Jangan samakan GISBH dengan Al-Arqam - Utusan Malaysia

Jangan samakan GISBH dengan Al-Arqam

Ketua Pegawai Operasi GISB Holdings, Datuk Lokman Hakim Pfordten bercakap pada sesi wawancara bersama Mingguan Malaysia di Ikhwan Delight, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini. MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BIARPUN kurang menonjol tanpa publisiti, Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) berjaya melebarkan rangkaian perniagaan dari dalam sehingga ke luar negara.
Entiti ini mempunyai cara tersendiri untuk berkembang pesat dalam perniagaan selain misi dalam memastikan jaminan keselamatan makanan dapat dicapai.
Bagaimanapun, masih ada stigma segelintir pihak yang mengaitkan GISBH sebagai sebuah pertubuhan Al-Arqam dengan membuat pelbagai dakwaan bersifat negatif.
Ikuti wawancara wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, DATUK LOKMAN HAKIM PFORDTEN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu, jurufoto AFIQ RAZALI.

MINGGUAN MALAYSIA: Masih ramai yang tidak tahu berkenaan perniagaan dan entiti GISBH. Boleh jelaskan secara terperinci?
Alhamdulilah kita telah menceburi pelbagai sektor perniagaan setakat ini antaranya, pembangunan modal insan, pendidikan, perindustrian, perladangan dan penternakan, perkilangan dan pembangunan, keluarga serta remaja.
Kita juga sudah mempunyai 5,330 pekerja di setiap rangkaian perniagaan kami termasuk di luar negara seperti Algeria, Tunisia, Bosnia Herzegovina, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Maghribi, United Kingdom (UK), Jordan, Perancis, Jerman dan Turki.
Tapi banyak yang mengetahui tentang perniagaan runcit kami. Dengan memiliki lebih 30 kedai serbaneka, kedai bakeri dan restoran kami cuba sebaik mungkin untuk memenuhi tuntutan fardu kafiyah dengan menyediakan pelbagai keperluan terutama kepada orang Islam.

RAHSIA KEJAYAAN
Apakah rahsia kejayaan GISBH sebagai wakil pelbagai produk Muslim yang sebelum ini dilihat kurang menonjol dengan pelbagai publisiti?
Sebenarnya kita tidak melihat ia sebagai kejayaan. Kejayaan sebenar apabila Allah SWT reda. Kalau dapat menguasai dunia pun Allah SWT tidak reda apa maknanya?
Apa yang kita buat bukannya mahu mencari kekayaan atau untung. Kita harap mendapat kasih sayang Allah SWT dan memburu cintanya serta cinta Rasulullah SAW. Melaksanakan segala yang disukai Allah SWT dan nabi serta berkhidmat kepada manusia tak kira apa bangsa atau agama pun, di situ kita harap Allah SWT reda.
Perlu diingat kita orang Islam ada dua tugas. Pertama, sebagai hamba dan satu lagi sebagai khalifah. Telah disebut apa tugas kita dalam al-Quran. Hamba ini ertinya kita tunduk dan laksanakan perintah Allah. Beribadah seperti berpuasa, solat, tunaikan haji dan sebagainya. Kedua, ibadah sunat iaitu solat tahajud, sedekah dan solat-solat sunat lain. Akan tetapi ada ibadah yang ketiga dan lebih luas iaitu membangunkan fardu kifayah dalam pendidikan, kesihatan dan apa jua keperluan manusia.
Tidak boleh tidak, mesti memenuhi keperluan kita. Contohnya, perlu makan dan minum halal. Kalau tiada makan minum yang halal semua orang Islam perlu tanggung dosa. Tapi kalau ada satu pihak yang buat, lepaslah daripada dosa. Jadi cuba bayangkan, kalau kita terapkan ia sebagai konsep ibadah. Maknanya lagi banyak beribadah lagi maju dan dapat berkhidmat kepada seramai-ramai manusia. Bukankah itu indah?

TAK CIPTA CONTENT BODOH
Banyak usahawan mempelbagaikan teknik pemasaran termasuk mencipta kandungan ‘tidak cerdik’ di media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram, namun tidak bagi GISBH. Apakah rahsia maju?
Faktor kejayaan kita bukan bergantung kepada publisiti. Kita perlu melihat kejayaan itu apabila Allah SWT menolong. Sesungguhnya Allah SWT itu menjadi pembela, penolong kepada orang yang bertakwa. Jadi kerja kita bagaimana nak jadi orang bertakwa?
Hendak jadi orang bertakwa kita perlu usahakan. Kalau Allah SWT sudah menolong apa lagi yang dapat menghalang? Allah SWT tiada janji untuk jadi pembela kepada orang Islam semata-mata. Kalau begitu sudah lama orang Islam semuanya berjaya dan berwibawa. Allah SWT berjanji untuk orang bertakwa. Mahu menjadi orang bertakwa itu bukannya senang. Sangat susah. Hati perlu bersih, buang sombong, tamak, kedekut, hasad dengki, cinta dunia nak kena hati bersih, buang sombong, buang tamak, buang kedekut, buang hasad dengki, buang cinta dunia dan buang segala kepentingan lain termasuk puji-pujian serta populariti.

SERPIHAN AL-ARQAM?
Adakah GISBH ini merupakan organisasi serpihan atau menjadi cerminan Al-Arqam sebagaimana tanggapan segelintir pihak?
Dalam hidup ini kita tidak boleh elak orang suka atau tidak. Ada orang sokong dan ada orang benci. Ini semua perlu diterima dan ia daripada Allah SWT. Dan kita belajar daripada orang yang tidak suka dengan kita sebab mereka yang paling nampak kelemahan kita. Apabila ada yang tegur kelemahan, kita baikilah dan kalau betul itu satu kesalahan minta ampun dengan Allah dan baiki. Tapi sebagai Islam kita harapkan akan berlaku perpaduan tanpa perpaduan apa pun kita tak boleh buat. Dalam rumah pun susah nak kendalikan, apatah lagi pejabat, masyarakat, negara dan umat Islam seluruh dunia. Kerana apa? Kerana tiada perpaduan sebab tiada kasih sayang, kita tidak dekatkan diri dengan Tuhan, kalau semua baiki diri usahakan hubungan baik dengan Allah kita bukan keluarga pun boleh bersatu.
Nama syarikat pun kita boleh lihat, Global Ikhwan Services & Business Holdings. Jadi boleh fikir sendiri. Namun persepsi tidak boleh dielak.

Adakah GISBH bersifat terbuka kepada masyarakat umum?
Memang kita terbuka kepada umum. Malah kita bukan sekadar di Malaysia, kita turut bertapak di luar negara. Di tempat kita di Sungai Penchala pun, DAP buat majlis di sini. Kita berkawan dengan semua orang tanpa mengira latar belakang mereka.

TIDAK PINJAM BANK
Apakah modul perniagaan GISBH sehingga berjaya lebarkan sayap ke luar negara?
Adalah menjadi dasar GISBH tidak terlibat dengan pinjaman bank untuk membangunkan perniagaan. Modal untuk membangunkan perniagaan baharu itu datangnya daripada keuntungan perniagaan sedia ada.
Dengan adanya rasa bersama dan saling bekerjasama dalam kalangan pengurus perniagaan GISBH, modal membangunkan perniagaan yang baharu itu sama-sama diusahakan di atas kefahaman dengan niat untuk membangunkan fardu kifayah di samping memberikan perkhidmatan kepada masyarakat seperti yang telah dihuraikan di atas. Walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa berbanding pinjaman dari bank contohnya, namun banyak kebaikannya di dalam jangka panjang.

Apa sasaran dan saranan GISBH dalam membantu menangani isu ekonomi terutama membabitkan umat Islam di negara ini?
Benda ini tidak boleh buat satu pihak sahaja dan ia perlu melibatkan pelbagai pihak. Kerajaan dengan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat tanpa menuding jari atau menyalahkan antara satu sama lain tanpa tuding jari. Kalau ada konsep ‘hang salah, orang ini salah’ sampai bila pun tidak akan selesai. Tapi kalau bekerjasama dan bergandingan, Insya -Allah kita dapat bawa harapan cerah kepada negara.

KESELAMATAN MAKANAN
Berkenaan dengan jaminan keselamatan makanan di Malaysia. Bagaimana Datuk melihat perkara ini. Adakah GISBH sedia mengambil alih peranan tersebut?
Sebenarnya, kita sudah lama berkecimpung dalam bidang poultry. Kita bukan pelihara ayam saja tapi kita sudah buat makanan ayam sendiri dengan membina kilang di Selangor.
Apabila sudah buat kita tinggal untuk kembangkan sahaja. Malah kita juga sudah laksanakan, hanya dikembangkan sahaja. Kita juga telah membangunkan enzim khas untuk ternakan. Maknanya, ayam akan jadi sangat baik dan dapat mengurangkan kolestrol.
Sekarang nak kembangkan mudah sebab kita sudah hantar ke turki dan negara lain. Malah kita sangat bersedia dengan apa jua entiti untuk membangunkan industri makanan. Sehingga kita sudah jalinkan kerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia untuk menanam tanaman kontan di ladang-ladang getah. Maknanya setiap pokok getah yang ditanamdijarakkan supaya ada tanaman lain seperti pisang atau jagung boleh ditanam di tengah-tengah sementara menunggu hasil getah sebab ia makan masa sehingga lima tahun.
Dengan kerjasama pelbagai pihak kita berharap dapat pastikan keselamatan makanan dan mengurangkan kadar import negara
Bagaimanapun, GISBH tiada sasaran khusus dan tidak hanya mahu mereka-reka peratus sasaran serta kemampuan kami dalam memastikan keterjaminan keselamatan makanan di negara ini.
Paling penting kita mahu bekerja.Setakat ini di peringkat antarabangsa pun kami telah mengadakan kerjasama dengan Balai Padi Nasional Indonesia untuk pertukaran teknologi di sana selepas melihat kemampuan kami meningkatkan hasil dengan tanah yang kurang. Jadi selepas ini juga akan membantu memenuhi keperluan beras negara pada masa akan datang.

PASARAN LUAR NEGARA
Pasaran luar negara yang kini cuba ditembusi GISBH?
Banyak. Tapi setakat ini China dan Amerika Syarikat (AS) yang kita sedang usahakan. Kami telah pun membuat permohonan visa dan sudah dipanggil temuduga.
Selain dua negara ini, Indonesia antara negara yang kita operasi di sana dalam skala besar bermula dari Acheh sehingga Papua New Guinea. Kita mahu fokus diaspora di sana.

BELI BARANGAN MUSLIM
Pandangan Datuk berkenaan Buy Muslim First (BMF). Adakah gagal ?
Kalau tak cerita BMF pun tanggungjawab orang Islam mencari benda yang halal, berkhasiat dan tidak rosakkan tubuh serta hati kita. Sebab apa? Kerana makanan ini mencorak hati yang baik. Makanan haram akan beri kesan kepada hati susah nak terima kebenaran. Seriap minggu pun dengar khutbah tapi tak masuk.
Mencari makanan halal ini kita harapkan ia datang daripada tangan yang takut Allah SWT sebab Dia jaga segala-galanya. Contoh, mudah buat roti canai. Kalau hanya fikir untung, dia berniaga lebih kurang telur pun tidak dibasuh dan abaikan kebersihan. Jika seseorang sekadar lebih kurang dengan Allah SWT, kita tidak rasa ia sesuatu yang perlu dirisaukan

Mengapa tidak buka francais kepada mana -mana pihak?
Kita dalam perancangan cuma kita cadangkan untuk tubuhkan satu jenama bagi tujuan francais. Kita akan buat, tapi ada bentuk kerjasama dengan masyarakat. Contoh, ada kilang buat donut untuk diedarkan pada masyarakat. Yang bukan Muslim pun boleh jadi tukang edar. Insya-Allah satu hari nanti. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya