Fahami doktrin pengasingan kuasa - Utusan Malaysia

Fahami doktrin pengasingan kuasa

Rakyat tidak boleh menjadi hakim mengenai sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah atau mengadili sama ada bersalah atau tidak terhadap sesuatu kes yang masih dalam siasatan. – MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam apa juga keadaan, individu perlu diberi pendedahan dan kefahaman secara jelas dan formal tentang aspek kenegaraan. Ini bertujuan mengelak kekeliruan dan salah faham, yang mana keadaan itu boleh mewujudkan hura-hara, perselisihan dan perbalahan.
Tanggungjawab ini boleh dilakukan melalui pendidikan politik atau sivik. Pendidikan politik itu boleh memberi pengetahuan kepada rakyat terutama orang muda untuk memahami peranan dan fungsi pemerintahan.
Kefahaman itu penting termasuklah mengetahui praktik doktrin pengasingan kuasa (separation of power) membabitkan badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Hal ini kerana kebelakangan ini integriti badan kehakiman begitu mendapat liputan dalam kalangan rakyat ketika berlangsung proses mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ada pihak yang cuba mentafsir integriti badan kehakiman mengikut perspektif masing-masing yang mungkin dipengaruhi oleh faktor kepentingan politik dan hubungan dengan orang kena tuduh. Situasi ini boleh mempengaruhi pemikiran dan persepsi rakyat mengenai integriti badan kehakiman.
Justeru, tiba masanya pendidikan politik dan sivik diberi perhatian serius oleh kerajaan agar fungsi setiap badan pemerintahan terutama badan kehakiman tidak disalahertikan. Jadi, bagi memahami aspek kenegaraan itu, ia perlu dimulakan dengan memahami doktrin pengasingan kuasa itu sendiri.
Doktrin pengasingan kuasa yang juga dikenali sebagai Trias Politica dipopularkan oleh Montesquieu seorang ahli falsafah melalui karya agungnya The Spirit of Law. Doktrin itu banyak mempengaruhi sistem perlembagaan di dunia pada hari ini termasuk Malaysia.
Ia memperlihat kewujudan tiga serangkai badan pemerin­tahan iaitu legislatif berfungsi menggubal penggubal undang-undang; eksekutif berfungsi melaksanakan pentadbiran dan menguatkuasakan undang-undang; dan badan kehakiman menegakkan sistem keadilan mengikut undang-undang.
Pengasingan kuasa itu penting bertujuan mewujudkan konsep semak dan imbang (check and balance) supaya pe­me­rintahan negara dapat dilaksanakan secara adil. Ia dapat mengelak mana-mana badan melampaui bidang kuasa badan lain dan setiap badan dapat beroperasi secara bebas tanpa rasa takut dan dibayangi oleh pengaruh dan kuasa badan lain.
Jadi, doktrin pengasingan kuasa adalah asas penting mem­ben­tuk sistem peme­rintahan yang prinsip telus, adil dan bebas seperti yang termaktub dalam Per­lem­bagaan Persekutuan Malaysia. Ironinya, dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, India, Kanada, Australia dan lain-lain tidak mengikuti sepenuhnya idea Trias Politica oleh Montesquieu kerana mempraktikkan doktrin pencantuman kuasa (fusion of power). Doktrin ini bukan mengurangkan tiga badan pemerintahan menjadi dua atau satu. Dalam sistem demokrasi berparlimen, Perlembagaan membenarkan ahli badan perundangan dilantik menjadi ahli eksekutif atau jemaah menteri.
Jadi, wujud kelemahan dan kelebihan masing-masing antara kedua-dua doktrin itu. Perkara ini dapat dilihat ketika perbicaraan kes bekas Perdana Menteri sehingga rayuannya di Mahkamah Persekutuan ditolak dan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini dikekalkan.
Jika dilihat keputusan itu, ternyata badan kehakiman telah melaksanakan fungsinya dengan betul. Ia tidak bimbang terhadap tekanan dan pengaruh politik yang berlaku di luar mahkamah yang cuba mempertikai integriti badan kehakiman. Mahkamah membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan.
Dalam perbicaraan kes ber­pro­fil tinggi itu, tiada cam­pur tangan dan pengaruh badan eksekutif. Jika ada, ia sepatutnya tidak boleh dilakukan demi integriti dan mewujudkan konsep semak dan imbang dalam pemerintahan. Maka, dalam hal ini pendidikan politik itu penting. Orang ramai dan pelbagai pihak tidak boleh menjadi mahkamah rakyat untuk membuat tafsiran sendiri berkenaan sesuatu kes yang dibicarakan.
Oleh itu, pengetahuan tentang doktrin pengasingan kuasa itu penting yang perlu dibina melalui pendidikan politik agar rakyat lebih memahami dan matang berkaitan kuasa khususnya fungsi badan kehakiman dalam menegakkan keadilan. Rakyat tidak boleh menjadi hakim mengenai sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah atau mengadili sama ada bersalah atau tidak terhadap sesuatu kes yang masih dalam siasatan.
Bagi pengundi umur 18 tahun, pendidikan politik boleh mendedahkan mereka mengenai perkara sebenar tentang politik, kuasa dan memahami doktrin pengasingan kuasa itu sendiri agar tidak mudah terpedaya dengan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang mempunyai konflik kepentingan dalam sesuatu isu. Jadi, pendidikan politik dan sivik mesti digerakkan secara formal agar generasi muda khususnya dapat berpartisipasi secara aktif dalam politik.
Ringkasnya, pendidikan politik merupakan usaha membentuk kuasa lembut dan pintar (soft and smart power) supaya rakyat dapat menyerap dan menepis politik kotor yang cuba diterjemahkan melalui kuasa keras (hard power) berbentuk protes, bantahan, demonstrasi dan sebagainya.
Hanya melalui pemahaman dan pemikiran secara matang, maka perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu dilihat dalam konteks bidang kuasa badan kehakiman dan pelaksanaan doktrin pengasingan kuasa berlaku dalam keadaan yang betul.
Apabila rakyat mempunyai pemikiran seperti itu, maka transformasi politik dalam masyarakat Malaysia dapat dilakukan khususnya dalam mengukuhkan nilai-nilai demokrasi itu sendiri. Dengan kata lain, pendidikan politik dan sivik mampu melahirkan warganegara yang matang dan berpolitik secara baik.

Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan, MB Global Political Analysis and Academic Consultancy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya