Apa ada pada Kati? - Utusan Malaysia

Apa ada pada Kati?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU sebut nama Kati, semua fikir pasal sukatan timbangan berat.Tapi mungkin ramai sudah lupa nama Kati pernah popular di seluruh dunia satu ketika dahulu iaitu pada tahun 2000.
Pekan kecil yang boleh dikatakan amat dikenali dalam kalangan anak Perak berubah seperti dilanda perang ekoran peristiwa rampasan senjata kumpulan Al-Maunah pada masa itu.
Kati menumpang nama ekoran peristiwa terbabit tanpa ada sebarang sisipan cerita lain yang boleh ditonjolkan untuk peningkatan atau pembangunan penduduk setempat.
Pekan ini sebenarnya ada sisi lain yang boleh diteroka walaupun tidaklah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagaimana bandar diraja Kuala Kangsar.
Untuk ruangan Redah kali ini, saya mahu bercerita serba sedikit pekan yang mempunyai tarikan tersendiri dan nilai sentimental pada saya.
Lagipun, saya kira apa salahnya kalau Kati ditonjolkan kali ini. Setidak-tidaknya ada yang boleh singgah sebentar di pekan kecil ini bagi mereka yang mahu bercuti di Kuala Kangsar atau menuju ke Kelantan melalui Lebuhraya Timur Barat.
Sehari sudah cukup sebenarnya untuk meneroka pekan yang saya difahamkan pernah menjadi tempat penjualan bijih timah satu ketika dahulu.
Tapi itu kisah lama. Kati kini sudah ada pelbagai kemudahan rumah inap dan resort dengan kadar berpatutan jika dibandingkan ketika zaman kecil saya.
Nama-nama seperti Syamille Agro Farm & Resort, Kabin Du’ Kati dan SRZ Agro Resort antara tempat pilihan untuk menginap di sini.
Dengan mengambil masa kira-kira tiga jam setengah dari ibu negara dan 30 minit dari Kuala Kangsar, saya tahu kewujudan banyak kemudahan penginapan di Kati.
Perubahan landskap ini disebabkan potensi pembangunan untuk pelancongan agro di Kati.
Aktiviti seperti fotografi, perkelahan di Lata Perahu atau Lata ‘Peghor’, team building dan aktiviti penternakan kelulut antara yang boleh dilihat di sini.
Bagi mereka yang mahu ke Lata Perahu dan menikmati keindahan air terjun setinggi 10 meter, ada caranya.
Kawasan air terjun yang terletak di Kampung Chuar Hulu ini mudah dicari dan ada papan tanda diletakkan di bahu jalan.
Cuma anda perlu meletakkan kereta di kawasan tertentu dan perlu bersedia untuk berjalan kaki

kerana laluan ke kawasan air terjun agak sempit.
Bagaimanapun, aktiviti di Kati tidak terhad di situ sahaja dan bukan semata-mata untuk percutian keluarga semata-mata.
Untuk geng yang sukakan aktiviti berbasikal, ada baiknya kalau menginap di Kati dan mulakan mengayuh di pagi hari.
Terpulang kepada hala tuju sama ada mahu menerokai pekan Kuala Kangsar atau pergi ke pekan Karai terlebih dahulu menikmati kuih Kundas atau bergambar di Victoria Bridge.
Itu belum lagi Istana Kenangan, di Bukit Chandan dan tarikan makanan seperti lemang tepung, laksa kuala, cendol atau ikan bakar.
Malah, terdapat kafe berkonsep tradisional, ‘Teratak Robeah’ bersebelahan Istana Kenangan ini yang menghidangkan makanan tempatan dan juga ala Barat.
Sebenarnya banyak lagi yang boleh dijual sebagai produk pelancongan di Kati kerana lokasi berhampiran bandar diraja dan mempunyai kelebihan tersendiri.
Cuma, terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab dan terlibat mentadbir bagi menentukan hala tuju dan kepentingan penduduk setempat. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya