Berjimat cermat saja jalan selesai? - Utusan Malaysia

Berjimat cermat saja jalan selesai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA terbaca di media sosial baru-baru ini, ada yang memberi tips berjimat cermat. Tak tahulah hendak bergurau atau apa. – Jika anda tidur sampai tengah hari, anda dikira beruntung kerana boleh jimat kos makan untuk waktu pagi.
Yang ini bukan berjimat. Ini pemalas namanya, komen seorang netizen.
Ada juga yang mengesyorkan orang ramai memperuntukkan perbelanjaan harian pada amaun tertentu pada hari itu, supaya tidak terlebih bajet.
Ketika ini ramai yang mula mengambil langkah berjimat cermat setelah menyedari bahawa merungut dan menyatakan rasa tidak puas hati di media sosial tentang kenaikan harga barang tidak mengubah apa-apa. Mereka yang benar-benar terkesan tidak punya pilihan, sama ada berbelanja secara berhemah atau mencari pendapatan sampingan.
Tentunya pada yang sudah lama dan biasa berjimat, tak kira waktu, ia bukanlah sesuatu yang sukar tetapi bagi yang baru mahu berjimat kerana terpaksa sebab tiada pilihan, kehidupan sudah mula terasa peritnya.
Hakikatnya, kos sara hidup yang tinggi bukan saja menjejaskan golongan B40, tetapi golongan M40 turut sama terasa dan mengambil langkah berjimat. Jadi ketika ini membeli mengikut keperluan, bukan kehendak adalah langkah terbaik.
Kalau sebelum ini, yang sudah biasa makan di luar atau memesan makanan menggunakan perkhidmatan Grabfood atau Foodpanda, mereka mula kurangkan membeli makanan dan memasak sendiri.
Yang sudah biasa setiap bulan membeli belah secara atas talian di Lazada, Shopee atau pengendali beli-belah online lain, kini sudah perlahan-lahan meninggalkan ‘tinjauan’ itu.
Memanglah jimat beli barang murah, tak sampai harga RM20 tetapi kalau rambang mata, sedar tak sedar, boleh mencecah RM200 walaupun pada mulanya hanya berniat untuk ‘tengok-tengok’ saja.
Seorang kawan yang menjual pakaian dan barangan rumah secara online memberitahu saya, jualannya sudah merosot sejak dua bulan lalu. Berbeza semasa negara ini dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semasa Pengeluaran Khas Wang Simpanan KWSP April lalu, permintaan begitu tinggi.
“Masa itu duduk rumah saja, boleh dapat RM3,000 hingga RM4,000 sebulan. Sekarang hendak dapat RM500 pun semput,” ceritanya. Justeru katanya, dia yang merancang untuk berhenti kerja tetapnya, tidak meneruskan hasrat itu.
Walaupun pendapatan makan gaji tidak sebanyak bisnes secara online, dia bimbang, permintaan akan terus turun dan tidak mahu mengambil risiko.
Ada ibu bapa yang juga mengehadkan membawa anak-anak keluar makan, dari setiap minggu turun kepada dua kali dalam sebulan atau sekali saja.
Tetapi kita tunggu dan lihat saja cuti sekolah pada bulan depan. Golongan ibu bapa yang merungut harga barangan naik dan terjejas teruk, selalunya mereka jugalah akan memenuhi hotel-hotel dan pusat peranginan dan sanggup menempah bilik yang mahal kerana yang murah sudah habis ditempah. Ini biasa.
Kelmarin Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan dalam suku pertama. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu jauh lebih baik daripada apa yang dicatatkan oleh Amerika Syarikat, Singapura dan China.
Bagaimanapun, penganalisis ekonomi meramalkan selepas lonjakan yang tinggi ini yang turut disumbang oleh kebenaran mengeluarkan Wang Sim­panan Pekerja (KWSP) pada April lalu, KDNK akan turun semula kepada 5.0 hingga 6.0 peratus pada suku ketiga manakala bagi suku keempat antara 2.0 hingga 3.0 peratus.
Pada suku kedua tahun ini menyaksikan hampir ke semua sektor ekonomi beroperasi semula ditambah dengan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu. Apabila memasuki bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri pula pada April dan Mei dengan aktiviti ziarah dan pergerakan dalam negara secara tidak langsung merancakkan semula sektor perhotelan, pengangkutan dan sebagainya.
Ramai yang bertanya, bila pertumbuhan ekonomi kita bertambah baik dan melonjak tinggi, adakah ia memberi sebarang makna kepada rakyat golongan B40 dan M40? Adakah dengan perkembangan positif sebegini, golongan ini tetap juga bergelut dengan kos kenaikan harga barang dan menerima gaji yang rendah?
Sudah tentu kita tidak mahu angka-angka yang mem­berangsangkan ini ti­dak membawa kesan atau me­rubah kehidupan rakyat keseluruhannya kepada le­bih baik, sebaliknya ia hanya dinikmati oleh go­longan tertentu. Inilah yang dikatakan yang kaya ber­tambah kaya. Yang miskin tetap miskin.
Dengan pertumbuhan ekonomi ini, sektor swasta yang dikata menyumbang kepada keadaan ini, masih degil untuk melaksanakan gaji minimum dan tetap membayar upah rendah atas sebab ekonomi merudum.
Sewajarnya diadakan juga, kajian mengenai pergerakan golongan B40 dan M40 yang jatuh masuk ke kategori B40 akibat langkah berjimat cermat majikan yang memotong gaji kerana pandemik Covid-19 atau dibuang kerja. Di mana kedudukan mereka setelah ekonomi bertambah pulih?
Sebab itu, apa saja dikata pertumbuhan atau lonjakkan dalam ekonomi negara, ia perlu dirasai kesan baiknya oleh keseluruhan rakyat, kerana itulah ukuran kejayaan sebenar sesebuah negara dalam menangani kemelut ekonomi.
Meminta rakyat berjimat cermat yang menuntut perubahan sikap rakyat sendiri ketika berbelanja, tentu ia bukan jalan selesai yang sebaiknya. Bagaimana pula dengan golongan bergaji rendah yang langkah penjimatan tidak membawa kesan langsung kepada mereka apatah lagi diminta menyimpan duit untuk masa-masa susah?

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya