Sosok aneh di Gua Tempurung - Utusan Malaysia

Sosok aneh di Gua Tempurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAZMAN pantas menyumbat pakaiannya ke dalam beg. Dalam hati dia menyumpah dan mengomel. Ini semua gara-gara panggilan dari bos tempat kerjanya yang meminta agar dia segera ke Ipoh untuk menggantikannya ke mesyuarat bersama wakil pemasaran zon utara esok meman­dangkan dia tidak sihat.
Nasib baiklah ketika itu dia se­dang bersantai di rumah, kalau­lah waktu itu dia se­dang keluar dating atau mele­pak bersama rakan-rakannya di luar mungkin menyirap juga rasanya.
Sebelum keluar untuk meng­hidupkan enjin kereta sempat juga dia memberitahu kepada rakan serumahnya, Azrul yang ketika itu sedang khusyuk menonton TV.
“Nanti beritahu, aku ke Ipoh sebab ada meeting. Esok lepas habis meeting aku baliklah,” katanya.
Azrul sekadar mengangguk sambil mengucapkan selamat jalan. Dia faham benar dengan tugas rakannya itu. Memang begitulah selalunya. Jika tidak sibuk di pejabat, pasti dia akan sibuk dengan tugasan di luar daerah.
Hazman menghidupkan enjin kereta dan memecut pergi. Jam sudah menunjukkan pukul 12.45 tengah malam. Nasib baiklah hotel untuk dia menginap sudah siap ditempah jika tidak masalah juga nanti, maklumlah bila last minute begini bukannya mudah mencari hotel. Silap haribulan semuanya sudah fully booked.
Sambil memandu, Hazman sesekali bersiul perlahan mengikut irama lagu yang terpasang di kenderaannya. Dan sebaik masuk ke lebuh raya dia tarik nafas lega kerana jalan cukup tenang tanpa kesesakan. Nampak gayanya bolehlah dia sampai awal dan tidur nyenyak nanti.
Perjalanannya menghala ke utara cukup lancar. Bilangan kereta yang tidak banyak di jalan raya memudahkan untuk dia memecut laju. Tidak sampai dua jam dia sudah melepasi susur keluar ke Tapah dan Cameron Highland, fikirnya dalam setengah jam lagi sampailah dia ke bandar Ipoh.
Namun sebaik sahaja melewati kawasan Gua Tempurung dia tersentak. Serta merta dia perlahankan kenderaan. Kabus tebal menutupi pemandangan di hadapannya. Lantas dia menukar gear rendah dan pandu di laluan paling kiri. Risau pula dia kalau ada kenderaan berat lain kebetulan ada di situ.
Suasana persekitaran cukup gelap sehinggakan dia tidak mampu melihat keadaan jalan raya di hadapannya dengan jelas. Kini dia hanya berpandukan pada cahaya lampu kereta yang terpasang, walaupun pandangannya sedikit terhad.
Tidak sampai beberapa ratus meter di hadapan, jalan raya sudah kembali cerah. Hazman tarik nafas lega. Dia toleh ke arah luar tingkap, nampak jelas bukit bukau menghiasi sepanjang kiri kanan jalan. Memang cukup indah pemandangannya.
Sedang tekun memandu, tiba-tiba dia tersentak. Serta merta dia menekan brek, Hazman terpaku. Dia seakan tidak percaya dengan apa di hadapannya. Dia panik. Jelas kelihatan di hadapannya beberapa sosok tinggi bertubuh besar sedang melintas. Tingginya sayup melangit seakan tinggi sebatang pohon kelapa. Tubuhnya pula besar seperti watak King Kong yang disaksikan di layar perak. Terkedu Hazman. Mulutnya terlopong, tidak percaya dengan apa yang disaksikannya ketika itu.
Makhluk tersebut melintas dari arah bukit bukau di kiri lebuh raya ke arah bukit bukau yang terletak di kanan lebuh raya. Langkahnya cukup besar dan panjang, seakan melangkaui dua jalan raya yang berada di situ.
Tubuh Hazman serta merta dibasahi peluh. Dia seakan hilang punca, tidak tahu apa perlu dilakukan ketika itu.
“Satu, dua, tiga, empat, lima…” bilangnya perlahan dengan mata yang tidak berkelip. Cukup jelas apa yang dilihatnya. Mengikut pengiraannya terdapat lima sosok besar seakan gergasi yang baru sahaja melintas. Walaupun jaraknya tidaklah jauh hanya lebih kurang 200 meter, namun dia dapat melihatnya dengan jelas.
Sosok itu juga langsung tidak mengendahkan kehadirannya di situ. Seakan tidak menyedari ada sebuah kenderaan dengan lampu terpasang yang berhenti di situ. Mungkin juga disebabkan fizikalnya yang terlalu besar dan tinggi sehingga menyebabkan dia sukar untuk menyedari objek kecil yang berada di bawahnya.
Yang pasti makhluk itu sekadar menyeberangi lebuh raya di situ dan menghilang ke arah deretan bukit bukau. Nampak seakan itu laluan buatnya. Kumat kamit mulut Hazman membaca ayat suci al-Quran. Seumur hidupnya tak pernah lagi dia mengalami situasi menakutkan seperti itu. Dia sendiri tidak tahu makhluk itu. Adakah jin, syaitan ataupun sebaliknya.
Setelah menyedari keadaan di sekelilingnya kembali tenang tanpa ada apa-apa mencurigakan, lantas dia terus memecut laju. Risau pula dia jika menunggu lama di lokasi tersebut. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Jadi sebelum terjadi apa-apa yang tidak baik eloklah dia beredar cepat.
Hampir 30 minit memandu akhirnya dia sampai di Ipoh. Setelah mendaftar masuk ke hotel lantas dia mandi. Lama juga dia terpaksa melayan matanya untuk lelap. Dia masih mencari jawapan tentang makhluk yang dilihatnya itu. Adakah sosok tersebut penunggu atau pun hantu yang berkeliaran di kawasan itu kerana makhluk yang dilihatnya itu agak berbeza daripada yang lain.
Bukannya satu, malah lima sosok bersaiz sama melintasi kawasan tersebut. Patutlah ramai pengguna jalan raya mengatakan laluan di Gua Tempurung itu agak ‘keras’, rupa-rupanya ada rahsia di situ. Dan malam ini dia sudah mendapat sedikit jawapannya.
Sehingga lewat pagi Hazman masih belum mampu melelapkan mata. Tak sabar dia menunggu hari siang dan bercerita kepada kawan-kawannya tentang apa yang dilaluinya malam tadi. Namun dia terfikir juga adakah rakan-rakannya akan percaya dengan ceritanya nanti? – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya