‘Siapa yang muncul di bilik mayat itu?’ - Utusan Malaysia

‘Siapa yang muncul di bilik mayat itu?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azmi mengatur langkah menuju ke laluan bilik mayat sambil sesekali matanya mencuri pandang ke arah deretan kereta yang bersusun di kawasan parkir berhampiran. Entah kenapa malam ini dia rasa mengantuk sangat. Bila difikirkan balik rasanya siang tadi dia sudah puas tidur, tetapi bila sampai sahaja di tempat kerja terus mata berasa layu.
Dia menguap kecil sambil menggosok-gosok mata, maklumlah hari ini dia baru memulakan syif malam setelah dua minggu bertugas di waktu siang. Sedikit sebanyak kitaran waktu tidur dan berjaganya juga sudah berubah.
Sampai sahaja di kaunter dia terus membelek timbunan fail di meja hadapannya. Dia tinjau sekeliling mencari rakan setugasnya, Aiman, namun langsung tidak nampak kelibatnya. Fikirnya mungkin Aiman berada di kantin. Dia sudah faham benar dengan perangai rakannya itu. Kalau bab curi tulang memang ‘makanan’ dia.
Azmi pandang ke arah langit. Gelap pekat tanpa kelihatan sebutir bintang. Sesekali terdengar deruan angin kuat menerjah sehingga menggoncang deretan pohon-pohon hijau di sekitar. Rasanya mungkin hujan lebat sebentar lagi. Bergegas dia ke koridor dan membawa masuk beberapa kerusi roda yang berada di situ. Risau pula jika basah terkena hujan. Benar telahannya, tidak lama kemudian hujan lebat. Azmi tarik nafas lega. Nasib baiklah dia sempat kemas peralatan yang ada di luar, jika tidak haru juga dibuatnya. Dia memandang ke arah hujan lebat yang mencurah. Sesekali dia berpeluk tubuh dan menggosok lengan menahan kesejukan.
Azmi masuk ke pejabat sambil mematikan suis penghawa dingin. Terus dicapainya baju sejuk yang tersangkut di kerusi. Matanya masih liar memerhatikan sekeliling mencari kelibat rakannya, Aiman.
“Ke mana pula perginya budak ini, lama sangat curi tulangnya,” ngomelnya sendirian. Dia seluk telefon bimbit di saku lantas menghubungi Aiman. Namun panggilannya tidak dijawab.
Dalam hati dia tertanya juga ke mana perginya Aiman, kerana sebelum ini jarang sangat rakannya itu tidak menjawab panggilannya, kecuali jika ada hal tertentu.
Ingin sahaja rasanya dia pergi ke kantin untuk mencari rakannya itu, namun terfikir pula jika ada kakitangan hospital yang datang untuk mendapatkan sebarang bantuan di situ nanti. Maklumlah walaupun urusan di bilik mayat ini tidaklah sesibuk seperti di wad, namun dia kena selalu bersedia kerana dia dan Aiman sahaja yang arif tentang selok belok di situ.
Sedang Azmi enak bersandar di kerusi, tiba-tiba dia terkejut apabila terpandang kelibat Aiman yang baru keluar dari bilik mayat. Bergegas dia keluar sambil memanggil rakannya itu.
“Man… ooo Man..,” laungnya kuat.
Beberapa kali juga Azmi memanggil nama rakannya itu, namun tidak diendahkan. Mungkin panggilannya tidak didengari kerana bunyi hujan yang kuat, lantas dia bergegas menghampiri rakannya itu.
“Eh, kau di dalam bilik mayat ke? Puas aku call tadi tapi tak berangkat. Aku ingat kau kena kidnap tadi,” tanya Azmi sambil tersengih.
Namun sapaannya tidak dijawab malah dia langsung tidak menoleh ke arah Azmi. Cuma sesekali nampak dia mengangguk perlahan seolah faham dengan pertanyaan rakannya itu.
“Kau kenapa Man? Tak sihat? Aku tengok kau lain macam saja. Muka pun nampak pucat,” tanya Azmi sambil memegang bahu rakannya itu.
Rakannya itu sekadar tersenyum kelat. Memang dia nampak lain daripada kebiasaan. Selalunya Aiman memang jenis yang banyak cakap dan suka bergurau, tetapi malam ini dia tiba-tiba menjadi seorang pendiam pula.
“Kau ada masalah? Kalau ada jangan segan nak beritahu aku. Kita ni kan dah lama berkawan, masalah kau pun macam masalah aku juga,” kata Azmi panjang lebar.
Aiman tersenyum sambil memandang ke arah Azmi.
“Ishh, tak ada apalah. Aku okey saja,” jawab Aiman perlahan.
Azmi mengangguk sambil tersenyum. Lega rasa hatinya bila Aiman berkata begitu.
Namun Azmi melihat ada sesuatu yang pelik kepada rakannya itu. Ingin juga dia bertanya, tetapi takut pula kalau nanti tersalah cakap. Dia tidak mahu rakannya itu menganggap dia menyibuk. Mungkin dia ada masalah lain yang tidak ingin dikongsi bersama.
Dan sebaik sahaja dia menoleh ke arah Aiman, tiba-tiba dia tersentak. Nampak rakannya itu sedang menuruni anak tangga dengan tergesa-gesa seakan ada sesuatu yang penting perlu diuruskannya.
Beberapa kali juga dia melaung nama rakannya itu, namun suaranya tenggelam dek deruan hujan lebat di luar.
Azmi tersentak apabila melihatkan rakannya Aiman meredah hujan lebat menuju ke arah parkir berhampiran. Dalam hati dia tertanya sendiri apa yang membuatkan Aiman bersikap demikian sehingga tidak sempat membawa payung atau memakai baju hujan, kerana setahunya Aiman jarang bersikap begitu. Jika ingin ke mana-mana sekalipun pasti rakannya itu akan memberitahunya.
Hujan lebat di luar mencurah. Sesekali kelihatan pancaran kilat menerangi suasana di persekitaran. Azmi masih memandang ke arah parkir menunggu kelibat rakannya pulang.
Hampir lima minit menunggu tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara memanggil namanya.
“Oii, kau buat apa terconggok di sini. Ada mayat baru dari wad nak sampai ke?” tanya suara dari arah belakangnya. Azmi tersentak. Dilihatnya Aiman berada di belakangnya sambil tersengih kelat.
Azmi garu kepala yang tidak gatal. Dia memandang rakannya itu atas dan bawah.
“Hah, kau kenapa pula pandang aku atas bawah ini? Kau tak pernah jumpa aku ke?” tanya Aiman ketawa.
Azmi mengerutkan dahi sambil memandang ke arah parkir di hadapannya.
“Kau pergi mana tadi? Nampak bergegas macam ada hal penting? Aku panggil pun kau buat tak tahu. Mana payung kau?” tanya Azmi inginkan kepastian.
Aiman memandang rakannya dengan seribu persoalan. Dia mengerutkan dahi, tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh rakannya itu.
“Aku pergi mana pula? Aku baru saja sampai ini. Tadi lepas solat Isyak aku terus lelap di surau. Baru sekejap ini aku terbangun dan terus datang sini,” kata Aiman panjang lebar.
Wajah Azmi serta merta bertukar pucat. Lantas dia bertanya lagi tentang kesahihan cerita rakannya itu.
“Betul beb, takkanlah aku nak tipu kau. Kalau betullah seperti yang kau cakap nampak aku sedang meredah hujan, ni kau tengok ni… mana ada basah baju aku. Sikit pun tak ada kesan air hujan,” kata Aiman sambil meregangkan bajunya ke arah Azmi.
Azmi terdiam. Serta merta badannya terasa terasa lemah. Mereka berpandangan. Jika benarlah apa yang diperkatakan oleh Aiman itu, jadi siapa yang dia jumpa dan berbual tadi? Azmi tiada jawapan… – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya