Dunia perlu kuasa besar baharu untuk aman

Dunia perlu kuasa besar baharu untuk aman

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga kini masih gagal mencari jalan penyelesaian berhubung konflik Russia-Ukraine yang tercetus sejak Februari lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Keselamatan (SC) adalah badan khas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dibentuk untuk bertindak segera bagi menjamin keselamatan dan kestabilan antarabangsa. Tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh SC adalah selaras dengan matlamat asas penubuhan PBB yang termaktub dalam Artikel 1 dan Artikel 2 Piagam PBB. Realiti sebenar yang berlaku adalah tidak sebagaimana dinyatakan dalam Piagam PBB.

Bagi memahami apa yang dilakukan oleh SC dalam menangani konflik serta ketidakstabilan dalam dunia realiti, kita tidak hanya semata-mata bergantung pada undang-undang antarabangsa sebagaimana dinyatakan dalam Piagam PBB. Apa yang telah, sedang dan akan berlaku memerlukan pengetahuan tentang ilmu dan teori politik antarabangsa. Peguam yang mengkhususkan dalam bidang undang-undang antarabangsa tidak akan dapat menjelaskan serta memahami apa yang berlaku tanpa mempunyai pengetahuan dalam bidang dan teori politik antarabangsa. Gabungan ilmu undang-undang antarabangsa dan teori politik antarabangsa adalah sangat perlu.

Kita tertanya-tanya, kenapa anggota tetap SC iaitu Amerika Syarikat (AS), Russia, Great Britain (GB), Perancis dan China mempunyai kedudukan sangat istimewa dalam membuat keputusan (iaitu mempunyai kuasa veto dan antara anggota yang perlu dalam jumlah sembilan anggota SC)? Kedudukan 10 anggota tidak tetap seolah-olah tidak mempunyai kuasa yang penting. Keputusan utama sembilan anggota itu mesti terdiri daripada lima anggota tetap. Sudah pasti ini tidak bersifat demokratik serta menyukarkan membuat keputusan sebenar yang membolehkan keamanan dunia tercapai.

Bagi memahami persoalan ini, sejarah asas penubuhan PBB dan SC mesti difahami. Persoalan yang timbul dalam Persidangan Yalta dan Persidangan San Francisco sebelum berakhirnya Perang Dunia Kedua perlu difahami. Persoalan dan kepentingan lima kuasa utama dunia menjadi asas dalam sebarang keputusan. Cadangan tentang kedudukan kuasa veto ditolak oleh lima kuasa besar itu.

Keadaan menjadi lebih rumit bagi melaksanakan prinsip keselamatan bersama apabila berlaku perkembangan baharu politik dunia mulai akhir 1940-an bilamana berlaku Perang Dingin.

Lima kuasa besar itu berpecah kepada dua blok berbeza iaitu AS, GB dan Perancis di satu pihak manakala Russia dan China di pihak lain. Resolusi yang dicadangkan oleh satu pihak akan diveto oleh satu pihak lagi. Percanggahan dan penggunaan kuasa veto itu bukan berasaskan kepada kepentingan keamanan dan kestabilan politik tetapi lebih kepada kepentingan politik kuasa besar.

Struktur SC sukar untuk diubah khususnya tentang kedudukan kuasa veto. Telah banyak kali negara-negara kecil mengutarakan pandangan bahawa kedudukan lima kuasa besar utama adalah tidak demokratik serta tidak boleh menjamin keselamatan dunia. Negara-negara kecil yang mengutarakan pandangan itu diancam oleh kuasa besar utama. Mengikut prosedur undang-undang antarabangsa, artikel yang terkandung dalam Piagam PBB boleh dipinda seperti termaktub dalam Perkara 108. Sesuatu pindaan artikel PBB memerlukan sokongan dua pertiga anggota dalam Perhimpunan Agung. Pindaan ini amat sukar untuk berlaku walaupun mendapat sokongan dua pertiga kerana lima anggota tetap sukar untuk memberikan sokongan demi menjaga kepentingan politik mereka.

Persoalan perlu difahami adalah perubahan struktur politik dunia dan kepentingan kuasa besar utama. Banyak tindakan yang berlaku adalah berasaskan kepentingan kuasa besar utama dan bukan bagi mencapai keamanan dunia dan negara anggota. Apa yang berlaku seperti konflik Palestin-Israel jelas bercanggah dengan prinsip keamanan PBB tetapi tidak ada tindakan tegas dilakukan. SC tidak mampu melakukan sesuatu dan jika dibentuk resolusi pun ia akan diveto oleh kuasa yang mempunyai kepentingan ke atas Israel.

Begitu juga konflik Semenanjung Korea (1950), Bosnia-Herzegovina (1992-1995, Kuwait-Iraq (1991), serangan ke atas Iraq (2003) dan konflik Russia-Ukraine sekarang. Undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB tidak mampu menjelaskan segala apa yang berlaku.

Kenapa konflik Russia-Ukraine mulai Februari lalu berterusan sehingga kini dan tidak dapat dicari jalan penyelesaian? Adakah ini tidak bercanggah dengan prinsip PBB? Apa yang telah dilakukan oleh SC bagi menyelesaikan konflik ini? Persoalan lebih besar, kenapa Russia bertindak begitu ke atas Ukraine? Siapa yang menyokong kuat kemasukan Ukraine sebagai anggota Pertubuhan Atlantik Utara (NATO)? Apa implikasi kepada Russia jika Ukraine menjadi anggota NATO? Soalan lebih langsung, kenapa NATO yang diketuai AS mahu memperluaskan lingkungan pengaruh politik dan strateginya ke kawasan lingkungan pengaruh Russia?

Persoalan-persoalan ini akan terjawab dengan memahami teori dan politik antarabangsa. Undang-undang antarabangsa semata-mata adalah sukar. Rumusan kesalahan hanya kepada Russia sebagai negara yang menceroboh Ukraine adalah tidak tepat dari sudut analisis politik antarabangsa. Cadangan John Mearshiemer supaya ‘liberalkan’ Ukraine daripada sebarang pengaruh kuasa besar perlu difikirkan dengan mendalam.

SC tidak mampu membentuk keamanan dan kestabilan dunia. PBB dan SC sudah berbeza ketika ia mula dibentuk menjelang berakhirnya Perang Dunia Kedua. Kuasa veto yang diberikan kepada lima kuasa besar utama (yang ketika itu menentang kuasa Jerman, Jepun dan Itali) yang sifatnya ‘bersahabat’ telah berubah menjadi dua blok yang jelas bermusuh.

Ketidaksepakatan kuasa-kuasa besar utama itu menggugat kestabilan dan keamanan dunia. Struktur SC yang ada sukar untuk diubah. Yang mampu mengubahnya adalah andainya berlaku percaturan semula kuasa besar dunia atau keruntuhan dan kelemahan mutlak lima kuasa besar itu serta bangkitnya beberapa kuasa besar baharu yang mampu mencabar lima kuasa veto sedia ada. Tanpa bangkitnya kuasa-kuasa besar baharu yang benar-benar mampu mencabar kuasa veto sedia ada, maka perubahan SC sukar serta mustahil untuk berlaku. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah bekas Profesor Madya di Program Pengajian Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah. Kini mengikuti pengajian sarjana undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya