Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa - Utusan Malaysia

Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa

SEKADAR GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETULKAH ramai ibu bapa sekarang terlalu mengikut saja kata anak-anak? Dan boleh pakai lagikah cakap-cakap bahawa budak-budak manalah pandai menipu?
Bagaikan, sudah jadi per­kara biasa sekarang ini ibu ba­pa terus berjumpa guru be­sar atau guru kelas apabila anaknya mengadu dicubit atau dipukul guru atau kawan di sekolah.
Mereka juga berani pergi ke rumah dan bersemuka dengan ibu bapa kawan sekelas yang memukul anaknya. Mereka sanggup menyerang tanpa usul periksa. Tak reti segan.
Dan sekarang ini ada pula kes anak murid memukul guru. Ia bukan berlaku di luar negara tetapi di negara ini.
Pada Khamis lalu akhbar melaporkan kejadian seorang pelajar tingkatan tiga yang tergamak memukul guru disiplin wanita dengan pe­nyapu di sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor kerana berang guru berkenaan memotong rambutnya.
Ramai juga yang memberi komen di media sosial menyokong tindakan budak berusia 15 tahun itu dengan alasan sepatutnya guru berkenaan memberi amaran terlebih dahulu.
Sedangkan, peraturan sekolah dari dulu pun begitu, tidak membenarkan murid-murid lelaki berambut panjang, tak akan itu pun tidak tahu dan ‘menghalalkan’ pula keganasan?
Tujuan ke sekolah itu jelas adalah untuk belajar, menuntut ilmu bukan berfesyen atau menunjuk samseng. Ini semua berkaitan dengan disiplin yang akan dibawa murid sehingga dewasa. Bila tindakan itu dihalalkan oleh orang ramai termasuk ibu bapa, ini memberi petanda buruk pada generasi akan datang.
Baru-baru ini dalam sebuah restoran makanan segera, saya terdengar perbualan seorang ibu dan anak lelakinya. Kata anaknya, dia ditolak oleh rakannya di dalam kelas tadi.
Yang saya terkejut, tanpa bersoal jawab, ibunya berkata dengan kasar, lain kali ten­dang saja kawan-kawan yang buat begitu. Jangan duduk diam.
Dalam hati saya, ini baru tengok filem apa ini? Lain macam betul semangat suruh bangkit melawan!
Sebenarnya kisah ibu bapa lebih mendengar cakap anak-anak berbanding mengorek hal sebenar sebelum bertin­dak, sudah biasa kita dengar.
Tanyalah guru-guru. Mereka sudah lali dengan hal-hal begini. Saya pun ramai kawan semasa belajar dulu yang kini menjadi cikgu. Selalu dalam group WhatsApp mereka sering membincangkan perangai ibu bapa sebegini.
Dan saya pun tahu banyak rupanya masalah guru ini. Sudahlah berlambak kerja-kerja di luar kelas. Ditambah pula dengan terpaksa melayan macam-macam kerenah ibu bapa dan anak murid. Sebab itulah, agaknya ramai yang bersara awal.
Tetapi itulah, kebanyakan aduan tentang anak yang dikasari oleh guru atau rakan sekelas ini selalunya berakhir dengan ibu bapa sendiri yang ‘termalu alah’.
Selalunya, setelah diselidiki dan ditanya berulang kali kepada anak yang kononnya menjadi mangsa, akhirnya anak itu panik sendiri. Mengaku dia yang bercakap bohong. Hanya mengada-adakan cerita.
Yang peliknya, ibu bapa terbabit bila tahu anaknya berbohong tidak pula mema­rahi anak itu. Cepat-cepat saja meminta maaf lebih kurang dan beredar.
Tidak tahulah sama ada dia memarahi atau menasihati anaknya selepas itu di rumah, harapnya ia dapat menjadi pengajaran, jangan main serang saja pihak sekolah atau ibu bapa lain. Bimbang sikap itu menjadi ikutan anak satu masa nanti.
Dulu ramai saja yang kena rotan, dipulas pusat, dilempang atau rambutnya togel digunting guru disiplin. Tak pula heboh-heboh buat laporan polis. Elok saja hidup berjaya.
Zaman berubah dan agaknya apa yang dilakukan oleh ibu bapa dahulu sudah tidak boleh dipakai sekarang?
Saya teringat zaman dulu, anak tak akan berani mengadu pada ibu bapa kalau dia dipukul atau dimarahi guru di sekolah. Kalau mengadu, memang cari pasal, akan ‘dibalun’ berganda lebih teruk oleh ibu bapa kerana menjadi punca kemarahan guru.
Dulu ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kerja mendidik anak-anak di sekolah. Pukul boleh, jangan cedera, patah riuk sudah.
Saya pun ingat, dulu murid-murid amat menghormati guru. Kalau nampak guru lalu dengan membawa buku yang banyak, berebut-rebut mahu tolong. Ada juga yang pagi-pagi sudah menunggu kereta cikgu datang. Tolong bawa beg cikgu ke bilik guru. Ini budaya membodek? Tidak. Ini menunjukkan rasa hormat, sayang dan menghargai guru. Tak payah disuruh-suruh. Yang dikata membodek itu, bila bos buat lawak entah apa-apa, ada yang ketawa.
Tetapi zaman sekarang sudah berubah. Saya rasa suasana itu hampir tidak ada lagi. Guru pula menunggu di pagar untuk mengucapkan selamat pagi kepada anak murid yang datang ke sekolah.
Sampai bila, kalau ada isu di sekolah, belum apa-apa, ibu bapa terus menyerang atau menularkan cerita anak kena pukul di media sosial. Selidiklah dulu. Bukan susah pun hendak meminta anak untuk bercakap benar.
Ada juga guru yang mengambil pendekatan meminta maaf dan jika kawan sekelas itu dituduh memukul pun, tetapi dia tidak melakukannya, minta maaf sajalah pada pihak yang menuduh itu. Habis cerita.
Tentunya tindakan ini tidak betul walaupun jalan selesainya mudah. Tidak mahu memanjangkan cerita. Kesannya, anak yang buat tuduhan palsu itu menganggap berbohong itu satu kemenangan. Entah apa lagi cerita bohong dia akan bawa sampailah ke besar.
Betullah sikap ibu bapa menjadi cerminan kepada anak-anak. Kalau ibu bapa bersikap pembuli, anak pun tidak mustahil mengikut suka membuli, membawalah perangai itu sampai dia bekerja nanti.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya