Syariat korban: Suatu pembebasan rohani

Syariat korban: Suatu pembebasan rohani

KISAH Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail beserta pensyariatan korban membebaskan kerohanian manusia daripada pelbagai elemen buruk. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAT Islam berada dalam bulan terakhir kalendar hijrah Zulhijjah. Bulan ini merupakan antara bulan istimewa kerana terkandung di dalamnya pelbagai bentuk ibadah. Antaranya ibadah korban yang dilakukan pada hari tasyriq. 

Ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam pada masa kini hasil daripada syariat yang dibawa Nabi Muhammad SAW sebagai mengingati peristiwa agung yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. Mukadimah kepada peristiwa tersebut bermula dengan Nabi Ibrahim bermimpi baginda melaksanakan perintah Allah menyembelih anaknya, Nabi Ismail. 

Mimpi tersebut disampaikan kepada Nabi Ismail untuk dibincangkan dan kedua-dua mereka menzahirkan kesepakatan melaksanakan perintah tersebut dengan menyerahkan segala kepercayaan dan keyakinan kepada Allah. Atas keyakinan dan keimanan mereka, Allah rakamkan peristiwa tersebut di dalam al-Quran yang bermaksud: “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya, “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata.” (al-Saffat, 103-106)

Peristiwa ini menjadi peristiwa yang diingati oleh seluruh umat Islam sehingga setiap tahun umat Islam menyambutnya dengan ibadah korban. Hakikatnya, peristiwa ini mempunyai nilai kerohanian dan kemanusiaan yang besar. Terdapat beberapa nilai utama dalam peristiwa khusus ini dan pensyariatan korban secara keseluruhannya.

Pertama, peristiwa ini merupakan pembebasan rohani manusia daripada amalan ritual korban yang mengandungi syirik dan kurafat. Dalam buku Animal Welfare in Islam karya al-Hafiz Basheer Ahmad Masri, beliau menukilkan bahawa sememangnya ritual pengorbanan telah menjadi warisan manusia turun-temurun dan melalui pelbagai bentuk perkembangan dan olahan.

Ritual korban bermula sejak manusia mengiktiraf kewujudan zat-zat dan kuasa-kuasa ghaib yang dipercayai menakluk kehidupan mereka sama ada dengan memberikan manfaat atau menatijahkan mudarat. Sehubungan itu, pelaksanaan ritual korban dalam sejarah manusia bervariasi mengikut tujuan tertentu. Antaranya sebagai tanda kesyukuran kerana limpahan kekayaan dan kesihatan atau sebagai perundingan bagi meredakan kemarahan kuasa-kuasa ghaib yang dipercayai menyebabkan musibah kepada sesuatu masyarakat.

Nabi Ibrahim amat terkenal dengan perjuangannya menentang perbuatan syirik. Masyarakat pada zamannya amat masyhur dengan penyembahan jasad tabii dan berhala. Peristiwa penyembelihan Nabi Ismail yang lahir daripada keyakinan kepada Allah SWT merupakan satu simbolik menafikan kebergantungan kepada entiti lain. 

Kesinambungan tauhid yang diperjuangkan oleh Nabi Ibrahim ini diteruskan dengan ibadah korban oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi amalan umat Islam. 

KUNO

Nilai ketiga daripada peristiwa penyembelihan Nabi Ismail ialah pembebasan masyarakat daripada ritual korban yang berbentuk penganiayaan. Seperti yang disebutkan, haiwan menjadi medium ritual korban kepada entiti-entiti ghaib yang dipercayai oleh sekelompok manusia. Dalam sesetangah budaya kuno, ritual korban tidak terhad kepada haiwan sahaja. Korban manusia juga merupakan sesuatu yang biasa dilakukan seperti yang diamalkan oleh masyarakat minos (minoan), mikenai (mycenanean), dan pelasgoi (pelasgian) pada zaman Yunani Purba. Amalan ini tenyata masih berleluasa dalam kalangan mereka ketika Zaman Hellenic, iaitu sehingga kematian Alexander the Great sekitar 320 Sebelum Masihi. Bahkan masyarakat Babylon dan sebahagian kaum Yahudi turut tidak terkecuali dalam mengamalkan korban manusia. Lebih buruk apabila korban yang dilakukan melibatkan golongan kasta bawahan demi kepentingan dan kepercayaan kasta atasan.

Dalam kisah Nabi Ibrahim, Allah SWT menukarkan anaknya, Nabi Ismail  dengan seekor kibas. Kesannya, yang disembelih dan dikorbankan bukan Nabi Ismail tetapi seekor kibas. Hal ini direkodkan melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.” (al-Saffat: 107-110)

Mengulas tentang perkara ini, al-Hafiz Basheer Ahmad Masri menyebut bahawa penggantian Nabi Ismail dengan seekor kibas bentuk isyarat membebaskan manusia daripada ritual korban manusia. Amalan korban manusia dalam sesetengah masyarakat kuno merupakan satu bentuk penganiayaan kepada satu jiwa yang tidak berdosa demi kepentingan sebahagian manusia yang lain.

Oleh yang demikian, ibadah korban yang dibawa oleh Islam membawa manfaat kepada semua orang tanpa dikhususkan untuk kepentingan tertentu. Dalam mengingati peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Islam menambah nilai ibadah korban dengan semangat bersedekah. Jika amalan korban masyarakat kuno yang diperihalkan sebelum memisahkan manusia dari pelbagai kasta, korban yang disyariatkan oleh Islam pula membawa mesej kesatuan. Daging haiwan korban diagihkan kepada golongan fakir miskin. Ketika waktu biasa, terdapat golongan yang tidak mampu mendapatkan daging atas faktor kekangan kewangan. Ibadah korban menjadi ruang orang berada untuk berkongsi rezeki dengan orang yang tidak berkemampuan ini.

Kesimpulannya, kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail beserta pensyariatan korban membebaskan kerohanian manusia daripada pelbagai elemen buruk. Pertama, membebaskan manusia daripada ritual korban yang berunsurkan kesyirikan dengan meletakkan tujuan korban hanya kepada Allah. Kedua, korban dalam Islam membebaskan manusia daripada ritual korban berbentuk penganiayaan sesama manusia. Ketiga, ibadah korban membebaskan manusia daripada unsur perpecahan dengan mengangkat amalan sedekah korban sebagai ruang penyatuan masyarakat pelbagai peringkat. Semoga nilai-nilai ini dihayati dan direnungi. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya