KHAMIS lalu ketika memperlahan kenderaan di depan sebuah sekolah di Shah Alam, mata saya tertumpu kepada seorang budak lelaki berpakaian sukan berwarna biru. Di leher budak itu tergantung dua medal yang mungkin dimenanginya di sekolah itu tadi.
Dalam hati saya, hari sukan sekolah ke hari ini? Patut jalan depan ini sesak. Budak ini tentu bangga. Iyalah, masa berjalan pulang pun, medal itu masih lagi di lehernya. Tidak ditanggalkan.
Namun, mukanya suram. Mungkin penat. Apabila kereta saya lalu di tepinya, saya menurunkan tingkap kenderaan dan melaungkan kepadanya. “Tahniah dik. Rumah biru power!”
Dia terpinga-pinga tetapi dengan cepat tersenyum lebar. Hilang mendung di wajahnya. Dan murid-murid sekolah yang berada berdekatan dengannya yang pada mulanya tidak menghiraukan budak itu, turut memandangnya. Ada yang menunjukkan isyarat bagus kepadanya. Tengok, budak itu sudah mendapat tumpuan!
“Esok cuti ye dik?” Tanya saya. Dia melaung – “Esok sekolah lagilah mak cik. Sabtu cuti.” Saya sebenarnya tidak kisah pun orang hendak panggil saya mak cik. Tapi jangan pada sesetengah orang perempuan lain. Itu sensitif.
Minggu ini bermula cuti persekolahan selama seminggu. Ramai ibu bapa yang mengambil cuti untuk membawa anak-anak berjalan.
Yang tak ada anak sekolah pun, ada juga berebut-rebut mahu ambil cuti dengan rakan sepejabat yang ada anak sekolah ketika ini. Masa cuti sekolah itu jugalah dia sama-sama hantar borang cuti. Mahu memeriahkan suasanalah kononnya.
Diharapkan yang bekerja di kaunter-kaunter membabitkan perkhidmatan orang ramai seperti di jabatan kerajaan dan bank, janganlah banyak yang tutup kaunter sebab ramai staff bercuti kerana cuti sekolah.
Iyalah, cuti sekolah pun orang ramai mahu buat macam-macam urusan juga. Cakap pasal perkhidmatan di kaunter ini, memang ramai yang dah naik menyampah. Terpaksa menunggu lama sebab kaunter tak buka semua. Bila tiba giliran, urusan tak sampai lima minit pun. Hendak telefon bertanya hal yang mudah pun, telefon tidak berjawab atau disambung ke tempat lain kemudian putus. Sampai bila mahu mewarisi mutu perkhidmatan sebegini?
Dan bagi saya juga, kepada yang tidak ada anak bersekolah lebih baik jangan bercuti makan angin ketika ini. Mana-mana tempat peranginan dan hotel pasti penuh dan harga pun berlipat kali ganda ketika ini. Jalan raya pula pasti sesak luar biasa.
Mungkin ada juga yang berpandangan, cuti sekolah seminggu saja. Tunggulah cuti sekolah hujung tahun, boleh berjalan lama sikit? Sekarang ini kalau kita perhatikan setiap hujung minggu pun memang kebanyakan tempat makan, kawasan peranginan seperti Cameron Highlands dan Genting Highland penuh. Tak tunggu cuti sekolah.
Dan ada pula ibu bapa, sanggup memontengkan sekolah anak, dua atau tiga hari sebelum cuti bermula untuk membawa anak makan angin. Sebabnya, tidak mahu bersesak-sedak dengan orang lain. Tapi rupanya, bukan dia saja bertindak begitu. Bila sampai di tempat dituju, punyalah ramai budak tak sekolah!
Kata seorang kawan yang bekerja di sebuah hotel di Melaka, cuti sekolah bermula semalam tetapi pada hari Khamis lalu hotel tersebut sudah penuh dengan budak-budak!
Dia memberitahu, kolam renang penuh, waktu makan buffet cukup meriah, dia yang bujang tertanya-tanya sekolah sudah bercutikah?
Saya pun pernah melalui pengalaman bercuti selepas PKP. ‘Insaf’ terus saya apabila hendak naik dan turun dari bilik hotel pun mengambil masa lebih setengah jam sebab orang terlalu ramai di hotel itu. Tempat makan pula semua penuh dan beratur panjang. Mood cuti yang sepatutnya untuk bersantai dan berehat, terganggu. Terasa amat letih pula.
Saya terbaca satu status dalam media sosial. Tak payahlah menjadikan makan angin ini satu trend setiap kali cuti sekolah. Bagi yang berkemampuan tidak mengapa. Tetapi yang tidak mampu tetap mahu juga berjalan. Ini kerana menganggapnya satu ‘acara wajib’ setiap kali namanya cuti sekolah. Selepas itu bising-bising di media sosial kos sara hidup tinggi dan barang mahal.
Bukannya apa, ada ibu bapa sanggup berhabis dan ada yang menggunakan duit pinjaman bank semata-mata untuk bercuti. Selepas balik bercuti, satu keluarga terpaksa pula ‘ikat perut’, hendak tunggu gaji lama lagi.
Namun, ada pula ibu bapa yang bijak, beberapa bulan sebelum cuti sekolah, mereka akan mengetepikan duit untuk bercuti. Tidak perlu kacau perbelanjaan lain.
Tetapi itulah, kadang-kadang anak-anak tak kisah sangat pun pasal duduk hotel, tengok laut atau mandi di kolam renang. Yang teruja lebih ibu bapa, tetapi dikatanya anak-anak yang desak-desak ajak berjalan. Walhal anak rasa penat, kalau boleh mahu duduk atau tidur di rumah saja.
Saya juga terbaca di media sosial, seorang bapa memberitahu, dia tidak membawa anak-anak ke pusat peranginan atau pelancongan kerana tak cukup bajet, tetapi tetap akan membawa anak-anaknya berkelah di tasik berhampiran rumahnya selain acara jogging berkeluarga pada waktu petang.
Katanya, asal dapat berkumpul dan membuat aktiviti bersama. Daripada duduk hotel tetapi anak-anak dan ibu bapa tetap asyik membelek telefon pintar atau buka komputer riba dan begitu juga di meja makan. Tak banyak berbual pun.
Pada saya, cuti singkat sebegini pun boleh diajar anak-anak membantu membuat kerja-kerja di rumah. Kemas bilik masing-masing atau yang perempuan diajar memasak. Tak akan nak menghadap telefon pintar atau televisyen 24 jam.
Pada yang hari-hari menghantar anak ke sekolah, pagi dan petang, tentu cuti seminggu ini amat melegakan. Bolehlah berehat seketika. Tidaklah terkejar-kejar dengan menghantar anak ke sekolah kemudian pergi kerja atau menyambung kerja rumah.
Apa pun, walau cuti sekolah ini pendek, ia sepatutnya diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan pada masa sama tidak akan membebankan seisi keluarga selepas itu dengan isu kewangan. Biasalah, ramai yang pilih bersuka-suka dulu, berduka-duka kemudian.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia