (5.4 peratus) adalah pemilih berusia 18 hingga 20 tahun. Bakinya 19,971,485 orang (94.6 peratus) merupakan pemilih 21 tahun dan ke atas.

UNDI ORANG MUDA
Jadi, dalam PRU15 ada pertambahan seramai 5.8 juta pemilih melibatkan 1.2 juta golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun. Kini majoriti mereka melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi dan sebahagiannya di tingkatan enam. Kenapa fokus kepada pengundi muda? Walaupun kurang arif dan tidak aktif dalam politik, tetapi undi mereka boleh menjadi faktor penentu kemenangan calon.
Dalam konteks ini, keupayaan mengimbangi lawan dan menarik sokongan pengundi muda boleh memberi kelebihan kepada parti politik. Dalam PRU15, peluang untuk memenangi kerusi yang ditandingi adalah seimbang. Jadi, kena bijak ambil peluang. Semua sedia maklum, penyandang kerusi sedia ada, dalam PRU14 lalu mewakili parti lain dan kini menyertai parti baru. Jika ingin bertanding semula, pemimpin itu perlu berlawan dengan calon daripada parti lamanya dan mungkin juga berhadapan dengan calon daripada parti-parti lain.
Oleh itu, peluang sama ada di pihak Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah seimbang dan terbuka untuk menawan mana-mana kawasan. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan. Apa yang nyata, sejarah politik pilihan raya sebelum ini membuktikan tiada sebuah parti pun boleh menubuhkan kerajaan kecuali melalui pakatan.
Dalam kedudukan yang seimbang dan peluang yang hampir sama, kerjasama dengan sekutu politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat diperlukan. Tanpa sokongan GRS dan GPS, ternyata sulit sama ada di pihak PH atau PN mahu pun BN untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Lagi pun, setakat ini tiada pengumuman kerjasama masing-masing antara PH, PN dan BN dalam PRU15 nanti.
Jika sebelum ini, UMNO yakin ada kekuatan andai Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dapat dikekalkan. Namun, Pas kelihatan selesa dalam PN khususnya bersama Bersatu. Cuma, adakah Pas kekal bersama PN? Keadaan ini menunjukkan setiap parti politik mempunyai peluang seimbang dan terbuka untuk memenangi kerusi ditandingi dan seterusnya membentuk kerajaan menerusi kerjasama atau pakatan politik.

STRATEGI MENANG
Bagaimanakah cara untuk merebut peluang itu dan strateginya? Kemenangan calon mengambil kira banyak faktor. Tentunya faktor sokongan pengundi muda boleh menjadi penentu. Justeru, parti politik harus bijak memanfaat peluang peningkatan pemilih muda seperti disebutkan di atas.
Parti-parti politik selain mengemukakan winnable candidate dalam masa sama mesti memberi fokus menarik sokongan pengundi berumur 18 hingga 21 tahun. Tiada mana-mana parti selepas ini boleh mendakwa kerusi itu kawasan selamat atau hakikinya milik mereka. Jika dalam PRU14 mungkin ada kebenarannya, tetapi dalam PRU15 kerusi itu bukan lagi jadi deposit tetap kepada parti berkenaan. Oleh itu, mesti ada strategi berkesan untuk meraih sokongan pengundi muda dan atas pagar. Kumpulan ini harus disajikan dengan menu dan trend semasa untuk minat mereka.
Kaedah mendekati dan menyelami kumpulan yang aktif dari segi fizikalnya ini perlu dilakukan melalui pelbagai kaedah. Ironinya, mereka adalah apati dan tidak aktif dalam politik kecuali lebih kepada isu-isu yang terfokus dalam lingkungan kehidupan mereka. Atas sebab itu, parti politik perlu mewujudkan banyak ruang dan peluang komunikasi bersama kumpulan ini.
Disebabkan mereka masih dalam kategori kumpulan berbudaya politik parokial atau subjek, ini hambatan besar kepada parti politik untuk menarik mereka keluar mengundi. Suatu kerugian besar andai PRU15 tanpa undi majoriti kumpulan ini.

CALON BIDAN TERJUN
Seperkara yang perlu diha­lusi oleh parti politik adalah mengenai calon pilihan raya. Walaupun dikenal pasti sebagai winnable candidate tetapi calon itu dikategorikan sebagai top-down yang dia­nalogi sebagai calon bidan terjun, jika boleh hendaklah dielakkan.
Dalam PRU14, ramai calon top-down atau bidan terjun itu kecundang kepada calon bottom-up atau akar umbi walaupun kini ada an­tara mereka berada dalam Kabinet. Jadi, bagaimanakah hendak menentang pemimpin yang sudah lama bertapak itu sekali lagi dalam PRU-15? Semua itu bergantung kepada strategi dan formula politik masing-masing. Tepuk dada tanya selera!!

Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan MB Global Political Analsis and Academic Consultancy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya