Jangan cepat puas hati - Misbun - Utusan Malaysia

Jangan cepat puas hati – Misbun

MISBUN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
DENGAN ketegasan dan disiplin ditunjukkan sudah cukup merumuskan tahap keseriusan anak jati Banting, Selangor ini dalam menentukan arah sukan badminton negara ke tahap paling tinggi.
Malah, kesempatan berbicara bersama orang penting ini juga memberikan aura tersendiri, lebih-lebih lagi selepas beregu lelaki utama negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik melakar sejarah menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun baru -baru ini.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual Pengarah Teknikal Badminton Remaja, DATUK MISBUN SIDEK untuk mendapatkan perspektif beliau di sebalik kejuaraan dimenangi regu berkenaan.

JADI TANDA ARAS
MINGGUAN MALAYSIA: Datuk adakah kemenangan Aaron Chia-Soh Wooi Yi merupakan penanda aras kepada lonjakan prestasi sukan badminton negara di mata dunia?

MISBUN: Persoalannya selepas ini boleh atau tidak mereka nak kekalkan prestasi? Banyak pemain yang sebegitu. Sebenarnya situasi setiap pemain berbeza-beza Kalau kalah senang kita nak baca aspek apa yang perlu diperbaiki. Akan tetapi kalau menang kita tak tahu apa lawan akan buat. Orang mengkaji daripada kekalahan dan tidak mengkaji daripada kemenangan. Kerana apa? Sebab kesempatan. Ini senario yang terjadi pada semua pemain badminton di mana-mana pun kecuali pemain Denmark, Viktor Axelsan.
Dia satu-satunya pemain dalam dunia yang kesempurnaannya mencapai taraf 95 peratus dalam aspek mental, deria rasa, ketinggian dan persekitaran. Boleh dikatakan hampir sempurna. Sebab itu, dia tidak pernah kalah. Dia lengkap dan sebab itu boleh urus melalui pasukan dia.

Ia berbeza dengan pasukan kita. Pertandingan banyak. Sebab itu tiada kestabilan daripada kekuatan.Untuk kekalkan perkara ini perlu ada konsisten, skil, mental dan yang bagus.
Dan perlu diingat mental yang bagus datangnya daripada kecergasan. Kalau ia cukup, maknanya semua ‘modal’ cukup. Jadi apa yang nak ditakutkan? Yang takutnya kalau ‘modal’ tak cukup.
Contoh pergi pasar malam dengan RM100 boleh tapi kalau shopping mall cukup? Awak yakin? Itulah mental. Stamina, kekuatan, konsisten dan kemahiran itu modal. Awak nak cari mata dan dari mana nak dapatkan kalau bukan taktikal. Nak taktikal perlu berlatih. Dengan adanya ‘modal’ baru boleh berlatih dan pertingkatkan aspek taktikal. Tapi kalau modal pun tiada macam mana nak berlatih taktikal. Sikit-sikit sudah penat. Lagi satu kita tidak boleh cepat berpuas hati. Berpuas hati itu datang daripada jurulatih, bukannya pemain. Pemain hanya bermain sahaja.
Jurulatih ada pemantauan dan analisis. Pemain perlu ikut sahaja. Awak tak nak main bagi orang lain. Jurulatih berperanan terhadap apa yang mahu diselamatkan pada pemain ini. Jadi belum sampai lagi kalau kita nak katakan kejuaraan yang dimenangi baru-baru ini lonjakan prestasi badminton negara.

HARAPAN TINGGI RAKYAT
Banyak pihak beri harapan tinggi terhadap sukan badminton apabila menjuarai Kejohanan Badminton Dunia sehingga boleh mendatangkan tekanan. Komen Datuk?
Mengapa perlu ikut penonton? Penonton ikut resam. Kalau bola menang semua sokong bola. Kalau badminton semua minat badminton.
Kita tidak boleh ambil peduli sangat dengan apa yang mereka cakap atau kritik.Maka sebab itu pemain yang ‘kepala’ tidak ‘ngam’, tidak boleh dikritik dan sebagainya. Sepatutnya janganlah baca atau dengar apa-apa-kenyataan. Rakyat ada hak nak kata apa sahaja dan ia boleh berubah. Hari ini elok, esok berubah. Macam bola siapa juara, itu pasukan yang akan dia sokong. Ada yang fanatik dan ada yang tidak kisah kisah. Ikut apa yang orang ‘jolok’ pada mereka.

Ada jurulatih bagus yang ‘lari’ melatih pasukan di luar negara. Adakah ini tidak patriotik?
Apa yang kita mahu sekarang jurulatih yang boleh memberikan keputusan baik. Kita tidak boleh ambil secara adhoc dan hanya mahukan mereka yang sememangnya berhasrat untuk bantu pemain. Bukannya tahu sikit-sikit kemudian nama saja besar serta gah, tapi akhirnya tidak memberi apa-apa kepada pemain.
Ambil contoh negara lain. Apa yang dikutip daripada jurulatih kita. Jepun contohnya, dulu lantik jurulatih Malaysia untuk biasakan taktikal dan teknikal yang pernah kita digunakan. Kemudian Jepun campurkan formula yang ada. Itu sahaja.
Kita perlu ingat kalau dalam setahun dua apa yang jurulatih ini boleh tolong? Kalau jurulatih yang bagus dia akan latih dari bawah sampai jadi juara dunia. Sukan mana-mana pun sama. Setidak-tidaknya pemain boleh dengar apa jurulatih cakap. Kalau setakat dua tiga tahun belum tentu boleh dapat keputusan. Rejim untuk persiapkan pemain bukannya senang.

Bagaimana Datuk melihat aspek pembangunan akar umbi sukan badminton termasuk di peringkat negeri?
Negeri ada subsidi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Maka sebab itu negeri wajib beri satu program berkesan melalui Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ( MSSS). Kemudian pergi ke peringkat daerah dan seterusnya negeri. Apabila ada pemain yang sudah pun mewakili negeri barulah kita adakan proses mengenal pasti bakat menerusi program Talent Identification and Development (TID). Mana yang bagus kita masukkan dalam BAM. Jalannya itu sudah betul.
Perak sebagai contoh. Mengapa mereka ada pemain bagus? Kerana jurulatih bekerja, pengurusan bekerja dan persatuan pun bekerja. Mereka pastikan latihan yang diberikan cukup. Kejohanan junior elit dan bawah 14, 15 dan 19 ini yang harus mereka siapkan .
Macam sekarang saya pengarah pembangunan remaja. Saya akan pastikan pemain ada asas macam ini, ada hala tuju sebab kita tidak boleh ambil jalan pintas. Nak naik ‘atas’ perlu ada kualiti. Kalau ikutkan saya, pemain yang hendak naik perlu jadi juara dulu. Kita tak boleh terus naik sebab di atas ada satu level lain.Ia ibarat universiti, ada modul dan selebihnya kita pupuk.

MENCARI PEMAIN BERKUALITI
Adakah perubahan zaman yang kini dipenuhi dengan media sosial dan permainan video antara cabaran untuk melahirkan pemain berkualiti ?
Sebenarnya sama. Ia bergantung kepada jurulatih macam mana hendak menguruskan pemain. Kita tidak boleh lepaskan budak-budak begitu sahaja.
Sekarang ini ‘guru’ kepada budak-budak ini adhoc. Mereka gunakan Google dan Youtube sahaja. Jadi macam mana hendak pantau ?
Di samping itu, kita perlu pastikan disiplin mereka. Sebagai contoh esok saya kata pukul 5 pagi latihan. Kalau dia tidur pukul satu pagi mesti muntah sebab tidak dapat rehat secukupnya.
Segalanya akan kita pantau sebab kita mahu bantu dia. Kalau kita harapkan pemain sahaja tidak boleh sebab mereka datang dari pelbagai latar belakang. Ada yang adik beradiknya ramai, ada yang dimanja dan ada sebaliknya. Jadi, di sini kita perlu pandai bagaimana nak tackle mereka.
Dalam kejurulatihan ini kita juga perlu banyak diplomasi dan menilai sejauh mana dia punya latar belakang untuk dilatih. Kalau dulu sistem set dan sekarang 21 set, maka latihan juga perlu diubah ikut intensiti serta kudrat. Jika tidak pemain bermain sekadar syarat. Permainan zaman sekarang sungguh bijak. Selain itu, permainan sekarang adalah membuat keputusan dengan betul dan cekap, bukannya harapkan kesilapan pemain lawan.

LATIHAN KERAS
Adakah corak latihan keras atau penekanan aspek sains sukan yang Datuk titik beratkan kepada pemain muda zaman sekarang?
Sebenarnya bukan keras. Kalau di sini (akademik) saya ajar daripada 83 pemain, yang ada kecederaan hanya tiga peratus selebihnya kosong. Itupun kecederaan lama yang diperoleh sebelum mereka masuk ke sini lagi.
Rejim yang ada bersesuaian dengan apa yang kita hendak bangunkan mereka. Contohnya, badminton permainan yang banyak lari. Jadi mereka perlulah lari. Kalau tidak suka lari macam mana nak main? Selain itu, kita perlu lihat di mana kekuatan pemain. Sebagai contoh ada pemain pendek. Jadi bagaimana kita nak bentuk dan menang dalam game? Caranya kita bina pernafasan. Kita perlu kaji semua ini.

Peratus bakat dan latihan diperlukan untuk lahirkan jaguh dunia?
Hendak mencari bakat susah. Sebab badminton ini raja permainan. Orang bodoh tak boleh main badminton kerana sukan ini kena menggunakan akal. Itulah bakat. Dalam banyak pemain, berapa ramai yang boleh jadi juara dunia? Lihat Indonesia bagaimana mereka mahu mencari Taufik Hidayat, Rudi Hartono. Denmark bernasib baik sebab mereka ada Viktor Axelsan. Jepun pun sukar untuk mencari pengganti Kento Momota. Banyak bakat muda kalau ajar hari ini bulan depan pun belum tentu boleh pakai. Untuk ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi pemain terbaik dunia, seelok-eloknya boleh bermula seawal umur lima ke enam tahun sebagai pendedahan.
Tapi perlu diingat sebenarnya yang kita mahu jaga paling penting sewaktu mereka mencecah umur 18 tahun. Awak lihat bagaimana Datuk Lee Chong Wei boleh menang banyak pertandingan sedangkan ketika berusia 18 tahun dia masih biasa-biasa sahaja? Oleh kerana saya nampak kelebihan kaki dan nafas serta kelicikan beliau, saya suruh praktik dalam gelanggang. Latihan setiap pemain tidak sama kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

Banyak pemain Malaysia lebih suka bergerak secara profesional dan bukan dibawah BAM? Adakah disebabkan kebajikan atau kelemahan jurulatih?
Itu pengaruh duit sebab mereka mahukan jaminan. Kalau tiada duit tapi masih mahu bermain di kejohanan luar, sudah tentu perlukan duit.
Lagipun kalau ada pemain negara tidak meningkat prestasinya lebih baik bagi peluang kepada pemain lain. Kita pun tidak mahu mereka lagi sebab satu gelaran pun tiada walau selepas enam tahun. Apa yang ada hanya gelaran pemain negara. Tapi bila di luar barulah hendak bersungguh-sungguh. Padahal di dalam semua sudah ada. Sebab awak nak apa? Macam Lee Zii Jia dulu dia di bawah BAM. Oleh kerana dia rasa tidak puas hati dalam latihan maka dia keluar untuk lebih selesa. Tapi di luar apa kemudahan yang ada dan apa dia dapat?

Negara yang bakal beri saingan kepada Malaysia pada masa depan?
India. Saya baru pulang dari sana dan mereka ada 5,000 gelanggang badminton sekarang. Jadi tidak boleh memandang enteng dengan kemampuan dan usaha mereka. Kita perlu sentiasa bersiap sedia.

 

Permulaan yang bagus

NAMANYA tidak asing dalam dunia badminton tanah air. Bagi bekas pemain beregu, DATUK CHEAH SOON KIT, perasaan gembira diluahkan sebaik Malaysia berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo Jepun baru-baru ini.
Bagaimanapun, kejayaan tersebut bukanlah masa untuk pemain badminton masa untuk terus dibuai mimpi dan lena dengan rekod yang dicipta. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, beliau memberikan pandangan dan harapan untuk terus kekalkan prestasi masa hadapan.

Bagaimana Datuk melihat pencapaian sukan badminton dengan kemenangan dalam kejohanan dunia baru -baru ini?
Ia satu permulaan yang bagus dan berjaya mencipta sejarah. Namun ia tidak boleh terhenti di situ saja dan perlu dijadikan motivasi kepada semua pemain muda untuk terus berjaya. Paling penting jangan terlampau cepat berpuas hati.

Adakah perlu pemain-pemain badminton fokuskan kepada kejohanan penting seperti Sukan Olimpik sahaja selepas ini?
Semua kejohanan perlu diberi fokus tidak kira sama ada Sukan Olimpik, Piala Thomas atau kejohanan lain. Jangan fokus pada satu-satu kejohanan jika mahu berjaya.

Pembangunan sukan badminton setakat ini. Datuk berpuas hati?
Paling penting beri mereka pemahaman mengapa minat dan main badminton. Seterusnya apabila mewakili Malaysia, pemain perlu faham pula mengapa mereka ada di satu-satu kejohanan. Selain itu, pemain perlu diberi galakan dan bangunkan semangat selain kekuatan mental serta fizikal bagi menghadapi kejohanan.

Adakah mencabar untuk melahirkan pemain berbakat pada zaman sekarang?
Saya rasa tiada masalah. Kalau pemain itu minat, dia mesti tahu apa yang dia mahu. Di samping itu, jurulatih perlu tanamkan semangat dan sedarkan mengapa mereka main untuk negara. Pemain perlu percaya dengan kemampuan sendiri apabila dipilih untuk masuk dalam pertandingan.

Adakah bakat atau latihan yang paling penting untuk lahirkan pemain kelas dunia?
Semua kena seimbang dan sebarang usaha perlu dibuat secara berperingkat-peringkat. Selain itu jangan cepat berputus asa.

Harapan pada sukan badminton pada masa akan datang?
Saya sangat berharap kejayaan ini beri semangat untuk pemain muda dan capai segala keputusan yang bagus dalam setiap kejohanan.  – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya