“Banyak kali panggil, tapi abang tak layan…” - Utusan Malaysia

“Banyak kali panggil, tapi abang tak layan…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menuntut dalam tingkatan lima aku selalu bangun pada pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran. Bagi aku jika belajar pada waktu begini suasananya lebih tenang dan aman. Paling penting senang masuk ke otak. Maklumlah, peperiksaan akhir tahun semakin hampir, jadi kenalah bersiap sedia dari sekarang.
Keluarga juga memang faham sangat dengan cara aku belajar. Ada kalanya aku langsung tak tidur dan berjaga hingga ke subuh. Selepas solat subuh aku terus bersiap untuk ke sekolah.
Tetapi malam itu aku rasa mengantuk teramat sangat. Mungkin kerana siang tadi aku sibuk dengan aktiviti sukan di sekolah, jadi badan terasa lesu dan tidak bermaya. Aku lihat jam sudah menghampiri 11.30 malam, lantas aku kemas buku di meja dan masuk ke bilik.
Adik lelaki ku, Imran yang berusia 12 tahun masih khusyuk membaca komik di katil sebelah. Sebelum tarik selimut sempat aku menyapanya dan menyuruhnya tidur awal. Dia sekadar tersengih. Memang begitulah rutinnya setiap malam. Sebelum lelap pasti ada sahaja komik dibacanya. Katanya, itulah cara dia melayan mata sebelum tidur.
Sebaik sahaja ingin lelapkan mata, tiba-tiba aku terdengar bunyi yang agak kuat dari atas bumbung di bilik ku. Aku pasang telinga untuk dengar lebih jelas lagi.
“Zass… Zass… Zass…”
Bunyi tersebut tak ubah seperti bunyi pelepah kelapa atau upih pinang yang diseret kanak-kanak ketika bermain. Aku kerutkan dahi sambil fikiran melayang jauh. Dalam hati masih mencari jawapan tentang bunyi tersebut.
“Bunyi apa pula itu?” getusku dalam hati. Namun bunyi tersebut tidak lama. Beberapa saat kemudian terus hilang daripada pendengaran. Suasana kembali sunyi seperti sedia kala. Yang kedengaran hanyalah bunyi unggas dan cengkerik dari semak berdekatan.
Fikirku bunyi tersebut mungkin datangnya daripada haiwan liar seperti musang atau sebagainya yang banyak berkeliaran di persekitaran rumahku pada waktu malam. Sebelum lelapkan mata sempat aku jeling ke arah katil sebelah. Kelihatan adikku sudah nyenyak tidur. Aku bingkas bangun sambil menutup suis lampu berhampiran katilnya.
Aku tidak sedar jam berapa aku terlelap. Sedar-sedar sahaja jam loceng berhampiran katil sudah berdering kuat. Dengan pantas aku bingkas bangun capai tuala menuju ke bilik mandi.
“Itulah, siapa suruh tidur lewat. Kan susah nak bangun,” kata adikku tersengih sambil mengenakan butang baju sekolahnya.
Aku tersengih dan bergegas keluar dari bilik. Siap berpakaian aku terus ke dapur untuk bersarapan. Ku lihat ibu sudah berada di meja makan menanti kehadiranku.
“Minum dulu nanti lambat pula nak ke sekolah. Tak payah tunggu ayah kamu, dia masih di surau lagi,” kata ibu sambil menuang air ke dalam cawan di hadapannya.
Setelah bersalaman dengan ibu, aku dan adik beriringan berjalan kaki menuju ke sekolah. Jarak di antara rumah dan sekolah kami hanyalah lebih kurang 700 meter sahaja. Kebetulan pula sekolah rendah tempat adik belajar berhadapan dengan sekolahku, jadi senanglah untuk kami pergi dan pulang bersama.
“Abang tahu tak malam tadi saya tak lena tidur,” kata adik sambil memandang ke arahku.
Aku terdiam. Lantas aku tanya kepadanya apa yang membuatkan dia tidak boleh tidur.
“Saya dengar macam-macam bunyi di atas bumbung rumah kita, seram bang, sebab sebelum ni tak pernah pula ada bunyi pelik-pelik macam itu,” katanya lagi.
Aku tidak menyahut kata-katanya. Nampaknya bukan aku seorang sahaja yang mendengar bunyi tersebut, rupa-rupanya adik ku juga senasib denganku.
“Lama juga saya matikan diri dalam selimut, nak buka mata pun rasa takut. Bila dah betul-betul bunyi tersebut hilang barulah saya berani buka mata,” sambung adik panjang lebar.
Aku tersenyum. Lantas mencari alasan untuk meredakan ketakutannya.
“Jangan risau dik, entah-entah yang adik dengar tu bunyi haiwan-haiwan liar yang tersesat dari hutan kawasan rumah kita tu. Mungkin musang, monyet, manalah kita tahu,” kataku cuba menyakinkannya.
Serta merta dia menoleh ke arahku sambil mencebikkan bibir.
“Eleh, abang cakap senanglah. Abang tu sibuk sangat dengan study bukan dengar apa pun,” katanya lagi.
“Eh, abang dengarlah apa yang adik dengar. Abang tahu itu bunyi binatang liar. Bukannya bunyi hantu ke apa ke,” sambungku lagi sambil tertawa.
Adik masih mencebik. Seakan tidak berpuas hati dengan jawapanku.
“Iyalah kita dahlah takut sampai rasa nak terkencing dalam seluar tahu tak?” kata adik lagi. Aku tergelak kecil mendengar jawapannya.
“Nasib baiklah bunyi itu tak lama. Bila bunyi itu hilang barulah adik berani pergi ke tandas,” sambungnya lagi.
Lantas aku bertanyakan kepadanya jika sudah terlampau takut kenapa tidak sahaja kejutkan aku supaya boleh temankan dia ke tandas.
Tapi jawapan yang diberikan adik membuatkan aku terlopong seketika. Seakan tak percaya dengan apa yang aku dengar dari mulutnya ketika itu.
“Iyelah abang tu kalau tengah khusyuk study mana nak perasan orang lain. Masa nak pergi ke tandas tu saya terus ke tempat abang study. Banyak kali saya panggil tapi abang buat tak layan. Toleh pun tak nak,” kata adik panjang lebar.
Aku terdiam. Serta merta bulu romaku berdiri tegak. Tak mungkin adikku berbohong. Dan jika benarlah apa yang diperkatakan itu nampaknya ada satu persoalan yang pasti menjadi tanda tanya buatku.
“Adik rasa masa pergi ke tandas tu agak-agak jam berapa?” tanyaku kembali.
Aku nampak dia kerutkan dahi seakan cuba mengingati sesuatu.
“Rasanya sekitar pukul 3 pagi kot. Alah, time biasa abang study sorang-sorang tu lah,” katanya sedikit kuat.
Lantas aku terus bertanya lanjut dan minta dia menceritakan kepadaku.
Menurut katanya sebaik sahaja keluar dari bilik dia terus ke meja di ruang tamu tempat aku mengulangkaji pelajaran. Katanya dia nampak aku tunduk tanpa mengangkat muka dan memperdulikan dia yang berdiri di sebelah. Beberapa kali juga dia panggil supaya menemankannya ke tandas, namun katanya aku langsung tidak menjawab panggilannya.
“Sudahlah tak nak temankan adik ke tandas, angkat muka pandang pun tak nak. Sibuk sangat dengan buku kat depan dia tu,” kata adik sebelum berjalan masuk ke simpang menuju ke sekolahnya.
Aku terdiam sambil jantung berdegup kencang. Selepas bersalaman, aku terus menuju ke lorong bertentangan menuju ke arah sekolahku.
Sepanjang perjalanan singkat itu aku memikirkan kata-kata adik. Dua perkara mula bermain di minda ketika itu, pertamanya tentang bunyi aneh yang muncul di bumbung bilikku. Dan seperkara lagi tentang ‘kewujudanku’ seperti yang didakwa adik sebentar tadi.
Namun perkara kedua itu sebenarnya cukup membuatkan aku terkedu dan tertanya sendiri. Bagaimana pula ‘aku’ boleh berada di meja study pada jam 3 pagi sedangkan aku sudah masuk tidur awal malam tadi.
Bagaimanapun aku tekad tidak akan beritahu adik tentang perkara sebenar, Aku tidak mahu dia fikir bukan-bukan. Apa yang bermain di fikiranku ketika ini adalah kewujudan makhluk yang menyerupai aku di meja study tersebut. Adakah perkara seumpama ini sudah lama berlaku tanpa aku sedari? Aku buntu tanpa jawapan. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya