Negara ini sekali lagi menjadi popular dari sisi pandang negatif apabila timbulnya isu kegagalan perolehan enam kapal tempur pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Ini tentunya mengecewakan hinggakan ia dijadikan bahan satira akan bagaimana hebatnya kita membina kapal tempur tanpa boleh dikesan kewujudannya dengan sifat kapal tempur yang sempurna oleh mana-mana radar walau pun tempoh penyerahan sepatutnya telah pun matang.
Berikutan itu, para pemimpin pula saling tuding menuding kepada pihak yang lain dan akhirnya semuanya membersihkan diri mereka dari tanggungjawab ini.
Dalam kes-kes lain, terdapat keterangan yang dibuat di dalam mahkamah bahawa dana-dana daripada urus niaga formal kerajaan diserahkan kepada dana parti-parti politik khususnya apabila menjelang pilihan raya.
Ironinya, sejak 2015, kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik bagi menggarispandukan kaedah bagaimana sesuatu parti politik dapat menerima apa-apa sumbangan dana dari sumber yang tidak menyalahi perundangan negara.
Sebanyak 32 cadangan dimajukan kepada kerajaan bagi menyelesaikan isu melibatkan pembiayaan dana politik. Berdasarkan pemerhatian, antara yang penting dalam 32 dapatan itu adalah cadangan bagi mewujudkan entiti yang mengawal selia sumbangan dan perbelanjaan parti politik dan cadangan bahawa apa-apa sumbangan dari mana-mana pihak yang melebihi RM3,000 kepada parti politik dilaporkan kepada entiti yang diberi kuasa untuk mengawal selia dan menyiasat sumber-sumber dana politik tersebut.
Salah satu usaha untuk memperkukuhkan ketelusan dalam mengawal pemberian dana kepada parti politik adalah memberikan fokus mengawal selia dan menyerlahkan keterbukaan tanpa selindung kepada party penumbra iaitu penyumbang yang mungkin syarikat atau individu yang berada di sekeliling parti politik yang memberikan sumbangan kepada parti itu di mana perbuatan penyumbang memberi dana sebelum ini tidak tertakluk dalam mana-mana kawalan perundangan.
Menarik untuk kita teliti bahawa oleh kerana Rang Undang-Undang Akta Pembiayaan Dana Politik ini memang secara terus mengawal selia perihal perlakuan ahli politik dan parti yang mereka menjadi ahlinya, maka ramai ahli politik yang juga mengisi kedudukan ahli parlimen masih mengambil sikap tunggu dan lihat tentang kaedah pelaksanaannya.
Tidak sukar untuk menjangkakan kelewatan penerimaan ahli-ahli politik terhadap penggubalan akta ini kerana tentunya ada dalam kalangan mereka yang melihat akta ini jika diwujudkan akan menyekat sumber kewangan bagi aktiviti politik di mana ia selama ini adalah suatu rahsia yang tersimpul erat dipegang oleh penjawat utama dalam setiap organisasi parti politik.
Ada juga yang keberatan kerana melihat akta ini apabila dikuatkuasakan akan mendedahkan nama penyumbang dana yang mana penyumbang ini tidak mahu diketahui secara terbuka. Namun dari sisi lain, ada ahli politik yang telah didakwa atas kesalahan menerima wang atau rasuah mahu akta ini segera dibentangkan kerana bagi mereka akta ini boleh menghalalkan aktiviti pendanaan kewangan tanpa perlu lagi berselindung di sebalik apa jua nama lain.
Kemungkinan kurangnya kehendak politik untuk mewujudkan akta pembiayaan dana politik ini boleh dilihat apabila ramai ahli parlimen lebih teruja meluluskan akta berkaitan umur kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan seterusnya meluluskan Rang Undang-undang Antilompat Parti tempoh hari sebagai mana dimanifestasikan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 tetapi tidak ramai pula bercakap berkaitan Akta Pembiayaan Dana Politik ini dan ia tidak langsung disentuh dalam MoU tersebut.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 29 Julai lalu dalam jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan Jawatankuasa Khas Kabinet telah memulakan perbincangan menggubal perundangan pembiayaan dana politik.
Akta Pembiayaan Dana Politik ini amat diperlukan bagi memastikan tingkah laku tiga golongan ini dapat dikawal selia dan dikesan iaitu parti-parti politik, calon yang mahu bertanding di dalam pilihan raya dan ketiganya penyumbang dana itu sendiri.
Ia memberikan definisi jelas perbezaan antara dana politik yang dibenarkan atau pun ia rasuah yang tidak dibenarkan. Penggubalan akta ini juga akan membantu memastikan tiada apa-apa sumbangan diterima dari dana negara luar yang boleh mendedahkan kerajaan yang akan ditubuhkan kelak kepada tekanan dan kawalan pihak negara asing. Ini adalah sebab utama Singapura melaksanakan akta yang sama pada tahun 2000.
Bagi memberi petunjuk kepada masyarakat dunia dan pelabur luar bahawa negara ini mementingkan keabsahan status sesuatu sumber kewangan maka tentunya peruntukan bagi memastikan aktiviti parti politik di negara kita dikawal atas prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti dan jauh dari sumber wang haram dapat dimasukkan di dalam akta ini.
Pengenalan Akta Pembiayaan Dana Politik boleh menutup ruang potensi wujudnya kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses pilihan raya akan terhutang budi kepada penyumbang dana lalu parti yang dipilih membentuk kerajaan itu perlu membalas budi dengan menganugerahkan projek kerajaan kepada penyumbang.
Alternatifnya sumbangan dana kepada parti politik bukanlah sebenarnya diberikan atas nama sumbangan semata-mata tetapi lebih kepada advance payment yang perlu dibayar semula oleh kerajaan yang dibentuk melalui pelbagai kuasa yang kerajaan itu kan miliki kelak. Jika ini berlaku rasuah dalam negara kita tidak mungkin boleh berakhir kerana selagi wujudnya sumbangan politik yang tidak dikawal selia maka selagi itulah ia perlu dibayar.
Mengambil sempena bulan kemerdekaan negara, ada kewajarannya jika akta ini dilaksanakan segera kerana pengenalan akta ini boleh mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa akan amalan ketelusan dan integriti apatah lagi kedudukan Malaysia telah jatuh ke tangga 62 di dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021.
PENULIS ialah Peguambela dan Peguamcara