"Takkan nak gali lagi kubur lain?" - Utusan Malaysia

“Takkan nak gali lagi kubur lain?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berita kematian Pak Ngah Hussin menggemparkan penduduk kampung Paya Tengah. Boleh dikatakan semua yang mengenali arwah terkejut kerana sebelum ini dia sihat tanpa sebarang penyakit.

Menurut Jasri, salah seorang penduduk kampung, baru semalam dia terserempak dengan arwah di pasar pagi. Katanya, sempat juga dia berbual seketika dengan arwah sebelum pulang ke rumah.

Menurut cerita yang saya dengar arwah yang berusia dalam lingkungan 60-an meninggal dunia dalam tidur. Perkara itu disedari oleh isterinya ketika bangun pagi. Waktu itu dia kejutkan arwah untuk bersarapan, namun arwah sudah kaku dan tidak sedarkan diri. Terus dia hubungi pihak hospital, malangnya pegawai perubatan sahkan suaminya sudah meninggal dunia.

Namun yang menjadi persoalannya berita kematian Pak Ngah Hussin langsung tidak menyedihkan penduduk kampung. Sebaliknya ramai gembira. Kenapa jadi begitu? Akan saya ceritakan…

Tengah hari itu saya terus ke tanah perkuburan dengan niat mahu membantu beberapa kariah menggali kubur arwah. Memang sudah menjadi kebiasaan bila berlakunya kematian saya akan datang membantu. Lagipun saya sudah biasa dengan kerja sebegini kerana sebelum ini sudah biasa membantu arwah ayah menggali kubur.

Sebaik sampai di tanah perkuburan, saya lihat sudah ramai yang berada di situ. Tetapi yang peliknya keadaan di situ sedikit kecoh. Saya terus bertanya kepada seorang rakan apa yang berlaku?

“Entahlah Man, aku pun tak faham. Lepas gali kubur ini tiba-tiba bertakung pula air, selepas itu aku dengar ada anak ular pula. Peliknya,” jawab Samuri panik.Saya terdiam. Dari mana pula datangnya air tersebut sedangkan ketika itu cuaca panas dan tanah kering kontang. Lepas itu bagaimana pula wujudnya anak ular dalam liang lahad tersebut?

Menurut cerita, mereka sedaya upaya cuba menimba air tersebut tetapi semakin dikeluarkan bertambah banyak pula. Masing-masing mula cuak kerana tidak lama lagi jenazah akan tiba untuk dikebumikan.

“Kita gali kubur lain,” terdengar cadangan salah seorang penduduk kampung.

Semua sebulat suara bersetuju. Tanpa berlengah, mereka mencari lokasi lain yang jauh sedikit dari kubur tadi. Risau kalau digali bersebelahan takut masalah sama berulang.

Selepas menemui lokasi sesuai, kerja menggali dimulakan. Sejam lebih mengorek, tiba-tiba kami terkejut. Jelas kelihatan limpahan air keluar dari celah-celah rekahan tanah. Seakan ada mata air di situ. Jika tak silap pengiraan saya airnya hampir separas betis.

“Macam mana ini bang? Tak kan kita nak korek kubur lain lagi. Mana sempat,” kata Samuri kepada saya.

Saya terdiam. Memang benar katanya. Tak mungkin pula kami akan menggali sebuah liang lahad lagi kerana saya difahamkan jenazah sudah dibawa keluar dari rumah menuju ke tanah perkuburan.

Saya lihat masing-masing kepenatan. Sudah dua kubur digali, tetapi masih alami masalah sama. Nampaknya segala usaha sia-sia saja.

“Tak apalah. Kita semadikan saja jenazah arwah di sini. Kita tak ada masa lagi. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar segala urusan berjalan lancar,” kata saya kepada mereka.

Sebaik jenazah arwah tiba kami terus semadikan dengan segera. Kami tidak mahu ada yang tertanya-tanya kenapa liang lahad arwah dipenuhi air, kami tiada jawapan tentang itu.

Namun demikian ada juga beberapa waris arwah yang bertanya kenapa liang lahad tersebut dipenuhi air, namun kami beri jawapan selamat.

Walaupun arwah disemadikan bersama keranda yang diperbuat dari papan flywood nipis namun ia tidak banyak membantu. Nampak jelas separuh badan jenazah yang dilitupi kafan itu ditenggelami air.

Alhamdulillah, walaupun berlaku pelbagai perkara di luar jangkaan, akhirnya jenazah selamat juga dikebumikan. Saya dan rakan-rakan lain bertungkus-lumus mengkambus tanah untuk menyempurnakan bacaan talkin pula.

Setelah selesai semuanya, saya dan beberapa penduduk kampung berjalan meninggalkan tanah perkuburan. Alhamdulillah, walaupun terdapat kejadian di luar jangkaan namun akhirnya dapat juga kami selesaikan urusan pengebumian.

Ketika menuju ke motosikal, Samuri datang mendekati saya. Dia lantas membuka cerita tentang apa yang berlaku.

Katanya, apa yang terjadi kepada arwah mungkin balasan Allah SWT atas apa yang dilakukan ketika hayatnya.

“Sudahlah Sam. Tak baik kita cerita aib orang. Tambah pula arwah baru sahaja disemadikan. Seeloknya kita doa yang baik-baik sahaja untuk arwah,” kata saya kepadanya. Samuri hanya tersengih sebelum menyambung kata-kata.

“Saya ini bukanlah nak jaga tepi kain orang bang, tapi abang sendiri dah lihat dengan mata kepala abang. Selama kita gali kubur ni mana pernah berlaku kejadian macam ini?

“Lagi satu abang tengoklah sendiri bila arwah meninggal semua orang bertepuk tangan. Tak ada seorang pun penduduk kampung yang sedih,” jawabnya panjang lebar.

Saya terdiam. Dalam hati terasa juga akan kebenaran kata-katanya.

“Abang tahulah arwah ini ketika hidupnya macam mana, suka mengadu domba, suka bercerita tentang keburukan orang lain sehinggakan ada orang kampung bermusuh dan tak bertegur sapa sampai sekarang. Itu tak masuk lagi tentang perangainya yang suka makan riba,” sambung Samuri.

Sekali lagi saya terdiam. Memang saya tidak nafikan setiap apa yang diperkatakan Samuri.

Rasanya seluruh penduduk kampung sudah hadam dengan sikap arwah yang selama ini sering mengenakan bunga tinggi kepada sesiapa yang meminjam wangnya.

Tidak dinafikan arwah memang dikategorikan sebagai orang berada di kampung itu. Dia juga sering membantu orang kampung yang kesempitan wang, tetapi bunga yang dikenakan cukup tinggi. Hampir separuh daripada nilai pinjaman.

Jika lewat bayar dan sebagainya mulalah arwah akan menjaja tentang keburukan si peminjam itu. Daripada tiada siapa yang tahu, sehinggalah satu kampung tahu.

Jika ada orang kampung yang tidak mampu membayar pinjaman, arwah tidak akan teragak-agak untuk meminta mereka menjual segala aset berharga kepadanya. Ini termasuklah tanah dan barang kemas namun harga yang ditawarkan amat rendah berbanding harga pasaran.

Kerana itulah dia dibenci dalam diam. Tidak hairanlah ramai penduduk kampung ygembira dengan kematiannya.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian lain di antara kamu dengan jalan batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.”- Al-Baqarah: 188

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya