Memahami perubahan iklim dan banjir - Utusan Malaysia

Memahami perubahan iklim dan banjir

Pemandangan dari udara keadaan kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur buat kali kedua di Baling, Kedah baru-baru ini. – MINGGUAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bumi yang menua ditenatkan lagi dengan kedangkalan pemahaman manusia mengenai perubahan iklim merupakan suatu masalah yang perlu didepani secara tuntas. Agenda pemulihan iklim di angkat di peringkat global menerusi pelbagai rangka kerja global dan menuntut semua negara untuk bersatu membentuk masyarakat dunia yang lestari. Namun, segala perancangan yang bersifat atas kertas semata-mata mungkin bakal melenyapkan manusia di muka bumi.
Perubahan iklim yang berlaku secara keterlaluan berpunca daripada tangan-tangan manusia dan juga proses perubahan semulajadi pada lautan serta atmosfera. Para komuniti sains menerusi makalah-makalah penerbitan antarabangsa bersependapat bahawa Revolusi Perindustrian Pertama merupakan pencetus awal kepada pemanasan global buatan manusia.
Pemanasan global berlaku disebabkan peningkatan penggunaan bahan api fosil seperti minyak, batu arang dan gas yang akhirnya meningkatkan kepekatan gas rumah hijau. Selain itu, penebangan hutan secara semberono, pembalakan haram dan projek pembangunan yang tidak menepati prinsip-prinsip kelestarian turut mempercepatkan proses pemanasan global.
Pada 2021, Panel Antara Kerajaan Tentang Perubahan Iklim (IPCC) melaporkan bumi terus memanas dan Wilayah Polar akan kehilangan fungsi utama bagi mengimbangi iklim dunia dan mempercepatkan pencairan ais di sana. Ais yang mencair dari kutub Antartika, Artik dan Greenland akan menaikkan paras air laut yang akhirnya mampu menenggelamkan penempatan manusia.
Walaupun lokasi benua Antartika terletak kira-kira 10,000 km dari Malaysia, namun pencairan ais di Kutub Selatan ini berupaya memberi kesan besar kepada negara. Paras laut yang meningkat akan mengancam nyawa dan harta benda menerusi peningkatan kekerapan dan intensiti banjir pantai.
Selain banjir pantai, satu lagi kerisauan yang membelenggu rakyat Malaysia adalah banjir kilat. Pada masa sekarang pun kita dapat merasai kesan perubahan iklim terhadap banjir kilat yang semakin kerap melanda negara. Akibat peningkatan suhu dunia, atmosfera kini mampu menampung lebih banyak wap air daripada keadaan biasa. Akibatnya, hujan lebat luar biasa menyebabkan berlakunya banjir kilat seperti yang terjadi di Yan, Kedah; Janda Baik, Pahang dan terbaru di Baling, Kedah yang menguatkan lagi teori bahawa tiada kawasan di negara ini yang boleh dijamin tidak menerima impak perubahan iklim.
“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” merupakan peribahasa yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Namun, rakyat yang tinggal di luar kawasan pantai juga kini terdedah dengan bencana banjir.
Apabila hutan ditebang bagi tujuan pembangunan dan pembalakan, daya tampungan hutan untuk menyimpan air hujan akan berkurangan. Kesannya, aliran air di permukaan bumi disebabkan hujan lebat akan masuk ke dalam sungai dengan pantas. Kecetekan tahap ketamadunan sesetengah rakyat yang suka membuang sampah sarap di merata-rata tempat menjadikan longkang, parit dan sungai menjadi ‘sesak’ dan menyebabkan berlakunya banjir kilat.
Anjakan paradigma perlu dilakukan segera bagi mendepani masalah perubahan iklim dan menuntut semua pihak termasuklah kerajaan, sektor swasta, NGO dan rakyat untuk sama-sama bertindak mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau.
Sesebuah dasar kerajaan tidak akan mencapai objektifnya sekiranya ia tidak mendapat sokongan dan rakyat.
Selain itu, rakyat juga boleh mengambil inisiatif dengan melibatkan diri dalam aktiviti penanaman pokok, mengurangkan penggunaan plastik dan menggunakan pengangkutan awam. Perbuatan membuang sampah merata-rata perlu dicegah dan terdapat keperluan untuk menegur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
Setakat ini, terdapat banyak usaha dijalankan kerajaan bagi mengurangkan masalah ini dengan mengadakan program menukar lampu jalan kepada LED, program pengurangan karbon di bandar dan sebagainya.
Usaha-usaha lain juga perlu ditingkatkan dengan menggalakkan rakyat untuk berkomunikasi melalui sidang video bagi mengurangkan aliran trafik di jalan raya dan pencemaran udara yang boleh menyumbang kepada pemanasan global.
Selama ini, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) menyediakan geran penyelidikan yang besar bagi membolehkan penyelidik di negara ini menjalankan kajian menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan sumber Antartika.
Malaysia melalui YPASM memainkan peranan aktif di Antartika dengan menghantar penyelidik-penyelidik tempatan ke sana untuk mengkaji perubahan iklim global yang memberi kesan kepada kehidupan terutama di Malaysia.
Dalam pada itu, pembanterasan aktiviti pembalakan haram dan penggondolan hutan secara berleluasa harus menjadi agenda utama kerajaan bagi menjaga kepentingan negara.
Selain itu, sistem pengangkutan awam yang murah, berkesan, cekap, dan bersepadu perlu dipergiatkan bagi mengalakkan lebih ramai orang awam untuk menggunakannya.
Perancangan bandar yang teratur dan menggunakan pendekatan walkable city perlu diperbanyak lagi bagi mengurangkan mobiliti.
Semua usaha ini sekiranya dirangkumkan bersama dapat melestarikan alam seperti mana yang dipertanggungjawabkan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya