Kenapa kau tak tutup tingkap? - Utusan Malaysia

Kenapa kau tak tutup tingkap?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cuti semester lalu aku ambil keputusan tinggal di rumah nenek. Bagi aku rumah nenek yang terletak di tengah bendang adalah lokasi terbaik untuk menenangkan diri sambil menyiapkan tugasan yang berlambak ketika itu.
Keluargaku juga tidak membantah apatah lagi nenek memang tinggal seorang diri setelah kematian datuk kira-kira lima tahun lalu. Kiranya kedatanganku ke sana dapatlah juga menemani nenek.
“Azan pergilah temankan nenek. Kasihan nenek tinggal seorang diri. Nanti seminggu sebelum habis cuti, kami pergilah ambil Azan,” kata ibu.
Lokasi rumah nenek memang cantik. Pemandangannya juga cukup indah, lebih-lebih lagi pada waktu senja, maklumlah rumah di tengah sawah.
Aku perasan setiap kali tiba waktu Maghrib, nenek akan minta aku tutup semua tingkap di rumahnya. Tetapi hendak dijadikan cerita pada suatu malam aku terlupa untuk menutup tingkap kerana khusyuk siapkan assignment.
“Betul Azan tak nak ikut nenek pergi rumah Pak Long?” tanya nenek sambil mencapai selendangnya.
Aku mengangguk. Sambil beritahu nenek yang mana aku kena siapkan tugasanku yang berlambak ketika itu.
Selesai solat Maghrib aku terus sambung siapkan tugasan di meja ruang tamu. Sesekali aku usap perut yang terasa kosong. Terfikir juga nak beli makanan di warung berdekatan tetapi awal-awal lagi nenek pesan, katanya nanti dia akan bawa lauk pauk dari rumah Pak Long.
Sedang khusyuk siapkan tugasan, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi pelik dari tingkap di ruang tamu. Bunyi berkeriut berulang kali. Aku toleh ke arah bunyi itu dan serta merta aku lihat salah satu tingkap di situ terbuka luas sambil langsirnya sudah separuh terbang keluar.
Baru sahaja aku ingin bangun meninjau, tiba-tiba sekali lagi aku terkejut apabila beberapa tingkap di situ turut mengeluarkan bunyi sama dan serentak, seakan ada seseorang membukanya. Bunyi engsel yang berkeriut berselang seli itu berhenti sebaik sahaja aku melangkah menuju ke arah tingkap.
“Nah, ambil makanan ini. kamu dah lapar. Nenek nak pergi rumah Pak Long semula. Kenduri belum selesai,” kata nenek sambil menghulurkan bungkusan melalui tingkap. Tersirap darahku. Serta merta aku hela nafas panjang. Aku ingatkan siapalah, rupa-rupanya nenek. Belum pun sempat aku bertanya lanjut, nenek sudah hilang. Baru sahaja aku ingin tawarkan untuk menghantarnya ke rumah Pak Long.
Lantas cepat-cepat aku tutup semua deretan tingkap di ruang tamu. Tak pasal-pasal nenek tahu yang aku terlupa menutup tingkap malam ini. Habislah aku kena leter dengan nenek nanti. Sebaik membuka bungkusan makanan itu, aku berasa pelik. Semua lauk pauk dibungkus dengan daun pisang.
“Pelik sungguh, takkanlah di rumah pak long tak ada bekas plastik,” kataku dalam hati. Tetapi memandangkan perut sudah berkeroncong aku malas fikir panjang. Aku makan dengan seleranya.
Disebabkan terlalu lapar habis semuanya aku bedal. Niat hati ingin sambung siapkan tugasan sudahnya terbantut. Serta merta mata terasa berat.
Sebaik sahaja aku ingin melabuhkan tubuh di sofa rotan di ruang tamu, tiba-tiba telingaku terdengar orang memberi salam. Rupa-rupanya nenek dah pulang.
“Eh, awal nenek balik? Dah selesai ke kenduri?” tanyaku sambil menutup pintu.
“Dah selesai dah. Nenek malas nak tunggu lama-lama sebab kasihan pula kau tak makan lagi. Ni Pak Long kau kirimkan makanan,” kata nenek. Aku terdiam sambil merenung ke arah nenek. Nenek ingat aku ini baka tong dram agaknya. Baru selesai makan, takkanlah aku nak makan lagi. Taufan pun tahu berhenti, getusku dalam hati.
“Baru tadi nenek hantar makanan pada Azan, dah habis semua Azan makan, takkanlah Azan nak makan lagi nek. Meletup pula perut Azan kang,” kataku berjenaka. Nenek diam sejenak. Wajahnya kelihatan tidak tenteram sebaik sahaja mendengar kata-kataku.
“Tadi ada orang hantar makanan ke?” tanya nenek lagi.
Aku garu kepala yang tak gatal. “Laaa… tadi kan nenek ba­lik kejap dan hantar makanan. Nenek hulur di tingkap saja sebab nak cepat,” kataku lagi.
“Kau tak tutup semua tingkap senja tadi?,” tanya nenek lagi. Aku terdiam sambil menggelengkan kepala.
“Mana makanan tu tadi?” tanya nenek lagi. Lantas aku beritahu kepadanya yang makanan tersebut sudah habis ku makan. Aku juga beritahu nenek yang makanan itu hanya dibungkus dengan daun pisang.
Aku lantas bertanya kepada nenek apa yang berlaku sebenarnya, tetapi nenek tidak memberikan jawapan. Namun dari raut wajahnya aku tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Setelah selesai solat Isyak barulah nenek cerita kepadaku. Katanya dia perasan ada sesuatu yang tidak kena di rumah itu terutamanya di deretan tingkap ketika waktu malam.
Katanya lagi ‘benda’ itu suka masuk dan berlegar di kawasan tingkap hadapan, namun tidak pernah pula dia terserempak selain mendengar bunyi yang aneh.
“Dalam dunia ni bukan kita saja yang ada. Banyak makhluk ciptaan Allah yang lain. Nenek dah faham dengan apa yang jadi dekat kau tadi,” kata nenek perlahan.
Bagiku sosok yang menyerupai nenek tadi bukanlah isu utama yang aku risaukan, tetapi yang menjadi persoalanku adalah makanan yang diberinya. Makanan yang telah habis ku makan itu.
Adakah makanan betul atau pun? Serta merta aku berasa loya dan hendak muntah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya