Lebih kurang pukul 11 malam saya bersama anak lelaki tiba di pekarangan bilik mayat di sebuah hospital utara tanah air. Saya ditugaskan untuk membawa pulang jenazah seorang lelaki warga emas yang berusia lingkungan 70-an. Menurut cerita yang saya dengar arwah meninggal dunia kerana sakit tua setelah hampir dua minggu terlantar di hospital.
Setelah selesai semua urusan kami pun bertolak ke rumah arwah yang terletak di Alor Setar. Perjalanan ke sana juga tidaklah begitu jauh.
Disebabkan jalan raya lenggang dan cuaca agak baik, saya akhirnya sampai awal di rumah arwah. Sebaik kenderaan yang saya pandu masuk ke pekarangan rumah, saya lihat sudah ramai ahli keluarganya menunggu. Segera kami bawa jenazah naik dan letakkan di ruang tamu kerana menurut mereka jenazah akan dikebumikan keesokkan paginya.
Setelah semuanya selesai saya minta diri beredar. Namun sebelum bertolak pulang kami berhenti sebentar di sebuah restoran untuk membasahkan tekak. Ketika itulah saya perasan banyak mata memandang, maklumlah pasti mereka tertanya-tanya jenazah siapa yang kami hantar di waktu lewat malam begitu.
Selesai membayar harga minuman, saya menghidupkan enjin kenderaan untuk bertolak pulang. Namun tidak sampai 10 minit perjalanan, tiba-tiba kami terdengar dentuman kuat dari arah belakang kenderaan.
GEDEGANGGGGGG!!!
“Bunyi apa itu?” tanya anak lelaki saya, Hazman.
Saya gelengkan kepala sambil menekan brek. Segera saya berhentikan kenderaan di tepi jalan untuk melihat apa berlaku di belakang.
Saya fikir mungkin pengusung keranda terbalik, tetapi bila saya periksa semuanya elok seperti sediakala.
Setelah berpuas hati tiada apa berlaku saya sambung perjalanan. Namun tidak sampai beberapa minit kemudian, bunyi dentuman muncul sekali lagi. Kali ini bunyinya lagi kuat. Kali ini saya minta anak lelaki turun untuk periksa, namun jawapannya tetap sama, tiada apa-apa yang berlaku.
Jujurnya saya agak pelik, bayangkan sudah dua kali bunyi kuat itu kedengaran, namun bila diperiksa tidak tahu dari mana puncanya. Mahu juga saya bertanya lanjut, tetapi takut pula kalau anak saya berfikir yang bukan-bukan nanti.
GEDEGANG!!! GEDEGANG!!!
Van yang saya pandu bergoyang ke kiri dan kanan.
Sekali lagi saya berhentikan kenderaan. Kali ini saya nak periksa betul-betul. Lantas saya buka pintu belakang dan periksa sekeliling.
Dan sebaik sahaja saya buka penutup keranda, tiba- tiba darah saya tersirap. Saya ternampak sehelai kain putih yang terlipat kemas di dalamnya. terus saya capai dan amati.
Saya syak itu adalah kain putih yang saya gunakan untuk menutup tubuh jenazah tadi. Saya termenung. Seingat saya rasanya kain itu sudah saya lipat dan letakkan di sisi jenazah tadi, tetapi kenapa ada di sini pula?
Saya cuba berfikir positif. Mungkin agaknya saya terlupa dan tertinggal ketika mengusung jenazah. Lalu saya beritahu dengan anak supaya kami berpatah balik ke rumah arwah untuk menghantar kain itu.
Rasa macam tidak selesa pula jika saya membawanya pulang lagipun rumah arwah bukannya jauh sangat, tidak sampai 15 minit perjalanan.
Sebaik saya memberhentikan kenderaan di halaman. Saya terus beri salam. Beberapa ahli keluarga dan saudara mara arwah turun ke bawah menuju ke arah saya.
“Walaikumsalam, ada apa bang?” tanya salah seorang ahli keluarga arwah kepada saya.
Lantas saya memaklumkan kepadanya tujuan kedatangan saya adalah untuk menyerahkan kain yang tertinggal.
“Ohh, kain ini abang buang pun tak apa. Buat susah-susah abang saja nak patah balik ke sini untuk hantar,” kata pemuda tersebut yang memperkenalkan diri sebagai adik arwah.
Saya hanya tersenyum. Kata saya ini adalah hak si mati. Tak baik rasanya kalau saya bawa pulang lagipun apa pula saya nak buat dengan kain putih tersebut.
Ketika ingin meminta diri untuk beredar, tiba-tiba saya terdengar bunyi jeritan kanak-kanak dari atas rumah. Bergegas saya dan adik arwah naik untuk melihat apa yang terjadi.
“Atuk bangun… Atuk bangun…,” kata seorang budak lelaki yang pada anggaran saya baru berusia mencecah awal belasan tahun.
Semua yang berada di situ tergamam. Malah ada beberapa ahli keluarga arwah yang sedang bersandar tidur di ruang tamu bingkas bangun sambil menggosok mata.
“Kamu ini biar betul, bila pula atuk bangkit? Cuba tengok jenazah atuk tu… elok je baring,” kata salah seorang wanita separuh umur yang berada di situ.
Saya lihat wajah kanak-kanak tersebut dengan jelas. Dari anak matanya saya dapat rasakan ada ketakutan ketika itu. Mustahil budak sekecil itu berbohong atau mengada-adakan cerita.
“Atuk sudah meninggal dunia. Orang meninggal dunia mana boleh bangun, lagipun doktor sudah sahkan atuk meninggal dunia. Kamu mengigau agaknya ini,” kata seorang lelaki yang ada berdekatan.
Saya cuba meredakan keadaan sambil mengusap kepala budak itu.
“Atuk memang sudah meninggal dunia. Tadi pak cik bawa dia dari jauh. Elok saja atuk dalam keranda itu. Tak ada apa-apa berlaku pun,” kata saya lagi cuba membuang rasa takutnya.
Saya lihat jenazah. Terdetik juga di hati saya adakah apa yang dilihat oleh budak tersebut benar atau sekadar imaginasinya.
Saya lihat kain menutupi jenazah sedikit kusut lantas saya terus betulkan kain dengan kemas.
Sempat juga saya pegang tubuh arwah. Sejukmdan kaku.
“Sudah pergi tidur… jangan kamu merepek yang bukan-bukan pula. Esok hendak bangun pagi kena uruskan pengebumian atuk,” sambung pemuda itu lagi.
“Betul Pak Long. Tadi saya nampak atuk bangun, lepas tu tak lama kemudian atuk baring balik,” kata budak tersebut sambil memeluk erat lelaki yang dipanggil Pak Long itu.
Kami yang berada di situ berpandangan. Masing-masing diam tanpa sepatah kata. Saya lantas meminta mereka yang berada di situ bertenang dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Saya perhati ke arah ahli keluarga arwah yang berada di situ. Nampak raut wajah mereka yang sedikit cemas
Sebelum meninggalkan rumah arwah sempat juga saya berpesan kepada seluruh ahli keluarga arwah agar jangan biarkan jenazah terbiar tanpa berteman. Yang penting sedekahkan ayat-ayat suci al-Quran buat arwah.
“Maklumlah syaitan ni ada di mana-mana. Mungkin ini caranya untuk dia mengganggu dan menakut-nakutkan kita. Insya-Allah semoga urusan pengebumian arwah akan berjalan lancar esok. Saya minta diri dulu,” kata saya.
Ketika ingin menghidupkan enjin kenderaan saya lihat anak yang sudah lelap di kerusi sebelah. Saya urut nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak tahu apa yang berlaku tadi. Jika tidak pening juga untuk saya terangkan kepadanya.
Risau juga saya kalau-kalau dia takut dan tidak mahu menemankan saya pada waktu akan datang. – MINGGUAN MALAYSIA
‘Betul, saya lihat atuk bangun’
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 4 September 2022, 3:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm