Menerusi pilihan raya kita memilih wakil rakyat sama ada untuk peringkat Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN). Wakil rakyat itu pula mewakili parti-parti tertentu. Ada juga yang bertanding sebagai calon Bebas.
Bila rakyat memilih sebagai wakil rakyat maka sudah pasti yang diharapkan daripada mereka adalah benar-benar berkhidmat untuk rakyat. Antaranya, akan menyampaikan pendapat dan kehendak rakyat sama ada di Parlimen atau di DUN.
Rakyat juga mengharapkan mereka menjaga kawasan yang diwakili sebaik mungkin dengan mengenal pasti isu-isu berbangkit dalam kawasannya.
Dalam konteks perjalanan dan pelaksanaan sistem kerajaan, wakil rakyat mestilah berfungsi sebagai mekanisme ‘semak dan imbang’ ke atas kuasa-kuasa eksekutif, juga sebagai pembuat atau penggubal undang-undang (legislatif).
Hakikatnya, sebagai pihak yang mewakili rakyat maka mereka memikul amanah besar yang mesti ditunai dengan penuh integriti, jujur dan bijaksana. Wakil rakyat mesti bekerja untuk rakyat sama ada yang mengundinya atau tidak.
Dalam mengurus kawasan, mereka sewajarnya memberi kesempatan kepada rakyat untuk bertemunya. Sebaik-baiknya diwujudkan pusat pertemuan untuk rakyat supaya memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, bantuan dan menyalurkan masalah serta cadangan.
Sebarang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan perlu ada akses maklumat untuk rakyat mengetahuinya. Wakil rakyat perlu pastikan projek terbabit tidak beri kesan buruk kepada kehidupan rakyat di kawasannya. Sekiranya ada kesan buruk maka ia perlu ada pelan atau langkah mengatasinya.
Dalam konteks ini, wakil rakyat harus membina konsensus untuk mencapai penyelesaian berkaitan apa jua masalah berbangkit yang memberi kesan buruk kepada rakyat di kawasannya.
Masalah timbul apabila semakin ramai wakil rakyat gagal berfungsi dengan berkesan atau semacam tidak wujud sebagai wakil rakyat. Rakyat tidak berasa mereka diwakili oleh wakil yang telah mendapat mandat majoriti di kawasan mereka. Ada juga segelintir wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab menggunakan kedudukan mengkayakan diri sendiri.
Fungsi sebenar mereka menyertai politik untuk berkhidmat kepada rakyat sudah dilupakan kerana nafsu mengumpul kekayaan sudah menguasai jiwanya. Antara punca wakil rakyat tidak berfungsi dengan baik adalah disebabkan ‘jahil’ terhadap peranannya sebenar. Sikap berat sebelah dengan mengutamakan kroni, mengamalkan nepotisme dan bersikap perkauman gagal juga boleh menyebabkan mereka gagal berfungsi sebagai wakil rakyat yang berkesan untuk semua rakyat di kawasannya.
Setakat ini pengundi di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN tidak mempunyai saluran perundangan yang jelas untuk menyingkirkan wakil rakyatnya yang gagal bekerja untuk rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Tiada peruntukan undang-undang untuk mereka berbuat demikian, selain menanti pilihan raya seterusnya bagi menyingkirkannya jika wakil rakyat itu bertanding semula.
Di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 48 (1) (a-f) hanya menyentuh perkara berkaitan ahli Parlimen yang boleh hilang kelayakan. Tiada apa-apa peruntukan berkaitan wakil rakyat boleh disingkirkan atau boleh ditamatkan perkhidmatannya jika majoriti pengundi di sesuatu kawasan itu tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya.
Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 pula hanya dinyatakan mana-mana pihak boleh mengemukakan rayuan atau bantahan kepada mahkamah pilihan raya sekiranya berlaku keraguan di dalam pilihan raya dan keputusannya.
Justeru, untuk mengatasi isu wakil rakyat yang gagal bekerja di kawasan yang mereka wakili maka perlu ada peruntukan undang-undang khas untuk memberikan hak kepada rakyat di sesuatu kawasan itu mengemukakan permohonan memecat wakil rakyat yang dianggap gagal berfungsi di kawasannya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan sekiranya ahli Parlimen tidak buat kerja dengan baik maka rakyat sepatutnya boleh kemukakan petisyen untuk pilihan raya semula. Wan Junaidi hanya menyebut ahli Parlimen yang gagal berfungsi dengan baik, namun bagi penulis ia harus merangkumi semua mereka yang bergelar wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau di peringkat DUN.
Petisyen dari sudut undang-undang merupakan surat permohonan atau rayuan yang biasanya ditandatangani oleh sekumpulan orang kepada pihak berkuasa untuk meminta sesuatu pertimbangan. Ia juga adalah permohonan rasmi kepada mahkamah supaya sesuatu tindakan kehakiman dapat diambil.
Apa pun, pada hemat penulis petisyen untuk menyingkirkan atau memecat wakil rakyat yang tidak berfungsi itu tidak sepatutnya merupakan satu himpunan tanda tangan mana-mana pihak untuk membantah kerana ia mungkin akan berlaku penganiayaan politik kepada wakil rakyat tertentu.
Justeru, petisyen itu mestilah aduan atau rayuan berdokumentasi (pliding) yang perlu dikemukakan kepada mahkamah dan ia perlu mengandungi beberapa perkara penting seperti keterangan, fakta dan alasan berdasar bukti yang mesti dinyatakan dalam petisyen tersebut dan perkara-perkara penting lain yang berkaitan atau relevan dengan petisyen tersebut.
Maknanya, ia perlu memenuhi peruntukan yang ditetapkan untuk didengar oleh mahkamah. Ini penting untuk memberi keadilan kepada wakil rakyat terbabit supaya tiada unsur penganiayaan politik berlaku ke atasnya.
Apa pun kepentingan rakyat perlu diutamakan kerana rakyatlah yang menghadapi kerenah segelintir wakil rakyat yang hanya menjenguk muka pada kempen pilihan raya untuk memberi janji-janji palsu dan manis dan selepas itu mereka hilang menunggu pula penggal seterusnya.
Penulis ialah Penganalisis Sosiopolitik bebas.