Enam teknik asas memanah tradisional - Utusan Malaysia

Enam teknik asas memanah tradisional

ISMAIL menunjukkan teknik membidik yang menjadi salah satu aspek paling dititik beratkan dalam sukan memanah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEM­PELAJARI ilmu memanah tradisional memberi satu kepuasan tersendiri. Sama ada panahan statik atau memanah berkuda, kedua-dua disiplin ini memberi cabaran dan membuatkan adrenalin seseorang mengalir deras.
Malah, sukan ini juga banyak membentuk keperi­badian dan daya fokus seseorang.Percayalah tidak rugi untuk melabur sedikit masa dan wang bagi mencuba sukan sunnah Rasulullah SAW ini.
Saya pasti ramai ingin mengetahui secara mendalam mengenai asas memanah tradisional secara teori terlebih dahulu sebelum berani mempraktikkannya satu hari nanti.
Dalam kolum Redah kali ini, saya cuba kongsikan ilmu asas yang disampaikan salah seorang pemanah tradisional hebat dari Tawau, Sabah iaitu Ismail Jamaludin.
Saya pernah menonton video beliau sebelum ini yang mengajar teknik yang amat diperlukan dalam sukan memanah berkuda iaitu panahan laju (fast shooting) dan memasang anak panah tanpa melihat (blind knocking). Bukan itu sahaja, Ismail turut menunjukkan pelbagai teknik lain yang amat diperlukan dalam sukan memanah tradisional lebih-lebih lagi untuk panahan statik dan sukan memanah berkuda.
Saya percaya, dia juga mampu menyinar dalam sukan memanah berkuda dan mewakili Sabah dalam sukan memanah berkuda sekiranya diberi peluang satu hari nanti.
Berikut antara tips asas yang dikongsikan Ismail untuk dijadikan panduan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan ini:

1 Pemilihan busur
Untuk mereka yang mahu mempelajari sukan ini, adalah lebih baik memiliki busur sendiri supaya mudah dan dapat menguasai peralatan. Bagi teknik pemilihan busur, seseorang perlu memahami daya tahan berat (poundage) agar dapat membantu postur badan yang baik dan mengelakkan keletihan. Untuk pemanah yang baru mencuba-cuba, gunakan busur yang mempunyai daya tahan berat yang rendah sama ada untuk panahan statik atau teknik fast shooting.
Ini penting untuk dapatkan rentak yang sama , kuncian yang sama dan khatra yang sama. Semakin tinggi poundage, semakin berat daya tarikan tali busur. Sekiranya panahan statik, seseorang itu perlu pegang dan membidik. Namun, sebaliknya untuk aktiviti memanah berkuda yang memerlukan seseorang itu memanah dengan pantas.

2 Anak panah
Selain busur, pemanah juga perlu memiliki anak panah sendiri. Paling penting kedua-dua alatan ini perlu seimbang. Sebagai contoh, sekiranya busur memiliki daya tahan berat (poundage) yang rendah, anak panah juga perlu ringan.
Kedua-duanya penting untuk keselamatan dan mengelakkan dry fire (pelepasan tali busur tanpa anak panah) yang ringan. Semakin tinggi daya kelenturan (spine) semakin ringan anak panah tersebut. Melepaskan tali busur tanpa anak panah boleh menyebabkan risiko patah pada busur berkenaan akibat tenaga yang dihasilkan.

3 Kuncian (knocking)
Untuk kali pertama belajar, tidak mudah menggunakan teknik thumb (menarik tali busur dengan menggunakan ibu jari ) biasanya akan memilih teknik menggunakan tiga jari ( three fingers) terlebih dahulu. Kedua-duanya merupakan kuncian popular.

4 Menarik tali busur (anchoring)
Pemanah perlu menarik tali busur dan meletakkan tali busur pada dagu atau rahang.

5 Membidik
Membidik sangat penting untuk meletakkan pandangan secara tepat pada titik sasa­ran. Untuk panahan statik, pemanah tidak boleh membidik terlalu lama bagi mengelakkan keletihan.

6 Melepaskan anak panah
Ini antara teknik yang tidak kurang pentingnya. Tali busur panah yang dipegang hendaklah dilepaskan dari jari. Sekiranya menggunakan teknik tiga jari, ia perlu dilepaskan serentak dan tangan yang menarik tali tersebut perlu dilepaskan secara perlahan-lahan.
Demikian tips yang diberikan Ismail kepada saya untuk mereka yang baru berjinak-jinak atau masih mencari pengenalan berkenaan sukan ini sebelum menceburi secara serius.
Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut, pemanah boleh menonton video Ismail di TikTok miliknya saadabiwaqqas7.
Saya pasti menerusi video dan berguru dapat memudahkan anda untuk menguasai ilmu dalam sukan ini.  – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya