Assalamualaikum kepada semua pembaca Mingguan Malaysia terutamanya pengikut setia ruangan Seram. Hari ini aku ingin ceritakan kisah seram yang berlaku kepada diriku ketika menetap di kampung satu ketika dahulu. Walaupun peristiwa ini sudah berlaku hampir 20 tahun lalu, namun ia masih tersimpan kemas dalam ingatanku.
Kisah ini berkenaan seorang wanita tua yang menetap di kampungku. Jarak antara rumahnya dan kediamanku tidaklah jauh, anggaran mungkin hanya 700 meter. Apa yang misterinya tentang wanita ini? Baiklah, begini ceritanya…
Nama sebenar wanita tua itu tidaklah aku tahu, tetapi penduduk kampung biasa memanggilnya dengan panggilan ‘Nek Semah’. Usianya juga sudah menjangkau 90 tahun, namun kudratnya masih kuat walaupun jalannya terketar dan sudah bongkok.
Mengikut ceritanya, Nek Semah sebelum ini pernah berkahwin beberapa kali namun tidak dikurniakan zuriat. Suami terakhirnya hilang tanpa dapat dikesan ketika ke laut. Kata orang, sampan dinaiki suaminya karam dipukul ombak, tetapi sampai hari ini mayatnya tidak dijumpai.
Hampir 30 tahun Nek Semah hidup sebatang kara. Makan minumnya diuruskan sendiri walaupun ada ketikanya jiran tetangga datang membantu. Begitulah sifat pemurah penduduk kampung yang sentiasa hidup bermasyarakat.
Tetapi ada satu sifat pelik Nek Semah yang sering menjadi bualan orang kampung. Dia tidak pernah jejakkan kaki ke surau atau masjid. Nak katakan dia uzur tidak pula kerana kalau ada kenduri kendara ada pula dia muncul, namun tiada siapa yang bertanya takut kalau dia berkecil hati pula nanti.
Satu lagi perangai peliknya adalah setiap kali menjelang Maghrib dia akan menyapu di halaman rumah sambil menguraikan rambut panjangnya yang beruban. Jika sesiapa yang tidak mengenalinya pasti akan cabut lari. Dengan fikizalnya yang begitu dan ditambah dengan rambut putihnya yang mengerbang panjang memang menyeramkan.
Namun tiada siapa dapat menghalang ajal. Nek Semah akhirnya dijemput illahi. Mayatnya ditemukan oleh Uda Parjo di kebun belakang rumahnya. Nasib baiklah Uda Parjo yang ketika itu ingin pergi memikat burung ternampak jasad arwah, kalau tidak mungkin jadi santapan binatang buas.
Cerita kematian Nek Semah yang misteri itu tidak habis di situ. Walaupun mayatnya sudah disemadikan namun muncul pula cerita lain. Kononnya ada penduduk kampung terserempak dengan kelibat arwah di sekitar rumahnya. Kata mereka lagi ada ketikanya nampak cahaya pelita minyak tanah dari rumah arwah. Seperti yang lazim berlaku ketika arwah masih hidup.
Tidak kurang juga ada yang terlihat sosok menyerupai Nek Semah sedang menyapu di halaman rumah pada lewat malam. Cerita sebegini berlegar dan menjadi buah mulut penduduk kampung sehinggakan ada yang sudah tidak berani keluar malam.
Sebagai remaja yang membesar di kampung, aku sedikit pun tidak takut dan terkesan dengan cerita sebegitu. Bagiku itu semua cerita dongeng. Boleh dikatakan setiap malam aku melepak bersama teman-teman di warung Pak Hussin hingga pagi.
Memang begitulah rutinku selepas tamat SPM. Dan sementara menunggu tawaran ke universiti, aku banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan. Maklumlah, bila dah sambung belajar nanti memang susahlah untuk berjumpa.
Malam itu aku dan rakan-rakan merancang untuk menonton gusti di warung Pak Hussin. Emak awal-awal lagi menegah dengan alasan setiap kali keluar aku pasti akan pulang lewat.
“Hang ini tak letih ke keluar setiap malam. Orang kampung semua takut nak keluar, tapi hang buat tak kisah. Nanti jumpa hantu Nek Semah barulah hang tau. Padan muka!” leter emak sebaik aku bersiap ingin keluar. Aku tersengih mendengar leteran emak. Aku tak ambil hati pun malah seringkali membalasnya dengan pelbagai jenaka lucu.
“Alah emak ini. Kalau terjumpa nanti saya ajaklah dia datang rumah. Lagipun dia kan biasa datang rumah kita ini,” jawabku tertawa. Emak dan adik-adik mencebik. Salah seorang dari adikku yang berusia 15 tahun menegurku katanya tak baik cakap begitu, kalau masin mulutku nanti bagaimana? Sudahlah ayah tiada di rumah kerana pergi ke Kuala Lumpur melawat Pak Lang ku di hospital.
“Dah, jangan hang layan sangat abang hang tu. Nanti bila dia dah jumpa betul-betul barulah dia tahu langit ni tinggi ke rendah,” sampuk emak.
Aku menyarung selipar sambil tertawa. Sebaik sahaja enjin motosikal dihidupkan aku terus memecut pergi. Sebaik sampai di warung Pak Hussin rakan-rakanku sudah sedia menunggu. Hampir pukul 12 juga kami beredar itu pun kerana Pak Hussin sudah mundar-mandir memberi isyarat untuk menutup warungnya. Aku menunggang dengan penuh berhati-hati. Maklumlah motosikal lama kepunyaan ayahku ini memang tidak boleh memecut laju. Cahaya lampunya juga sudah malap.
Sambil bersiul perlahan tiba-tiba hidungku menangkap bau cukup kuat. Bau itu menusuk hingga rongga hidungku. Serta merta bulu romaku berdiri tegak.
“Dari mana pula datangnya bau kemenyan ini?” Bisikku dalam hati. Aku mencuri pandang di persekitaran yang gelap pekat. Tiba-tiba jantungku berdegup kencang kerana sebaik sahaja motosikal melewati kawasan rumah Nek Semah aku terlihat samar cahaya pelita menerusi dinding papan rumahnya.
Dalam hati aku tertanya, siapa pula yang menginap di situ, kerana setahuku rumah tersebut sudah terbiar kosong sejak kematian arwah. Aku mula jadi tak keruan. Dan sebaik sahaja motosikalku berada betul-betul di hadapan halamannya aku tergamam. Tidak percaya dengan apa yang aku saksikan, dari cahaya suram malam aku dapat melihat jelas seorang wanita tua dengan rambut putih mengerbang sedang terbongkok-bongkok menyapu di halaman.
SREEETTTT… SREEETTT…
Jelas kedengaran bunyi penyapu lidinya mengheret sampah sarap dan daun-daun di tanah. Walaupun aku tidak dapat melihat wajahnya kerana posisinya yang membelakangiku, namun aku tahu makhluk tersebut bukanlah manusia.
Tanpa berlengah aku pecut motosikal semahunya. Waktu itu aku sudah tak hiraukan apa berlaku di sekeliling. Fikirku hanya ingin cepat sampai ke rumah. Dan sebaik sahaja sampai aku terus meluru masuk. Emak yang ketika itu leka menjahit terkejut melihat perlakuanku.
Keesokkannya aku demam kerana terkejut. Emak dan adik-adik tak henti-hentimengusikku setelah mendengar cerita sebenar. Sejak kejadian itu aku sudah tidak berani keluar hingga lewat malam, kalau ingin melepak bersama rakan-rakan pun aku akan pastikan pulang ke rumah sebelum pukul 11 malam.
Hari ini rumah Nek Semah sudah runtuh menyembah bumi. Kawasan persekitarannya juga sudah tidak berjaga lagi. Lalang dan rumput sudah tinggi menjalar memanjat bumbung.
Sehingga ke hari ini jika aku melewati halaman rumah Nek Semah aku pasti teringatkan kisah yang pernah berlaku 20 tahun lalu. –MINGGUAN MALAYSIA
Sosok misteri di halaman Nek Semah
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 21 Ogos 2022, 2:41 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm