Dahulu kritik PH, kini puji pula

Dahulu kritik PH, kini puji pula

TIDAK sepatutnya Tommy Thomas membuat dakwaan semberono terhadap perjalanan kerajaan tanpa memberikan pembuktian dan perincian dalam forum Dark Forces Towards GE15 di Kuala Lumpur pada 17 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, 18 September, tular dalam media sosial laporan portal berita mengenai kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bahawa ‘kerajaan Melayu’ sudah gagal.

Turut dinyatakan mengenai bekas Peguam Negara itu menasihati Pakatan Harapan (PH) tentang apa yang perlu dilakukan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kenyataan ini dibuat dalam forum Dark Forces Towards GE15 anjuran Gerakbudaya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 17 September lalu.

Inti pati ucapan Tommy dalam forum itu bahawa parti-parti pembangkang hari ini mampu membawa angin perubahan dan mengulangi kemenangan dalam PRU15.

Perkara pertama dinasihati beliau ialah supaya pembangkang menjadikan ‘kegagalan kerajaan Melayu’ yang menggantikan PH sejak dua setengah tahun lalu sebagai isu.

Kata beliau, walaupun Kabinet sekarang didominasi sepenuhnya oleh orang Melayu tetapi mereka memerintah dengan teruk, tidak secekap dan sebagus kerajaan PH.

Perkara kedua dinasihati beliau supaya pembangkang menjadikan rasuah sebagai isu kerana dikatakan lebih teruk berbanding zaman sebelum ini.

Dakwa beliau, kedua-dua kerajaan selepas PH terlibat sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti rasuah, transaksinya terlalu banyak manakala agensi-agensi berkaitan tidak melakukan apa-apa.

Seterusnya, kedua-dua kerajaan selepas PH didakwa paling teruk menguruskan ekonomi. Sekarang ekonomi paling lemah, hutang paling tinggi dan nilai mata wang paling rendah.

Sebenarnya tiada yang pelik bila Tommy melabelkan kerajaan menggantikan PH sebagai ‘kerajaan Melayu’ serta mengkritiknya sebagai gagal.

Dalam bukunya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang dipasarkan pada Januari 2021, perkara ini dinyatakan oleh beliau walau tanpa disediakan justifikasi.

Disebut di muka surat 510 mengenai pakatan parti-parti Malay-centric selepas kerajaan PH yang didakwa telah membawa bencana (disastrous consequences) kepada negara.

Peliknya, seperti beberapa kenyataan beliau yang lain, malah dalam ucapan mutakhirnya juga, tidak disebut atau disenaraikan pula apakah yang dikatakan sebagai bencana itu?

Cuma di muka surat 507 ada dinyatakan mengenai Bajet 2021 yang dibentangkan oleh Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 6 November 2020.

Disebutkan oleh beliau bahawa Bajet 2021 mengkesampingkan kaum-kaum Cina dan India yang hanya diberikan peruntukan RM170 juta dan RM100 juta berbanding kaum Melayu.

LUCU

Ini dakwa beliau adalah bukti menunjukkan kerajaan ini hanya berminat dengan tapaknya: tanah hati Melayu (was solely concerned with its base: the Malay heartland).

Melucukan sekali kerana kerajaan PH melalui Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng pada 11 Oktober 2019 juga sebenarnya memberikan peruntukan hampir sama.

Peruntukan bantuan khusus kepada kaum-kaum Cina dan India terkandung dalam Bajet 2020 pun hanyalah RM185 juta dan RM120 juta.

Selaku seorang bekas Peguam Negara, tidak sepatutnya Tommy membuat dakwaan semberono terhadap perjalanan kerajaan tanpa memberikan pembuktian dan perincian.

Paling melucukan ialah bila Tommy sekarang ini mahu menaikkan semula PH menjadi sebuah kerajaan sedangkan di dalam buku beliau, pakatan itulah yang teruk dikritiknya.

Perlu dilihat balik, siapakah sebelum ini menyelar keras PH sebagai sebuah kerajaan yang lemah, gagal dan tidak mempunyai kemahuan politik untuk membuat reformasi?

Berikut adalah petikan-petikan daripada buku Tommy sendiri:

1. “PH certainly was not keen on pushing legislative reform.”

2. “These laws were not repealed simply because there was insufficient political will on the part of the PH Cabinet.”

3. “Those advocating repeal were not clear in their minds as to what they wished to achieve, and how.”

4. “There was a complete absence of engagement with civil society.”

5. “U-turns by the PH Cabinet on major executive decisions exhibited weakness.”

Bandingkanlah pula dengan ‘kerajaan Melayu’ yang dikatakan sudah gagal ini, sudah berapa banyak reformasi dan engagement yang ia laksanakan walaupun tidak dijanjikan?

Perkara lebih penting ditanyakan, apakah PH yang kini dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mendengar nasihat Tommy ini?

Perlu diingat, pada 12 Jun lalu, Anwar dilaporkan berkata: “Tommy juga harus melihat cermin kerana ketika menjadi Peguam Negara dan dalam bukunya, unsur perkauman tebal serta menghina keupayaan penjawat awam termasuk Jabatan Peguam Negara dengan melabel keseluruhannya secara melampau.”

Lebih jauh lagi, Anwar dilaporkan menempelak Tommy yang didakwa membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein apabila mendakwa Perdana Menteri kedua itu sebagai punca rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dengan menyebut: “Sebagai mantan Peguam Negara, tak tahu peranan dia, tanpa bukti menyerang Tun Razak.”

Sementelahan pula, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pada 5 Februari 2021 turut menyatakan penyesalan beliau kerana melantik Tommy.

Dalam konteks inilah maka ramai sekali yang sedang tertunggu-tunggu laporan pasukan petugas khas siasatan atas dakwaan dalam buku Tommy dibentangkan di Kabinet nanti. – UTUSAN

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pegawai Khas Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya