Aspek Kebersamaan Diperkasa - Utusan Malaysia

Aspek Kebersamaan Diperkasa

Kecemerlangan Markas Angkatan Bersama banyak disumbangkan oleh warganya yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sejajar dengan cogan kata ‘Berjuang Bersama’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBERKESANAN pelaksanaan operasi bersama gabungan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya tidak dapat disangkal lagi.
Paling membanggakan, peranan yang dilaksanakan di bawah Markas Angkatan Bersama
(MK AB) ini terbukti bukan sahaja di dalam negara, tetapi di peringkat antarabangsa.
Kini selepas hampir dua dekad ditubuhkan, MK AB dengan cogan kata ‘Berjuang Bersama’ berjaya mencatat pelbagai pencapaian dan kejayaan di samping mengalami proses pemodenan berterusan.
Dengan hanya bermula di Kementerian Pertahanan, MK AB kini beroperasi di Kem Al-Sultan Abdullah, Sungai Panching, Kuantan. Ia dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 26 Julai lalu.
Selaras dengan proses pemodenan, MK AB terus diperkasa dalam pelbagai aspek terutama berkaitan operasi, bantuan operasi dan siri latihan dalam atau luar negara dengan lebih efektif.
Menurut Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad, pelbagai projek peningkatan infrastruktur juga telah berjaya dilaksanakan.
“Selain itu, pembelian beberapa aset utama dan aset sokongan dalam kontingen Batalion Malaysia (MALBATT) 850 dan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) akan dilakukan.
“Bukan itu sahaja,
MK AB dengan kerjasama Australia telah membangunkan kemudahan Joint Warfare Centre (JWC) bagi menyokong dasar Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang bersifat bersepadu dan saling bergantungan.
“Ia akan menjadi nadi kepada latihan bersama dan bersepadu melibatkan latihan ketenteraan luar atau dalam negara secara bilateral dan multilateral. Sebagai contoh Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA). JWC juga mampu dijadikan lokasi untuk latihan pertahanan menyeluruh (Hanruh) antara semua agensi kerajaan dan tentera bagi menyediakan pelan yang lebih efektif dan realistik,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai rekod, MK AB ditubuhkan secara ad hoc pada 6 September 2004.
Penubuhan markas ini secara rasminya dilaksanakan pada 16 Julai 2007 dengan keanggotaan tetap seramai 312 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP).
Konsep ini memberi penekanan kepada sokongan terhadap semua operasi dan eksesais bersama dengan meletakkan komponen tempur setiap perkhidmatan di bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama.
MK AB juga berperanan menyelaras penglibatan dan keperluan ATM dalam operasi dan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam pada itu, Yazid berkata, MK AB telah mencatatkan banyak pencapaian terutama membabitkan siri latihan dan operasi di luar negara.
Menurutnya, ini terbukti selepas MALBATT 850-8 mendapat pelbagai pengiktirafan daripada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil).
“Buat julung kalinya MALBATT 850-8 menerima sijil pengiktirafan Environmental Compliance di empat Kem MALBATT di Lubnan melalui Projek Civil Military Cooperation (CIMIC) yang berkonsepkan Low-Cost, High Impact.
“Projek ini turut mendapat pengiktirafan pihak berkuasa dan penduduk tempatan Lubnan. Menerusi aktiviti CIMIC, MALBATT 850-9 telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti pembaikan bumbung sekolah, bantuan pelitup muka, peralatan sanitasi, pakaian dan pelbagai sumbangan lain kepada penduduk setempat. Malah, tim ini juga berjaya melakar sejarah tersendiri dengan julung kalinya melibatkan penyertaan teramai pegawai dan anggota wanita, seramai 85 orang,“ katanya.
Kata Yazid, markas ini turut menghantar Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA-M) yang diketuai Malaysia bermula 10 Oktober 2004 selepas menerima jemputan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
“Tim TPA-M ditugaskan memantau proses perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan pihak MILF.
“Namun, pada Jun 2022 misi ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan kerajaan baru Filipina sama ada meneruskan atau mengeluarkan mandat yang baru kepada TPA-M,” jelasnya.
Selain kejayaan operasi di luar negara, Yazid berkata, ATB 2 yang juga unit bawah pemerintahan MK AB dipertanggungjawabkan melaksanakan Operasi Pasir sepanjang pantai Timur Sabah sejak 7 April 2007.
“Mulai 1 Januari lalu, ATB 2 dipertanggungjawabkan mengambil alih sepenuhnya kawasan Operasi Pasir Pesisir Pantai dan Operasi Benteng yang disatukan di bawah Op Pasir. Ia berkonsepkan assigned forces, melibatkan keanggotaan dan aset ketiga-tiga perkhidmatan dalam membantu pihak penguatkuasa awam bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Pelaksanaan operasi ini memberi impak terhadap keselamatan, kestabilan, ekonomi serta memberi keyakinan kepada pelancong dan masyarakat setempat di pantai Timur Sabah. Antara kejayaan operasi ini sehingga pertengahan tahun 2022 adalah penahanan 189 PATI dan nilai rampasan barangan bernilai RM 1.5 juta,” ujarnya.
Bagaimanapun, MK AB tidak terlepas daripada cabaran dalam pelbagai aspek antaranya kemelut ekonomi, ancaman bukan tradisional seperti keganasan, rompakan di laut, PATI, jenayah rentas sempadan, serangan siber dan pelbagai lagi.
Justeru kata Yazid, warga ATM yang ditugaskan di kawasan operasi di sempadan negara mesti peka dengan insiden yang berlaku serta unsur-unsur yang mampu mengganggu-gugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya